Reuters yang memetik sumber kerajaan Amerika melaporkan, pakar keselamatan Amerika percaya Iran memberi restu untuk serangan terhadap dua kapal tangki membawa minyak mentah Arab Saudi terbabit iaitu satu membawa bendera UAE dan satu lagi kapal didaftarkan di Norway di Fujeirah, Selat Hormuz.

Sebelum ini, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Bolton berkata, Iran ‘hampir pasti’ mendalangi serangan ke atas kapal di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Empat kapal berkenaan, termasuk dua tangki minyak Arab Saudi, diserang ‘kapal tentera laut yang hampir pasti dari Iran’, kata Bolton ketika sidang akhbar di Abu Dhabi.

Tindakan Amerika itu meningkatkan kebimbangan (walaupun serangan rasmi dibatalkan) terhadap ketegangan antara Washington dengan Iran di Teluk Parsi ditambah dengan keputusan Amerika menghantar dua armada kapal perangnya ke rantau itu selain sejumlah pesawat pengebom B-52.

Namun sekutu Washington dan penganalisis Barat mempersoalkan kredibiliti video yang digunakan AS sebagai bukti mengaitkan Iran dalam serangan ke atas dua kapal tangki tersebut.

Lapor Press TV, Menteri Luar Jerman, Heiko Maas berkata, video tersebut yang dikeluarkan Pusat Pemerintah Tentera AS (CENTCOM), semalam tidak cukup membuktikan dakwaan Washington yang menuduh Teheran sebagai dalang tersebut.

Walaupun AS cuma meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa serangan itu didalangi oleh Iran, pemilik kapal tangki Jepun Kokuka Courageous, Presiden Syarikat Perkapalan, Kokuka Sangyo, Yutaka Katada dengan segera menafikan sekeras-kerasnya kenyataan AS itu.

Beliau menyatakan bahawa serangan itu datang dari bom atas air.

Siapa yang untung dari serangan atau Cio Bono? Adalah tidak rasional bagi Iran melakukan serangan itu kerana pada masa yang sama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berada di Iran dalam lawatan rasmi ke sana bertemu dengan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani.

Apakah OIC hanya tunduk kepada negara anggotanya yang kuat pengaruh AS sahaja untuk tidak bersuara. OIC harus mempunyai pendirian tersendiri dengan tidak berada bawah ketiak AS dan sekutu Barat, mahupun Rusia dan China.

Semasa bulan Ramadan lalu, sidang tergempar OIC yang diadakan di kota Mekah, Arab Saudi agak mengecewakan dengan lebih menumpukan ke arah meningkatkan permusuhan terhadap sesama umat dan negara Islam daripada mencari perdamaian.

Oleh itu apa gunanya berkampung bagi menghadiri mesyuarat OIC jika niat asalnya sudah dirancang. Juga tidak faham apakah yang tergempar sangat atau sesuatu yang mengancam sehingga perlunya sidang seperti ini diadakan menjelang akhir bulan Ramadan.

Dalam sidang yang ‘tergempar sangat’ itu, Arab Saudi dan UAE bersama-sama sekutu daripada Liga Arab dan Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC) ingin mengambil kesempatan daripada sidang tergempar berkenaan untuk menagih sokongan daripada negara anggota OIC lain supaya menyatakan sokongan terhadap permusuhan AS dengan Iran.

Apakah ertinya sidang ini jika Arab Saudi, GCC dan Liga Arab sekadar menjadi tali barut AS dan Israel yang ingin mengheret negara Islam lain supaya bermusuhan dengan Iran.

PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).