Kalau ada pe’el (perlakuan) yang ‘menjegilkan’ kan mata, hanya pakat ramai-ramai kuatkan suara dari belakang, berhentilah waktu itu juga. Kalau masih lagi diteruskan benda yang tidak senonoh itu, alamat makan penampar atau penumbuklah.

Tapi zaman sekarang lain bang. Kalau tak suka orang perempuan merokok, sekadar boleh tengok sajalah.

Jangan pula orang macam abang hensem nak terjah. Silap-silap perempuan tadi buat cool saja. Kawan dia di sebelah tu ­diam-diam pasang video. Sete­ngah jam kemudian masuk Whats­­App dan Facebook. Habislah abang hensem nak letak muka di mana.

Kalau tak kena haribulan, belum keluar ofis, sudah terpacak mata-mata (polis) di luar. Angkut ke balai. Mana tidaknya, muka dah viral...sampaikan komen Siti Kasim yang pedas pun nanti tak mampu abang hensem nak cari penawarnya.

Pasal isu perempuan merokok ini, kalau nak kata ini emansipasi (hak kebebasan) wanita tak juga.

Waktu abang hensem kecil dulu, atuk abang hensem suka benar suruh abang hensem beli rokok ‘besen’. Dapatlah upah 5 sen. Pergi kedai, katanya, cakap nak beli rokok ‘besen’. Tuan kedai bagi satu kotak. Lama-kelamaan baru abang hensem tahu nama standardnya benson & hedges.

Tapi nenek pula gemar rokok daun dicalit sedikit tembakau. Orang tua-tua waktu itu tidak larang sangat kalau hisap rokok daun. Tapi kalau rokok “sigret” pantang sekali. Entahlah sebab apa. Padahal kalau di kira, rokok daun lagi bahaya.

Semasa itu tak ada pula perempuan-perempuan muda ‘menggatal’ hisap ‘sigret’. Nak m**p*s. Rokok daun apatah lagi. Paling tidakpun adalah sekali-sekali mak abang hensem kunyah sireh. Nenek apa lagi. Bila dah dewasa, barulah abang hensem tahu kebaikan kunyah sireh ni. Boleh cegah bau mulut dan jaga kesihatan gigi dan gusi. Batang dan daunnya juga dapat elak gangguan pencernaan, sembelit, batuk dan asma. Tapi zaman sekarang tak nampak lagi wanita kunyah sireh. Tak digemari pasangan mereka.

Waima apa pun, abang hensem kena jaga juga tepi kain orang lain. Kalau ikutkan Peggy Reynolds dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan California, Amerika Syarikat, wanita merokok hadapi risiko 30 peratus lebih tinggi dijang­kiti kanser payu dara.

Merokok dalam kalangan wanita boleh menyumbang kepada lebih 25 jenis barah. Antaranya barah pangkal rahim, mulut, paru-paru, tekak, perut, pundi kencing, pan­kreas dan ginjal. Sembilan puluh peratus daripada kes kan­ser jenis ini kerana tabiat merokok.

Sebenarnya bukan sahaja wanita, lelaki pun patut jauhi amalan merokok. Sama juga penyakitnya yang dipapar abang hensem tadi. Tak boleh lari kalau tegar sangat keta­gihnya.

Penghisap rokok dalam kita pun sudah sampai tahap membimbangkan. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun. Jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang rokok pada 1998.

Tapi rakan-rakan abang hensem ni beli tetap beli. Hisap tetap hisap walaupun macam-macam cara dibuat oleh kerajaan. Dulu ditulis label Amaran oleh kerajaan Malaysia, merokok membahayakan kesihatan. Kemudian, diletak pula gambar ngeri kesan akibat rokok. Tapi orang masih tak kisah.

Arwah tok guru idola abang hensem, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah kata, orang hisap rokok lebih hina dari lembu. Hai, tak tahulah abang hensem nak cakap mana dah.

Kadang-kala bila ada perempuan hisap rokok di tempat awam, abang hensem hanya cuba bayangkan dia kunyah sireh. Kelakarkan!.

Nasib baiklah tempoh hari vape diharamkan. Kalau tidak, mana nak letakkan make-up, handphone dan segala bagai alat dalam handbag.

Agaknya elok juga akak cun, rakan abang hensem nasihatkan orang perempuan yang gemar hisap rokok di khalayak ramai ini supaya jadi lebih budiman. Gentleman bukan hanya untuk lelaki.

Perempuan merokok, bagi abang hensem yang pertama, giginya hitam, jelek. Jadi kerepot dan ketiga dia berbau.

Kalau tak keruan sangat, ha! masuk toilet lepaskan gian tu. Nak menunjuk buat apa. Bukan nampak seksi pun.

Apa lagi bila yang berhijab (bertudung) hisap rokok...bukankah anda nampak mur*h.