Demikian petikan dari satu makalah dihasilkan Allahyarham Profesor Ismail Hussein, kira-kira 40 tahun lalu. Makalah itu ditulisnya dalam bahasa Inggeris berjudul Indigenous Culture and Immigrants Communities -The Example of Malaysia. Asalnya ditulis sebagai satu kertas kerja untuk dibentangkan dalam satu persidangan kebudayaan di Tubingen, Jerman pada musim panas 1977. Kemudian diterbitkan di Malaysia dalam pelbagai format (sebagai artikel akhbar harian dan sebagai satu bab dalam buku kumpulan bersama serta difotokopi untuk bahan kuliah).

Kerana nada dan kandungannya bersifat kontroversi, makalah itu telah menimbulkan polemik dalam bentuk lisan dan tulisan. Masyarakat Melayu menerima dan mengalu-alukan pandangan dan hujah Ismail manakala masyarakat bukan Melayu memberikan reaksi sebaliknya. Saya sendiri telah menjadikannya bacaan wajib bagi mahasiswa yang mengikuti kursus sains politik yang saya ‘kuliahkan’ di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) pada penghujung 1970-an.

MENCOLOK

Setelah lebih 40 tahun berlalu, tiba-tiba saya teringat kembali makalah tersebut apabila membaca satu berita di akhbar (dalam talian) pada Ahad lalu. Berita itu mempunyai judul yang panjang: Experts: Social contract never in the Constitution. Sumber berita ialah satu majlis forum yang berjudul Social Contract and Its Relevancy in Contemporary Malaysia. Forum itu berlangsung di UM, hujung minggu lalu.

Reaksi spontan saya setelah membaca berita tersebut adalah, apakah muslihat mempersoalkan kontrak sosial itu? Dan lebih spesifik lagi, apakah tujuan untuk mengatakan bahawa istilah kontrak sosial tidak terdapat (tidak wujud) dalam Perlembagaan? Adakah ini satu provokasi halus untuk menolak (mencolok) pihak lain untuk bertindak lebih kasar?

Sepanjang pemahaman saya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (yang kemudian bertukar nama menjadi Persekutuan Malaysia) adalah hasil daripada kesepakatan (persetujuan) pelbagai pihak yang telah melalui beberapa tahap perundingan dan konsultasi. Peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan itulah yang selama ini kita rujuk dengan ungkapan kontrak sosial sebagai hasil daripada persetujuan dan tolak ansur pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dan kehendak berbeza-beza.

Walaupun ungkapan kontrak sosial tidak terdapat secara explicit (tersurat) dalam naskhah Perlembagaan, tetapi secara implicit (tersirat), ia merujuk kepada persetujuan dan semangat tolak ansur yang menampung kepentingan dan aspirasi pelbagai pihak. Untuk pengertian yang lebih terperinci, ‘persetujuan’ itu boleh dirujuk sebagai kontrak sosial antara orang Melayu sebagai masyarakat pribumi dengan kaum imigran, antara raja dengan rakyat dan antara negeri-negeri (kerajaan negeri) dengan Kerajaan Persekutuan.

Dengan lain perkataan, konsep kontrak sosial itu boleh dianggap sebagai mempunyai pelbagai dimensi, tetapi dimensi yang lebih tertonjol selama ini ialah persetujuan dan kesediaan bertolak ansur antara pihak pribumi dan kaum imigran yang dirumuskan dengan semangat tolak ansur, mengambil kira kesinambungan sejarah dan mengimbanginya dengan realiti semasa.

DUA JUTA IMIGRAN

Inti daripada persetujuan itu ialah: Hampir dua juta penduduk keturunan imigran mutakhir yang tidak mempunyai status kerakyatan sebelum merdeka diberi hak kerakyatan. Penduduk pribumi yang telah turun temurun menjadi rakyat sultan-sultan negeri berkenaan pula diberi hak dan kedudukan istimewa, Islam diiktiraf menjadi agama Persekutuan, kedudukan dan institusi kesultanan dikekalkan, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan kewujudan tanah rizab Melayu diberi peruntukan dalam Perlembagaan.

Sumber rujukan Wikipedia memberi penjelasan ringkas sebagai berikut: Kontrak sosial (dalam konteks Malaysia) merujuk kepada pertukaran (trade off) melalui Peruntukan 14-18 Perlembagaan mengenai pemberian kerakyatan kepada bukan bumiputera Malaya (terutama penduduk keturunan Cina dan India) dengan Peruntukan 153 yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu.

Ertinya, walaupun ungkapan kontrak sosial tidak terdapat dalam naskhah Perlembagaan, penggunaannya dalam komunikasi sosiopolitik Malaysia selama ini adalah merujuk kepada apa yang dijelaskan oleh Wikipedia dan keterangan yang dicatatkan di atas. Untuk perbandingan, umpamanya ungkapan Wawasan 2020 tidak terdapat dalam naskhah ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjudul Malaysia: The Way Forward yang disampaikan sempena pelancaran Malaysian Business Council pada 28 Februari 1991.

Tetapi kandungan dan tujuan serta semangat dan falsafah terkandung dalam naskhah ucapan tersebut dirumuskan dengan ungkapan Wawasan 2020 dan diterima sebagai matlamat bersama yang hendak dicapai rakyat Malaysia.


HAIRAN

Begitu pula ungkapan kontrak sosial adalah satu rumusan persetujuan (contract) yang dicapai dengan semangat bertolak ansur antara pihak-pihak berkepentingan dan hasrat berbeza-beza malah ada yang bertentangan. Persetujuan itu diperlukan untuk menjamin agar pihak-pihak berkenaan dapat hidup rukun dan damai. Semua ini dirumuskan oleh ‘bapak-bapak pengasas’ negara ini di ambang kemerdekaan.

Ini adalah satu persiapan mental dan emosi untuk hidup secara harmoni dalam sebuah negara merdeka yang sekian lama teraniaya akibat penjajahan yang mengamalkan dasar pecah-pecah dan perintah. Ertinya, walaupun hendak dirujuk dengan istilah atau ungkapan lain, kandungan dan semangat serta perincian daripada ungkapan kontrak sosial yang kita fahami selama ini adalah perlu sebagai satu persiapan mental dan emosi untuk hidup secara harmoni di sebuah negara merdeka dengan penduduk mempunyai latar belakang berbeza-beza.

Kerana itulah kita berasa hairan apabila ada pihak yang mempersoalkan sekiranya ungkapan kontrak sosial itu terdapat dalam Perlembagaan atau tidak. Lebih menghairankan lagi bila isu ini ditimbulkan semasa tenaga politik bumiputera berpecah belah manakala perpaduan kuasa puak bukan bumiputera semakin terserlah.

Ini mengingatkan kita kepada satu petikan daripada artikel Profesor Ismail Hussein di Tubingen, Jerman, 42 tahun lalu iaitu: Malaysian politics have always been a fascinating interplay between the indigenous and the immigrant attitudes.the interplay between indigeneity and immigrantism.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Senator, penyair dan penganalisis politik.