Walaupun sekadar anekdot mudah yang tidak semestinya tepat, pada tahap tertentu, boleh diakui kebenaran pemahaman seperti ini, termasuk di dunia akademik sendiri.

Satu contoh mudah ialah liputan isu 1MDB dan pelaburan China di Malaysia terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Laporan isu ini oleh media Barat dan sesetengah media tempatan membingkaikan isu ini secara mudah menurut bingkai penguasaan asing dan geopolitik, dan mengabaikan hampir sepenuhnya dimensi tempatan.

Maka diangkat tema ancaman terhadap kedaulatan bersekali dengan keperluan untuk Malaysia ‘diselamatkan’. Malaysia, kerajaan dan rakyatnya dikemukakan sebagai sesuatu yang pasif, tanpa agensi sendiri dan hanya menjadi buah catur pihak asing.

Pada masa sama, satu skandal besar sedang berlaku di Kanada dalam kerajaan Perdana Menteri Justin Trudeau melibatkan syarikat gergasi SNC Lavalin, yang melakukan korupsi dan berusaha gigih menyelamatkan diri - dengan dibantu oleh anggota-anggota kerajaan Trudeau sendiri.

Pelbagai pendedahan mengejutkan termasuk rakaman perbualan secara rahsia antara pegawai kerajaan telah muncul, dalam satu episod yang amat bertentangan dengan imej perdana menteri muda yang dihujani pujian semasa awal menjawat jawatan dulu.

Skandal SNC Lavalin yang sudah lama berlanjutan ini tidak mendapat liputan setaraf 1MDB. Dan tidak dikemukakan sebagai satu ancaman besar serta tidak dikaitkan dengan kelemahan dalaman yang endemik.

Satu lagi contoh yang mudah diperhati tetapi mudah juga diabaikan ialah laporan mengenai protes terhadap kerajaan. Sudah hampir setahun, iaitu selama 41 minggu, protes gilet jaunes atau “ves kuning” berlangsung di Paris dan beberapa bandar di Perancis, sehingga menyebabkan kemusnahan dan menjejaskan kegiatan ekonomi, malah juga mencetuskan suasana tidak selamat.

Protes ini tidak diletakkan dalam bingkai “kebangkitan demokratik” oleh rakyat yang berkesedaran seperti halnya liputan protes di Asia dan dunia Islam biasanya. Macron tidak diwarnakan sebagai seorang pemimpin autoritarian yang mengabaikan denyut nadi dan keresahan rakyat, seperti yang biasa diberikan pada pemimpin bukan Barat.

Protes di Hong Kong kini menjadi contoh jelas bagaimana Barat secara senada menyokong protes sebagai satu kebangkitan demokratik, walaupun di peringkat rakyat biasa Hong Kong, kekacauan yang berpanjangan ini tidak seperti digambarkan oleh penyokong-penyokongnya di Barat.

Sebarang aksi protes di dunia luar Barat akan segera diletakkan dalam bingkai kebangkitan demokratik. Diberikan warna hitam putih kebaikan lawan kejahatan dan kemudian diberikan komentar dan analisis oleh pengkaji Barat.

Kebangkitan massa di dunia Arab yang diletakkan nama Arab Spring telah menunjukkan satu bukti perspektif ini yang meletakkan terus semua kebangkitan di banyak negara di bawah tajuk yang sama dan mengemukakan satu pilihan yang patut menjadi matlamat.

Satu perkembangan yang mungkin paling ramai terlepas pandang ialah susulan pembunuhan ganas 50 orang Islam di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, oleh pengganas kulit putih bernama Brenton Tarrant.

Lima buah syarikat media utama New Zealand; TVNZ, Radio New Zealand, Stuff, Mediaworks dan pemilik New Zealand Herald menandatangani perjanjian pada 1 Mei lalu untuk menghadkan liputan kes pembunuhan kejam itu dengan melakukan tapisan sendiri. Ia dengan alasan mengelak daripada memberikan platform kepada pengganas itu menyebarkan propaganda dan ideologinya.

Alasan ini menenggelamkan terus kebebasan media yang dijuarai dunia Barat selama ini. Tindakan mengehadkan liputan ini secara efektif menyembunyikan banyak isu penting berkenaan identiti, ideologi, rangkaian, dan hal lain yang merupakan maklumat berguna untuk memahami apa yang berlaku.

Sesetengah pengkritik melihat tindakan ini sebagai menyembunyikan sesuatu yang memalukan orang kulit putih. Sedangkan hal yang sama melibatkan orang lain seperti jenayah orang kulit hitam atau orang Islam akan disusuli oleh segala maklumat peribadi dan kesalahan silam. Malah, dalam kes melibatkan orang Islam, ibadah haji atau umrah juga dilapor untuk memberi kaitan agama kepada motivasi individu terbabit.

Orientalisme dalam laporan media ini kekal dan sentiasa diperkukuhkan oleh media asing yang mempunyai pandangan negatif terhadap golongan yang dianggap lebih rendah daripada mereka.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.