Exco tersebut, Paul Yong Choo Kiong bagaimanapun semalam dilaporkan enggan menuruti kehendak ketuanya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebaliknya menurut seorang pemimpin DAP, ke­dudukan Choo Kiong yang me­rupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak akan dirujuk ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu.

Sekarang bola di kaki siapa? DAP atau Menteri Besar? Tentu sekali pada Ahmad Faizal kerana selaku ketua eksekutif negeri, beliau berhak untuk menentukan siapa anggota ‘Kabinetnya’.

Seperti mana Perdana Menteri di peringkat Persekutuan, melantik Exco adalah budi bicara Menteri Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu boleh enggan bercuti seperti diminta tetapi Ahmad Faizal ada kuasa prerogatif untuk menggugurkan mana-mana Exco. Ini seperti mana kuasa Perdana Menteri untuk gugurkan mana-mana menteri dan menggantikannya dengan muka baharu.

Itu dari segi pentadbiran, tetapi kena lihat juga dari segi realiti politik. Umum tahu Choo Kiong dipertahankan oleh pemimpin utama DAP negeri.

Jumlah kerusi dengan majoriti tipis yang diperoleh Pakatan Harapan (PH) Perak dan DAP parti utama di negeri itu, apa langkah seterusnya bagi Ahmad Faizal?

Kes Choo Kiong berbeza dengan Lim Guan Eng (yang pernah dituduh rasuah ketika menjadi Ketua Menteri sebelum digugurkan) kerana beliau hanya Exco tetapi Setiausaha Agung DAP itu adalah ketua eksekutif Pulau Pinang.

Memang tiada undang-undang menyatakan sesiapa yang dituduh perlu meletak jawatan kerana selagi belum dibuktikan bersalah, hak individu itu adalah sama.

Namun amalan di kebanyakan negara demokrasi, pe­mimpin yang dituduh jenayah akan bercuti bagi mengelak sebarang bentuk tekanan sekiranya terus menjalankan tugas rasmi.

Maka elok benar Choo Kiong mengikuti nasihat Ahmad Faizal demi kelicinan pentadbiran negeri dan juga politik PH di negeri itu.