UKE: Alangkah mudahnya jika segala-galanya berlandaskan kepada syarak termasuklah dalam bab hantaran perkahwinan dan di sini terdapat beberapa penjelasan berkaitan;

  • Yang wajib ialah mas kahwin dan itulah yang paling utama dan bukannya wang hantaran.
  • Bersyukurlah anak perempuan kita sudi disunting untuk dijadikan isteri maka hargailah keinginan itu dengan tidak menyusahkan pihak lelaki.
  • Jika wang hantaran itu tidak membebankan si lelaki kerana dia seorang yang kaya dan berkemampuan maka ia tidak menjadi masalah kerana wang hantaran ini adalah sebagai hadiah kepada bakal isterinya.
  • Kadang-kadang wang hantaran tinggi kerana alasan kos kenduri adalah tinggi maka persoalannya adakah pihak lelaki yang perlu menanggung kos kenduri bagi pihak perempuan? Kalau hendak buat kenduri besar-besaran cubalah tetapi jangan membebankan pihak lelaki.
  • Jika pihak lelaki bersetuju dengan kadar wang hantaran yang dipinta tetapi kurang berkemampuan untuk mengadakan kenduri maka memadailah adakan kenduri dengan menumpang di sebelah perempuan sahaja. Sebelah lelaki tidak perlu diadakan kenduri.
  • Ada juga sesetengah ibu bapa menetapkan wang hantaran dalam jumlah tertentu dan wang itu kemudian dikembalikan kepada anak perempuan mereka untuk membeli perkakas rumah tangga.
  • Kurangkanlah perkara-perkara yang tidak perlu dalam belanja perkahwinan maka insya-Allah rendahlah belanjanya. Kendurilah mengikut kemampuan bukan mengikut kemampuan orang lain.