Lebih manis lagi apabila pemilihan tersebut ditentukan oleh 14 orang ahli jemaah hakim dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura, Negara Brunei Darussalam dan lain lain yang menilai dari sudut Tajwid, Fasohah, Tarannum dan Suara. Malah buat pertama kalinya peserta daripada Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast menyertai musabaqah yang berprestij ini.

Lebih daripada itu, pembaca al-Quran sebenarnya mempunyai kedudukan terpuji di dunia dan akhirat. Mana tidaknya di saat orang ramai berharap bantuan dan pertolongan di Hari Kiamat, pembaca al-Quran dijanjikan dengan syafaat yang tersendiri. Ini seperti sabdanya yang bermaksud “Bacalah al-Quran kerana dia pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada para sahabatnya (Riwayat Muslim).

Lebih mulia lagi pembaca al- Quran di akhirat akan dipinta untuk membaca al-Quran dan masuk ke dalam syurga. Dalam sebuah riwayat disebutkan “Bacalah al-Quran dan naiklah ke syurga, Bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia, kerana syurga yang engkau tempati berdasarkan ayat terakhir yang kau baca”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)

Justeru, masyarakat Islam diajak turut sama membaca al-Quran ataupun mendengarkan bacaannya setiap hari. Ini supaya aktiviti membaca al-Quran dapat dilakukan sepanjang masa dan tidak terhad melalui aktiviti khatam al-Quran di majlis-majlis tertentu sahaja.

Molek juga jika dapat diprogramkan untuk khatam sebulan sekali ataupun setidak-tidaknya setahun sekali agar al-Quran dan pengajarannya dekat dengan hati sanubari setiap muslimin. Begitu pula disarankan agar di rumah, di pejabat, di toko-toko perniagaan mahupun di dalam kenderaan diperdengarkan bacaan al-Quran demi mengharap ganjaran yang dijanjikan.

Kedudukan al-Quran sebagai kitab suci yang dipelihara Allah daripada sebarang penyelewengan dan kekurangan jelas dapat dilihat dari sudut kemukjizatannya dalam pelbagai bidang sains dan teknologi masa kini. Ia sekali gus mengajak ilmuwan untuk terus mengkaji dan meneliti kebenaran al-Quran seraya beriman dengan Allah SWT Tuhan sekelian alam.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.