Kes ujian saya adalah keadaan pekerja-pekerja Utusan Malaysia dan Bernama yang mengalami kesukaran pendapatan daripada majikan masing-masing. Diberitakan bahawa ramai pekerja yang terpaksa meminjam daripada ah long dan juga terpaksa bergolok gadai mencari nafkah untuk sesuap nasi dan seteguk susu anak-anak.

Umum mengetahui bahawa Bank Negara telah memberi amaran bahawa masyarakat pertengahan negara ini terlalu banyak berhutang hinggakan mereka tidak akan boleh menampung kehidupan jika tersekat pendapatan walau satu bulan sekalipun. Ini adalah keadaan yang amat berbahaya. Saya sendiri bersama isteri pernah mengalami kesempitan walaupun kedua-dua kami berpendapatan sederhana tinggi. Namun demikian budaya kehidupan yang mencabar dan kesilapan pelaburan adalah sesuatu yang perlu kita sebagai masyarakat dari semua kaum harus mengatasi.

KWSP BERPELUK TUBUH?

Tetapi apabila keadaan di mana syarikat yang menjadi punca pendapatan berada dalam krisis kewangan, maka saya ingin mengajak kesemua kita rakyat Malaysia merenung tiga entiti utama negara kita ini; Institusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bank-bank kita. Saya ingin menyoal sama ada pengurus-pengurus ketiga-tiga entiti ini ada hati perut organik atau jiwa raga daripada besi, skru atau wayar elektrik sebagai saraf? Adakah pengurus-pengurus dan pucuk kepemimpinan ketiga-tiga entiti ini robot berjiwa software atau manusia yang berjiwa kemanusiaan?

Jika berlaku keadaan di mana pendapatan golongan kelas pertengahan terganggu, saya cukup hairan kenapa orang-orang daripada KWSP duduk diam berpeluk tubuh? Ramai pekerja ini yang memerlukan suntikan pendapatan untuk menyambung sara hidup atau memerlukan bantuan untuk membuat perubahan struktur ekonomi mereka. Walau apa pun tindakan pekerja-pekerja malang ini suntikan dana diperlukan. KWSP memegang berbilion-bilion ringgit wang...pekerja-pekerja itu sendiri!

Kenapa KWSP diam seribu bahasa? Buatlah pengumuman untuk melepaskan 30% wang caruman kepada pekerja-pekerja yang mencarum. Dalam hal PTPTN, saya telah menulis artikel berkali-kali selama dua tahun, barulah baru-baru ini diumumkan formula menggunakan dana KWSP untuk membayar sebahagian wang pinjaman PTPTN. Takkanlah kita nak tunggu dua tahun lagi sebelum kita memberi bantuan kepada pekerja-pekerja Utusan dan Bernama dengan melepaskan ‘WANG MEREKA SENDIRI! Saya masih ingat ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri 20 tahun lalu. Ketika itu terjadi tuduhan bahawa pengaruh politik digunakan untuk membantu kepentingan perniagaan anak-pinak seorang politik veteran.

Desas desus diberitakan KWSP telah tidak ada dana lagi. Maka itu Tun M mencabar pencarum kalau nak keluarkan kesemua wang mereka, buatlah! Saya dan isteri keluarkan wang kami kesemuanya daripada KWSP ketika itu dan membayar habis hutang rumah. Saya kira KWSP tidak boleh bersikap berpeluk tubuh dengan mengatakan ia menjaga masa depan hari tua pencarum. Pokok pangkalnya pencarum perlukan suntikan dana SEKARANG! Bukan di hari tua. Mungkin hari tua mereka pun tak ada jika masalah sekarang tidak ditangani. Saya kira melepaskan RM20,000 hingga RM40,000 boleh memberi peluang pekerja bertindak membuat penstrukturan semula perbelanjaan mereka tanpa menjejaskan makan-minum anak-anak.

POLITIK BALAS DENDAM?

Entiti kedua yang saya nak tarik bincang adalah kerajaan PH sendiri. Kenapa kerajaan PH duduk tersengah tepi jalan sambil melihat krisis ekonomi kekeluargaan melanda 1,000 famili rakyat Malaysia kesemuanya? Kenapa dalam isu Felda, wang berbilion digunakan untuk menyelesaikan hutang Felda yang menyumbang wang, yang kemudiannya dipunah-ranah oleh pemimpin Melayu yang suka berkaraoke sepanjang malam?

