Sudah tentu, sambutan yang disambut setiap tahun ini mempunyai tujuan dan hasrat yang murni, memugar sejarah Hijrah Nabi, merencana masa depan ummah dan watan.

Peristiwa Hijrah adalah langkah pertama dan bersejarah bagi umat Islam membina empayar kegemilangan ke seantero dunia.

Peristiwa hijrah tidak sekadar pergerakan manusia secara fizikal atau secara geografi dari Mekah ke Madinah, peralihan budaya primitif kepada budaya progresif, perubahan kejumudan kepada kemajuan, memusnahkan ketaksuban kepada perpaduan.

Tuntasnya, peristiwa Hijrah adalah bukti nyata dan contoh hidup yang menzahirkan falsafah yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.

Di antara kejayaan terbesar hijrah Nabi ialah penggubalan dokumen perlembagaan negara secara bertulis yang pertama iaitu Perlembagaan Madinah. Melalui pembentukan negara Islam ini, Rasulullah SAW berjaya menunjukkan cara pemerintahan Islam yang lengkap sebagai sebuah negara yang aman lagi harmoni, selamat lagi sejahtera, makmur lagi bahagia berpandukan kepada hukum Allah.

Di dalam Perlembagaan Madinah mengandungi 47 Fasal mempunyai enam prinsip utama yang menjadi asas kukuh negara Madinah iaitu Kedaulatan Undang-Undang, Kebebasan, Persamaan, Keadilan, Kesatuan dan Syura.

FORMULA RAHMAH MENSEJAHTERAKAN UMMAH

Kalimah Rahmah didalam Al-Quran diulang-ulang lebih daripada 300 kali dan salah satunya dari sepotong ayat Al-Quran, surah Al-Anbiyak ayat 107 iaitu “dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Menurut Ibn Al-Jawzi, kalimah Rahmah secara literal bermaksud kasih sayang. Sesuai dengan lafaz lil ‘alamin, konsep Rahmah ini bersifat universal yang merangkumi semua aspek kehidupan. Manifestasi Islam sebagai rahmat buat sekalian alam ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah.

Hadith yang riwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah R.A katanya bahawa, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menjadikan rahmat (kasih sayang) itu 100 bahagian. Maka dipeganglah disisi-Nya 99 bahagian dan diturunkan-Nya 1 bahagian untuk seluruh makhluk-Nya. Sekiranya orang kafir mengetahui setiap rahmat (kasih sayang) yang ada di sisi Allah, nescaya mereka tidak akan berputus asa untuk mendapatkan syurga, dan sekiranya orang Mukmin mengetahui setiap azab yang ada di sisi Allah, maka dia tidak akan (mengaggap dirinya) aman daripada neraka”.

Menurut Imam Ibnu Kathir, Allah menciptakan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam bererti Allah mengutuskan rahmat buat semua makhluk. Sesiapa yang menerima rahmat dan bersyukur maka dia akan berbahagia didunia dan akhirnya. Sesiapa yang ingkar kepada rahmat Allah dan mengkufurinya maka dia akan menempah kesusahan didunia dan akhirat.

MALAYSIA : MODEL NEGARA RAHMAH

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, etnik, bahasa, budaya dan agama. Kendatipun di Malaysia wujud kepelbagaian yang kompleks, namun keharmonian dan perpaduan sentiasa terpelihara serta terjamin melalui persefahaman bersama dan menjunjung prinsip keadilan. Prinsip adil sentiasa diutamakan oleh Islam sebagai asas utama konsep Rahmah dalam bernegara.

Menyedari hakikat kepelbagaian anugerah Allah kepada Malaysia, satu formula yang sesuai dengan konteks Malaysia iaitu Model Negara Rahmah. Sebuah negara yang berintegriti, tadbir urus yang baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakatnya berilmu, berakhlak saling hormat-menghormati, adil dalam mengagihkan kekayaan negara dan memastikan pembangunan lestari.

Terdapat tiga teras utama pembinaan negara Rahmah yang menjadi batu asas menjayakan hasrat ini iaitu Rahmatan lil Alamin, Pendekatan Maqasid Syariah dan Model Malaysia. Bagi memudahkan kefahaman dan penghayatan Model Negara Rahmah ini, 6 nilai dibentuk untuk menterjemahkan ekosistem pentadbiran Negara Rahmah iaitu

R (RAMAH), A (Aman), H (Harmoni), M (Mesra)​, A (Alami) dan H (Hormat).​

​Setelah melalui fasa penerangan yang akan dilakukan secara berterusan, Jakim dan agensi-agensi Agama giat menjalankan program-program yang berorentasikan RAHMAH kepada pelbagai golongan termasuk Islam dan bukan Islam. Inisiatif awal yang digerakkan ialah Masjid Rahmah iaitu menjadikan Masjid sebagai one stop centre menyantuni masyarakat setempat. Masjid harus menjadi tempat yang mesra kepada semua golongan termasuk wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya serta menjadi tempat yang aman dan harmoni.

​Selain itu, inisiatif Hospital RAMAH sedang giat dilaksanakan iaitu mendekatkan institusi Masjid dengan Hospital melalui aktiviti kesukarelawanan masjid. Program ziarah ke hospital ini dapat mempamerkan sikap ramah dalam menyantuni insan yang sedang diuji dengan kesihatan. Sekali gus mempamerkan nilai Islam sebagai agama rahmat kepada semua makhluk.

​Menyedari peranan media sosial penting dalam dunia hari ini, penjelasan dan pembudayaan nilai-nilai Rahmah aktif disiarkan melalui penerbitan video pendek, Live Facebook dan penerbitan-penerbitan bertulis. Program-program penerangan dan pembudayaan akan terus dilaksanakan dan dipertingkatan bagi memastikan gagasan ini dapat diterima baik oleh masyarakat dan paling penting dibudayakan.

Diperingkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembangunan Lestari yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat pada 25 hingga 27 September 2015 telah memperkenalkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang disebut sebagai 17 Sustainable Development Goals (SDGs) atau Agenda 2030. 17 matlamat yang digariskan tersebut iaitu :

​Bagi mengintegrasikan matlamat Negara Rahmah dan Matlamat SDGs diperingkat antarabangsa, satu pendekatan yang komprehensif iaitu pendekatan Maqasid Syariah yang bersifat sejagat, inklusif dan dinamik digunakan untuk memastikan rahmat dan kesejahteraan negara dicapai. Lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mengandungi nilai teras tadbir urus (value based governance) ke arah mencapai matlamat kehidupan dan tadbir urus yang mampan dan lestari.

​Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, seharusnya kita mengambil iktibar disebalik peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW. Jika ingin ditulis semua pengiktibaran dari peristiwa ini tentulah tidak tertulis kerana terhimpun beribu hikmah yang tersurat dan tersirat. Seharusnya kita umat Islam perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup dalam semua aspek kehidupan sama ada hidup berkeluarga, bermasyarakat, urusan perniagaan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

​Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1441. Semoga tahun ini akan memberi kejayaan dan kesejehteraan kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan umat Islam diseluruh dunia.

**hmDatuk Mohamad Nordin Ibrahim adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia