Kerjasama dua parti yang sebelum ini dilihat mustahil apatah lagi bagi menghadapi pilihan raya sudah menjadi kenyataan. Kedua-dua parti itu telah membuktikan kesepakatan ketika pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Rantau dan Cameron Highlands, kini persetujuan sudah dicapai agar dua parti utama orang Melayu turun ke gelanggang bersama-sama untuk berhadapan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun secara jujurnya penulis tertanya-tanya sejauh manakah persediaan UMNO bagi memastikan kerjasama tersebut membuahkan hasil. Dalam perbualan penulis dengan pelbagai pihak, mereka begitu mengharapkan kerjasama dua parti itu akan berjaya.

“Di pihak Pas, kami sudah bersedia sepenuhnya. Kami bukannya mahu menjadi kelompok berkuasa dalam kerjasama tersebut tetapi bagi memastikan PH dapat ditumbangkan dalam PRU-15 demi masa depan orang Melayu dan umat Islam,” kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.

Sememangnya kerjasama dua parti itu sudah menggerunkan komponen-komponen dalam PH, justeru mereka cuba memberikan pelbagai hujah supaya kesepakatan tersebut akan ditolak oleh orang Melayu.
 Bagaimanapun berdasarkan sentimen dan maklumat yang diterima oleh penulis daripada pelbagai sumber, sebahagian besar orang Melayu hanya menanti masa untuk ‘mencabut’ kekuasaan daripada PH.

Namun begitu sama ada impian itu akan tercapai atau tidak, ia banyak bergantung kepada keupayaan UMNO mengatur strategi dalamannya. Ketika ini penulis mendengar pelbagai cerita termasuklah perangai lama sesetengah pemimpin di peringkat bahagian yang mula berebut-rebut kedudukan.

Melihat sentimen rakyat khususnya orang Melayu menolak PH, ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang mahu melakukan semula come back biarpun sebelum ini apabila tewas dalam PRU-14 menyatakan kesediaan untuk mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka baharu.

“Yang kalah dua kali pun secara tiba-tiba mula mengatur gerakan membuat kemunculan semula untuk PRU-15. Semua ini tidak akan memberi faedah kepada UMNO kerana ia akan menyebabkan tercetusnya krisis dalaman,” kata satu sumber sebuah agensi kepada penulis.

Apabila mendengar cerita-cerita itu, penulis agak bimbang jika ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih lagi belum mahu insaf dan terus bersedia untuk ‘tongkat langit’, biarpun belum tentu apabila mereka bertanding, kemenangan boleh dicapai.

Justeru dalam menghadapi situasi ini, keseluruhan kepemimpinan UMNO tanpa mengira peringkat perlu bermuhasabah. Entah untuk ke berapa ribu kali, mereka perlu diingatkan untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi mana-mana kelompok mahupun individu. Penulis yakin ahli-ahli di peringkat umbi tidak ada masalah, jika pemimpin-pemimpin mereka akur dengan apa juga arahan dan keputusan pucuk pimpinan parti.

Pada saat penting seperti inilah, pemimpin dan ahli UMNO perlu mencontohi sikap taat dan patuh pemimpin dan ahli Pas terhadap apa juga keputusan yang dibuat. Mereka tidak akan membantah jika ia boleh memberi manfaat kepada parti, orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya. Tetapi malangnya dalam UMNO masih ada pemimpin yang seolah-olah begitu sukar untuk melepaskan jawatan. Macam-macam alasan diberikan untuk membolehkan mereka terus berkuasa dan paling penting dapat bertanding pada PRU-15.

Penulis tidak menafikan sama sekali, ketika ini sentimen menolak PH dalam kalangan orang Melayu begitu tinggi tetapi perlu diingat, UMNO perlu menyediakan barisan terbaik untuk turun ke gelanggang.

Ia hanya boleh dicapai jika ada keikhlasan dalam kalangan pemimpin semua peringkat untuk memastikan UMNO benar-benar boleh kembali bangkit dalam PRU-15 melalui kesepakatan bersama Pas.

Adalah penting untuk pemimpin dan ahli UMNO memahami kedudukan mereka. Perangai atau sikap buruk yang selama ini dipalitkan dengan parti itu harus disingkirkan.

Sememangnya tidak dinafikan orang Melayu masih bergantung kepada UMNO bagi memperjuangkan nasib mereka, tetapi ia tidak bermakna orang Melayu akan menerima bulat-bulat sesiapa sahaja yang diletakkan sebagai calon. Orang Melayu juga akan menilai setiap pemimpin atau calon itu dengan teliti.

Kesimpulannya adalah penting untuk barisan kepemimpinan UMNO membuat persediaan rapi bagi menjayakan kesepakatan bersama Pas. UMNO perlu memastikan tiada masalah dalaman yang boleh menggugat kerjasama tersebut apatah lagi menggagalkan misi utama kesepakatan berkenaan iaitu menumbangkan PH dalam PRU-15.

Penulis percaya apa yang berlaku dalam PRU-14 telah memberi pengajaran berguna kepada pemimpin dan ahli UMNO. Budaya ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’, ‘menang sorak kampung tergadai’ dan ‘sama-sama tak dapat’, tidak boleh sama sekali diteruskan kerana ia boleh mengundang petaka kepada parti itu.

PRU-15 bukan gelanggang untuk survival politik mana-mana individu tetapi ia adalah medan bagi memastikan kuasa politik orang Melayu kembali diperkukuhkan. Melalui kesediaan Pas bersama UMNO, impian itu pasti akan tercapai.