Adakah jumlah pengundi yang bakal mengundi seramai beratus ribu diambil kira manakala pengundi Utusan dan Bernama hanya 1,000 sahaja? Adakah jumlah pengundi yang diambil kira formula politik pakatan? Atau lebih teruk lagi, adakah ini politik balas dendam? Umum mengetahui selama 20 tahun reformasi, kedua-dua entiti Utusan dan Bernama bertungkus-lumus berperang bagi pihak BN kepada tahap yang ‘melampaui batas Islam, Melayu malah kucing sekalipun’.

Apabila BN tewas, orang atas terus lepas tetapi yang bertali-temali di bawah bungkus lemas. Maka itu saya selalu mengingatkan dalam ceramah saya di universiti, di rumah dan di tempat awam bahawa politik balas dendam adalah suatu yang tidak mendatangkan manfaat apa-apa. Lihat contoh Rasulullah yang membebaskan Mekah dari mereka yang menghalau, memfitnah dan memburu baginda. Baginda maafkan.

Lihat contoh Nelson Mandela yang menubuhkan jawatankuasa untuk mengampun dan memaafkan sesama kaum kerana kalau dengki dibalas dendam, maka negara dan masyarakat sama-sama akan lebur dimakan api kebencian selama-lamanya. PH perlu belajar daripada Rasulullah dan Mandela. Jangan berdendam. Saya cadangkan PH tawarkan RM10,000 - RM20,000 pinjaman tanpa bunga yang boleh dibayar instalment selepas dua tahun berlalu. Dengan cara ini PH akan mendapat wangnya kembali sambil membantu pekerja-pekerja yang pada suatu ketika dahulu musuh kentalnya. Semua agama mengajar kita tentang tidak berdendam, berdengki dan selalu menghulur bantuan sebelum diminta.

BANK TIADA HATI PERUT?

Entiti ketiga sebagai sasaran saya adalah pihak bank-bank dalam Malaysia. Pun sama saya nak tanya; pengurusan bank-bank ini macam tak ada hati perut atau mungkin tak tahu baca surat khabar. Orang menjerit untuk dibantu tapi mereka pun diam seribu bicara. Not my problem...agaknya kata mereka. Bila rakyat kita yang Melayu, Cina India, Kadazan, Orang Asli terperit dalam cengkaman ekonomi, it is everybody’s problem ya sheikh! naik haji tiga kali kalau tak ada perasaan kemanusiaan mungkin tak laku lah haji hari itu. Sembahyang Tahajjud tengah malam tapi buta hati perut saya rasa tak ngam ibadat dan roh halus. Di akhirat nanti Allah akan tanya (seperti dalam satu hadis Qudsi yang saya baca) wahai manusia, aku kelaparan tetapi kamu tak bagi aku makan.

Manusia jawab Wahai Allah, bagaimana kami nak bagi kamu makan sedangkan kamu adalah Allah! Allah berkata kalau kamu bagi makan orang yang kelaparan maka kamu akan menjumpai Aku di situ. Kalau begitulah bunyi hadis itu, kita nak jawab macam mana di akhirat nanti? Saya cadangkan tawarkan pinjaman RM20,000 kepada pekerja-pekerja ini dengan bunga wang 2% dan instalment dibayar setelah dua tahun berlalu. Jangan buat borang tu susah sangat, Approval 48 jam. Lihat Jack Ma yang kini menjadi banker yang canggih.

Dia beri pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil dengan permohonan melalui telefon pintar dan kelulusan 24 jam! Dikhabarkan beliau memberi kepada 16 juta peminjam!. Bank-bank kebiasaannya tak suka bagi pinjam sikit-sikit dan kepada peniaga yang tak ada koletoral besar. Tetapi terkejut beruk-lah mereka melihat kejayaan Jack Ma yang mempunyai prinsip dari awal kerjayanya iaitu ‘membantu peniaga-peniaga kecil-kecilan’. Kini bank-bank kita perlu membuat ‘pelaburan kemanusiaan’ dan mungkin ia akan membuahkan dividen yang berupa lebih dari wang ringgit tetapi jumlah peminjam dan pelabur yang lebih ramai.

Dalam menyambut Hari Kemerdekaan kita yang entah ke berapa, baiklah kita mulakan perubahan untuk lebih berlapang dada dan berjiwa manusia dan membantu semua rakyat tidak kira kaum dan ugama demi masa depan anak-anak kita semua. Semua rakyat Malaysia perlu dibantu dalam apa cara sekalipun oleh ketiga-tiga entiti KWSP, kerajaan PH dan bank-bank kita supaya revolusi Industri 4.0 boleh bergerak seiring dengan revolusi Jiwa 2.0.

Negara Berjiwa Rakyat Berjaya.

PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.