Ketiadaan pertandingan dalam jawatan tertinggi Pas melibatkan ketiga-tiga sayap Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Ulama serta di peringkat Pas Pusat sendiri dikatakan menjadi faktor yang mewujudkan suasana berkenaan.

Kejutan 'kecil' hanya berlaku dalam pertandingan memilih tiga naib presiden Pas kerana pada mulanya terdapat empat calon selepas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar masuk gelanggang bersama penyandang, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad yang melepasi syarat untuk bertanding.

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sesuatu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abd
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sesuatu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Kuantan, Pahang, kelmarin. 

Namun, keputusan Iskandar menolak pencalonan namanya seperti diumumkan pada hari pertama Muktamar Tahunan Pas Ke-65 kelmarin kerana berasakan jawatan naib presiden Pas seharusnya dan lebih sesuai diisi dalam kalangan mereka yang berprofil tinggi, membuka laluan kepada Ahmad Samsuri mengisinya bersama dua lagi penyandang tersebut.

Ada yang menganggap perjalanan muktamar kali ini janggal kerana jawatan-jawatan tertinggi parti itu dimenangi tanpa bertanding namun bagi Pas, ia membuktikan ketenangan sekali gus melambangkan tidak wujud pergolakan atau aktiviti tidak sihat dalam parti berkenaan. Suasana tersebut sebenarnya membolehkan pemimpin-pemimpin Pas dan para perwakilan memberi sepenuh tumpuan terhadap perbincangan untuk menggariskan dasar dan hala tuju perjuangan parti yang merupakan tujuan utama persidangan tahunan yang memasuki edisi ke-65 itu diadakan.

Sudah tentu berasaskan perkembangan politik semasa, topik ta'awun siayasi atau kerjasama ke arah kebaikan dengan UMNO yang sebelum ini menjadi seteru politik Pas menjadi topik perbahasan tumpuan dalam persidangan kali ini.

Permulaan kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu diperlihat pada Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Terengganu tahun lalu. Menyingkap sejarah kerjasama politik Pas, parti berkenaan pernah menyertai Parti Perikatan pada 1973 dan menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum dikeluarkan daripada perikatan tersebut pada 1978 disebabkan krisis politik di Kelantan.

Pas kemudian bersama Semangat 46 dan parti kecil lain membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada 1990 manakala sembilan tahun selepas itu, parti tersebut menerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (Gerak) menubuhkan Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihan raya umum tahun berkenaan. Pas menjadi parti komponen Pakatan Rakyat pada 2008 bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sejarah menunjukkan Pas pernah bersama dan berseteru dengan UMNO. Kali ini, kerjasama antara kedua-dua buah parti itu kembali dirintis walaupun bukan mudah untuk menjayakannya berikutan pengalaman dan persengketaan lampau.

Namun, atas semangat dan komitmen mahu mewujudkan suasana baharu dalam politik Malaysia yang berlandaskan kepemimpinan Islam, teraju Pas dan ahli akar umbinya menunjukkan semangat positif serta memberikan mandat terhadap agenda berta'awun dengan UMNO.

Atas semangat berkenaan, sayap kanan Pas, Dewan Ulama yang mempunyai suara kuat dan lazimnya dituruti oleh ahli parti berkenaan meluluskan usul ta'awun siyasi dalam muktamar tahunannya Khamis lalu.

Dewan Pemuda Pas yang menyelesaikan persidangannya Rabu lepas pula menyatakan terbuka untuk mengadakan kerjasama selagi pihak-pihak terlibat memahami dan menerima prinsip perjuangan 'Demi Islam' yang dibawa parti berkenaan.

SEMAKIN DITERIMA

Terdahulu, Dewan Muslimat Pas yang lebih awal bersidang menyifatkan usaha penyatuan ummah antara Pas dan UMNO merupakan agenda besar yang memerlukan kerjasama semua peringkat parti.

Semasa perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) Pahang di Kuantan kelmarin yang dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, sejarah terpahat apabila empat menteri besar kerajaan negeri pembangkang iaitu Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu duduk sebaris di atas pentas.

Ia merupakan cerminan kepada kesungguhan dan keseriusan pemimpin Pas serta UMNO menyambut ta'awun siyasi sekali gus sebagai simbolik di peringkat kepemimpinan kedua-dua buah parti bahawa mereka pada peringkat ini mempunyai hubungan yang sangat baik, maka ahli akar umbi wajar mengikuti dan memahaminya.

Berdasarkan perkembangan terkini, ahli akar umbi Pas semakin menerima kerjasama dengan UMNO itu, malah dalam kalangan mereka yang sebelum ini tidak boleh mendengar nama UMNO disebut sudah kian 'sejuk'.

Bagi Pas dan UMNO, agenda penyatuan itu mesti dilaksanakan dan perlu kental untuk mengatasi sebarang halangan, di dalam dan di luar parti jika ingin menjadikan ta’awun sebagai strategi ampuh memastikan keberadaan masyarakat Melayu sebagai kaum teras yang menjadi penentu kestabilan politik tanah air.