Hai, kenapalah masih lagi orang perempuan ­lebih ke depan pencapaian akademik mereka dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Nak cerita ni, waktu abang hensem di sekolah menengah dulu-dulu, ada seorang kawan perempuan tu punya­lah cerdik, sampaikan ‘tak pasti dia ni dari planet mana’.

Selepas tu, abang hensem pun cuba periksa apa yang tidak kenanya dengan kami kaum Adam ini. Selidik punya selidik, dapatlah data saintifik ini - para saintis berpendapat, wanita memang mempunyai kelebihan dalam bidang akademik.

Ini kerana otak wanita dibentuk untuk kecemerlangan tersebut dan kebanyakan peperiksaan dikatakan mempunyai kecenderungan gender, lebih memihak kepada orang perempuan.

Dikatakan, para saintis percaya wanita berfikir dengan kedua-dua belah hemisfera otak sedangkan lelaki menggunakan hanya satu sisi hemisfera otak untuk berfikir. Analogi yang paling dekat barangkali pesawat terbang yang berenjin kembar dengan yang berenjin tunggal.

Meskipun otak wanita lebih kecil saiznya tetapi ia dapat berfungsi lebih berkesan daripada otak lelaki. Ini disebabkan adanya perbezaan anatomi yang nyata antara lelaki dan wanita terutama pada struktur otak yang dikenali sebagai corpus callosum.

Corpus callosum adalah seberkas serat-serat saraf yang menghubungkan hemisfera otak kiri dan kanan. Telah dibuktikan corpus callosum wanita lebih tebal dan lebih berisi daripada lelaki. Kelebihan anatomik ini memungkinkan lebih banyak pertukaran maklumat antara kedua-dua hemisfera otak mereka.

Kajian autopsi (single blind) pula membuktikan jari­ngan antara sel-sel otak lebih banyak dan lebih padat pada wanita daripada lelaki. Maka tidak hairanlah mengapa otak mereka lebih superior dalam bidang tertentu daripada lelaki.

Hai, macam-macam boleh jumpa kalau digodek data-data saintifik ini. Entah betul, entah tidak.

Abang hensem bukannya apa. Terujalah sedikit dengan kecerdikan orang perempuan dalam akademik.

Bukan itu sahaja, bila periksa rekod pihak berkuasa yang kendalikan pilihan raya, didapati separuh atau lebih sedikit 50 peratus daripada kira-kira 14 juta pe­ngundi di negara ini pun dikuasai orang perempuan.

Abang hensem cukup pasti kejayaan mereka ini di­sebabkan orang perempuan ada satu tabiat iaitu membuat jadual harian untuk kehidupan mereka. Dalam bahasa Inggeris, disebut time management. Mereka buat dan mereka ikut. Tetapi lelaki? Buat boleh, nak ikut? Jangan harap.

Apa pun cabaran orang perempuan meredah hidup ini termasuk berjaya mengisi kekosongan jawatan-jawatan penting kerajaan, abang hensem terpaksa akurlah untuk salute.

Cuma ada kalanya muncul pula dari ‘bilik sebelah’ sindir menyindir itu ini berkaitan kejayaan orang perempuan.

Suatu ketika pada tahun 2010, Setiausaha Agung CUEPACS ketika itu, Ahmad Shah Mohd. Zain mencetuskan kontroversi meluahkan kebimbangannya mengenai ‘dominasi wanita’ di dalam perkhidmatan awam.

Beliau menyatakan bahawa 75 peratus jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan 70 peratus profesion keguruan dipenuhi oleh wanita. Ini katanya, dilihat mengancam kewibawaan dan dominasi kaum lelaki yang dilihat sepatutnya lebih menguasai segala bidang kerjaya.

Banyak pihak yang tidak senang dengan kenyataan beliau. Media melaporkan pelbagai pendapat dari pihak-pihak yang mempertahankan hak wanita untuk turut sama membantu secara aktif di dalam pembangunan negara. Ke manakah perginya pekerja dan profesional lelaki yang secara lumrahnya mengisi segala jawatan-jawatan ini? Jawapannya mungkin boleh didapati apabila melihat isu tentang mengapa anak perempuan dilihat lebih ramai menyerlah dari segi akademik berbanding lelaki.

Begitu pun dalam isu ini, abang hensem terpanggil juga ‘selidik’ apa yang ada ketikanya ‘tidak kena’ dengan orang perempuan.

Input yang abang hensem perasan adalah bos-bos wanita kerap dikatakan bertindak lebih emosional. Kebanyakan lelaki takut berketuakan wanita kerana mereka sukar membuat kata putus dan terlalu banyak pertimbangan. Hal ini mungkin disebabkan dari segi emosi pun, mereka menggunakan kedua-dua belah otak sedangkan lelaki menggunakan hanya sebelah otaknya sahaja untuk memperlihatkan emosinya. Kadang-kadang langsung tiada emosi. Tengoklah wayang bersama orang perempuan menonton cerita sedih Hindustan, ‘banjir panggung’ dibuatnya. Mereka menangis pun pakai dua otak, betulkah?

Bagaimana pula dengan ketinggian tahap IQ (Intelligence Quotients), EQ (Emotional Quotients) dan SQ (Spiritual Quotients)? Ketiga-tiganya amat penting dan perlu seimbang di dalam melahirkan insan cemerlang. IQ penting dari segi kebijaksanaan intelektual, EQ penting untuk perkembangan dan kematangan emosi manakala SQ penting untuk perkembangan rohani.

Pandangan awam mendapati pelajar perempuan lebih cepat matang (EQ) dan bijak belajar (IQ). Mereka juga le­bih berdisiplin dan menghormati peraturan (SQ). Namun begitu, belum ada kajian secara menyeluruh yang membuktikan pelajar lelaki lebih rendah ketiga-tiga Q tersebut. Malah jika dilihat secara kasar, kebanyakan penghafal al-Quran adalah dari pelajar lelaki yang membuktikan mereka juga tinggi IQ, EQ dan SQ nya.