Agaknya kalau bintang media sosial itu masih hidup, akan bersemarak lagilah Tahun Baharu 2018 dengan pelbagai aksi menakjubkan daripadanya di bangunan pencakar langit. Tapi itulah, malang tak berbau. Takziah abang hensem ucapkan kepada ibu dan teman wanita mendiang.

Ha! Apa agaknya azam korang semua? Azam baharu atau mahu berminda atau berfikiran baharu? Ada beza tu wei! Selama bertahun-tahun ini abang hensem sering berfikir yang kita semua harus ada minda baharu untuk ke puncak kehidupan. Bukannya macam biskut, kejap ada, kejap tak ada. Minda baharu untuk gilap azam mesti fokus. Mesti capai sasaran setidak-tidaknya 70 atau 80 peratus.

Bagi orang perempuan, abang hensem nak pesan ba­nyak benda. Salah satunya, jangan asyik melekat di te­lefon memanjang. Bolehlah main WhatsApp sana sini, te­ngok Instagram, Facebook, tapi jangan sampai kerja rumah, tengok anak pun terabai.

Bukannya apa. Ini real punya story yang orang lelaki minta abang hensem khabarkan dalam ruang terhad ini. Kadang-kadang boleh sampai tahap bergaduh pasangan sampai bercerai-berailahlah bila masuk bab cemburu buta.

Sediakan masa yang berkualiti. Jadikan Facebook itu sebagai lapangan membina kualiti diri. Ini tidak, bila nak hamburkan kata-kata nista dan jelek, tak dapat kawal diri dah sehinggakan yang bertudung litup, berhijab sudah terbongkar cacat celanya.

Abang hensem terpaksa ungkit balik apa yang abang hensem sebutkan dalam beberapa siri sebelum ini yang nampak macam ‘menghentam’ orang perempuan, tapi sebenarnya hati abang hensem baik untuk beri teguran.

Oh ya! Ada satu lagi perkara yang abang hensem nak pesan pada wanita bertudung. Walaupun taste rakan-rakan abang hensem ni free hair namun kalau yang bertudung tu jagalah adab susila. Ini tidak. Atas kepala bertudung tetapi bahagian bawah berseluar jeans atau slack yang ketat. Itu belum lagi dengan kasut tinggi berinci-inci dengan gaya jalan lenggang-lengguk sehingga menggamit tumpuan kurang menyenangkan.

Jadikan 2018 ini untuk berminda baharu dengan menghidupkan benih-benih keraguan itu menjadi motivasi, seterusnya mencapai apa yang dihajati. Mungkin orang perempuan kata abang hensem ni cakap banyak. Nasihatkanlah orang lelaki, kenapa nak jaga tepi kain kami.

Ya, kalau bab ‘pukul’ orang lelaki, abang hensem dah serahkan tugas itu kepada akak cun. Biar dia ‘cincang’ depa.

Apa azam atau minda baharu abang hensem? Nak tahu ke? Bagi abang hensem, hidup ini perlu fokus. Itu sahaja. Sesuatu yang mahu dicapai mestilah yang realistik, re­levan serta bermakna kepada diri sendiri.

Kalau bercakap pasal kos hidup, pandai-pandailah berhemat waktu berbelanja. Bukan kos sara hidup isunya, tetapi kos cara hidup. Kalau ada duit lebih, bawalah pasangan atau anak-anak makan di luar. Jangan tengok orang lain mewah, kita pun nak jadi macam dia (terngiang-ngiang pesanan Rozita Che Wan). Ukur baju di badan sendiri sebab kos hidup ini bukan sahaja diharungi kita seorang tetapi semua. Bukan di Malaysia sahaja tau isu ini, malah serata dunia.

Kepada yang masih ada orang tua yang sudah lanjut usia ke-75 tahun atau menjangkau 80 tahun, abang hensem nak pesan juga - jenguk-jenguklah, berbaktilah dan banyak-banyakkan sedekah kepada mereka. Kalau dikira sibuk, semua orang sibuk.

Kalau ada masalah hidup, bersedekahlah. Kadang kala duit RM10 yang dihulurkan kepada makcik yang jual ke­ropok di kaki lima depan Maybank itu sudah cukup ‘menyelamatkan’ kita atau mengeluarkan kita dari kekusutan. Percayalah kuasa sedekah!

Masuk tahun baharu ni abang hensem juga nak tarik perhatian orang perempuan supaya ambil tahulah sikit pasal politik. Memasuki 2018 sudah masuk fasa debaran pilihan raya umum.

Abang hensem tidaklah cenderung kepada mana-mana parti politik. Tapi sayanglah kalau asyik fikirkan seronok sahaja. Kelak nanti orang perempuan tak ke mana. Maksud abang hensem tak mahukah jadi penentu siapa yang terajui pucuk pimpinan kerajaan sebab dengan kerajaan yang stabil dan sihat inilah anak-anak dan keluarga akan dapat hasilnya dan manfaat kegembiraan hidup?

Bukanlah maksud abang hensem sampai kita ni nak jadi macam tokoh-tokoh seperti Allahyarham Tun Dr. Fatimah Hashim, Ibu Zain atau Kontek Kamariah. Tapi sekurang-kurangnya orang perempuan dapat menilai mana permata, mana yang kaca parti politik tertentu itu.

Sayang kalau diabaikan bab politik ini dalam kalangan orang perempuan yang jumlah pengundinya lebih sikit dari orang lelaki daripada keseluruhan lebih 13.5 juta pengundi.

Selamat tahun baharu 2018 ya!