Kejadian yang menjejaskan keselamatan, pendidikan, ekonomi dan pelbagai aspek lain perlu dijadikan iktibar oleh pelbagai pihak agar ia tidak berulang.

Soal alam sekitar bukanlah perkara baharu kerana selepas negara mencapai kemerdekaan, pelbagai bentuk kemajuan yang dilakukan membabitkan alam sekitar.

Industri kian berkembang dan tumbuh di sana-sini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Maka tidak hairanlah alam sekitar turut terlibat selaras dengan kemajuan yang dituntut untuk dinikmati bersama.

Oleh itu, pelbagai kempen telah dilakukan untuk menjaga alam sekitar. Media massa kerap menyiarkan iklan tentang kepentingan menjaga alam sekitar kerana alam sekitar yang terpelihara turut menyumbang pendapatan negara menerusi industri pelancongan.

Alam sekitar yang terpelihara turut menyelamatkan wang negara kerana tidak perlu kos untuk merawatnya. Di sekolah, pendidikan tentang alam sekitar turut diselitkan dalam pelbagai subjek.

Pelbagai tema diketengahkan seperti melestarikan alam sekitar, tanggungjawab menjaga alam sekitar, dan lain-lain lagi sebagai usaha mendidik generasi di bangku sekolah tentang kepentingan alam sekitar.

Selepas peristiwa Sungai Kim Kim ini, pelbagai pihak mesti mempunyai kesedaran yang le­bih tinggi tentang penjagaan alam sekitar. Pendidikan di sekolah mesti diperkemas dan diperluas.

Kempen mesti diperhebat. Iklan menerusi media massa mesti ditambah dan dokumentari tentang alam sekitar mesti diperluaskan supaya orang ramai lebih peka tentang alam sekitar.

Kempen dan dokumentari tidak semestinya dibuat secara bermusim. Tidak payah tunggu berlaku sesuatu insiden baru kita hendak sibuk buat kempen dan tayang itu ini.

Semuanya mesti dilakukan secara berterusan agar orang ramai memahami dengan jelas tentang alam sekitar yang perlu dipelihara. Pemantauan juga mesti dilakukan secara berterusan oleh pihak berwajib agar kawasan-kawasan ter­tentu tidak dicemari sesuka hati.

Dalam soal ini, kita mempunyai dua masalah besar yang perlu ditangani dengan serius. Pertama, pesalah-pesalah alam sekitar yang datangnya dari warga tempatan dan kedua­nya ialah bukan warga tempatan.

Tidak kira warga dari manapun, semua memahami tentang kesalahan mencemar alam sekitar tidak kira udara, air mahupun tanah. Malah, semua memahami denda atau hukuman yang bakal dikenakan ke atas pesalah alam sekitar kerana negara mempunyai akta tentang alam sekitar.

Pemantauan yang lebih rapi mesti dilakukan ke atas warga asing yang bekerja di negara kita kerana daripada apa yang dapat dilihat, kebanyakan mereka membuang sampah sesuka hati di longkang, parit dan sebagainya di kawasan kediaman sewaan mereka.

Tidak mustahil mereka ini boleh melakukan sesuatu le­bih serius dan menjejaskan alam sekitar. Kerjasama pelbagai pihak tentu dapat kurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

Bukan hanya pihak berkuasa, orang ramai dan persatuan penduduk setempat turut memainkan peranan besar dalam usaha mengawal dan mengesan pencemaran. Dalam soal alam sekitar, kita sebenarnya mesti jaga tepi kain orang!