Australia yang mengetuai pencarian tersebut bersama-sama dengan Malaysia dan China ­telah memohon maaf kerana gagal memberi jawapan bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga masyarakat antarabangsa mengenai apa yang menimpa pesawat tersebut kerana maklumat yang diperoleh setakat ini adalah begitu terhad sekali.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penum­pang pada 8 Mac 2014 dianggap suatu kehilangan misteri kerana dipercayai telah dilencongkan beribu kilometer dari laluan asal dan menuju ke Lautan Hindi. Misteri kerana tidak diketahui mengapa pesawat tersebut dilencongkan dan juga masih belum dapat disahihkan kedudukan lokasi terakhir pesawat tersebut.

Walaupun proses penca­rian dibantu dengan peralatan tercanggih dan dilaksanakan secara intensif selama 1,046 hari yang secara keseluruhannya mene­lan kos lebih dari RM$670 juta, hakikatnya masih belum dike­temukan bukti sahih yang mampu memberi penunjuk di mana lokasi MH370. Walaupun beberapa serpihan yang disahkan milik pesawat dijumpai terdampar beberapa ribu kilometer jauhnya dari kawasan pencarian, misteri kehilangan menjadi lebih rumit untuk diperjelaskan.

Tetapi suatu perkara yang nyata adalah laporan akhir ATSB tidak boleh dianggap sebagai faktor penamat proses penca­rian MH370 kerana seperti yang telah ditegaskan oleh ketiga-tiga negara terbabit, pencarian diberhentikan buat sementara waktu sehingga maklumat terbaharu diperoleh.

Perlu ditekankan proses pencarian di Lautan Hindi adalah ­berasaskan maklumat yang di­salurkan oleh data dari satelit Inmarsat dan data tersebut yang asasnya digunakan untuk komunikasi tidak mempunyai ketepatan tinggi jika digunakan untuk penentuan lokasi. Berbeza dengan data dari satelit GPS ­umpamanya yang sering digunakan dalam memudahkan pemanduan mampu memberi lokasi kedudukan kenderaan dengan tepat, data Inmarsat tidak mempunyai kemampuan seperti GPS.

Hakikatnya, segala usaha yang terdaya telah dilakukan oleh ketiga-tiga negara dalam melaksanakan proses pencarian yang bermula di Laut China Selatan dan kemudian beberapa ketika di Laut Andaman dan Selat Me­laka sehinggalah terkini di Lautan Hindi.

Walaupun berhadapan de­ngan risiko kegagalan yang begitu tinggi terutama sekali pencarian di sebelah pantai barat Australia kerana Lautan Hindi bukan sahaja mempunyai kitaran cuaca yang begitu ekstrem tetapi juga kerana hanya bersandarkan data Inmarsat, maka kerjasama di antara Australia, Malaysia dan China adalah manifestasi iltizam ketiga-tiga negara merungkai misteri MH370.

Begitu juga apabila misi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan di Laut China Selatan pada 48 jam pertama apabila MH370 terputus hubungan, Malaysia yang mengetuai misi SAR menghadapi pelbagai rinta­ngan kerana kawasan pencarian adalah begitu sensitif disebabkan percaturan geopolitik yang berkait dengan tuntutan sempadan maritim yang bertindih.

Malaysia, Vietnam dan China umpamanya berhadapan dengan tuntutan bertindih yang melibatkan beberapa terumbu dan ­beting sementara Amerika Syarikat (AS) pula turut terlibat dalam percaturan geopolitik dengan China.

Tetapi seperti yang diketahui kesemua isu sensitif tersebut diketepikan demi SAR MH370 dan pada satu ketika sebanyak 26 negara telah terlibat dalam misi pencarian tersebut.

Bukan sahaja jumlah negara yang terlibat begitu menakjubkan tetapi negara kuasa besar se­perti AS, China dan Australia telah membawa peralatan tercanggih demi kejayaan misi pencarian. AS umpamanya telah menggunakan pesawat tinjauan tercanggih iaitu Poseidon P-8A sementara China pula dengan pesawat kemam­puan serupa iaitu Ilyushin IL-76s. Tentera Udara Australia (RAAF) pula membawa pesawat tinjauan tercanggih mereka P3 Orion dalam usaha membantu SAR MH370 di Laut China Selatan.

Sebab itu tidak adil jika masih terdapat tuduhan yang dilemparkan terutama sekali terhadap Malaysia dan Australia yang menjurus kepada persepsi bahawa kedua-dua negara ini tidak bersungguh dalam merungkai misteri kehilangan pesawat MH370.

Bagi Malaysia umpamanya, kerajaan membelanjakan seba­nyak RM456 juta untuk menampung kos pencarian di Lautan Hindi yang melibatkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi. Keputusan untuk menggantung buat sementara misi SAR di Lautan Hindi sebenarnya bermula pada 17 Januari 2017 lalu iaitu selaras de­ngan persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat Tripartite Peringkat Menteri di antara Australia, Malaysia dan China yang diadakan pada 22 Julai 2016.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika menjawab beberapa persoalan me­ngenai MH370 di Dewan Rakyat pada persidangan Mac lalu menegaskan mesyuarat ketiga-tiga negara itu juga bersetuju sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, maka operasi penca­rian selanjutnya akan dipertimbangkan.

Sebab itu ditekankan sekali lagi laporan akhir ATSB itu bukanlah penamat kepada misteri MH370 tetapi perlu dinilai secara objektif kerana setiap langkah yang diambil selama tiga tahun sebelum ini sepatutnya dihargai dan disokong kerana cabaran yang akan dihadapi selepas ini akan menjadi lebih hebat.