Di sebalik kesamaran tentang kewujudan kota purba di Beruas yang terletak di negeri Perak, terdapat satu andaian bahawa wujud bukti nyata yang boleh dikaji selidik dengan lebih mendalam iaitu mesej ‘rahsia’ yang tercatat pada batu nisan di perkuburan lama di pekan itu.

Berdasarkan reka bentuk batu nisan yang berselerak di perkuburan itu, khususnya di Kampung Kota, para pengkaji mendapati ukiran batu nisan itu berasal dari Aceh.

Ini secara tidak langsung menunjukkan terdapat pengaruh dari wilayah utara Sumatera itu di Beruas suatu ketika dahulu.

Hal ini diakui Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman.

Beliau menjelaskan batu nisan pada makam lama yang ditemui di Beruas adalah batu nisan yang telah dibawa masuk dari Aceh.

Menurutnya, penemuan itu membuktikan Beruas pernah mempunyai hubungan perdagangan dengan Aceh, selain dikatakan pernah berada di bawah naungan Kerajaan Melaka.

“Batu nisan dengan ciri-ciri Aceh itu banyak terdapat di makam lama di Kampung Kota dan sekitar Pulau Meranti.

“Ia dipercayai dibawa masuk ke Beruas sekitar tahun 1500 hingga 1599.

“Pada batu nisan tersebut, tertera ukiran berbentuk tulisan menggunakan skrip Kufi yang mengandungi ayat-ayat al-Quran.

“Terdapat juga ukiran dengan motif bunga yang keseniannya dipercayai dari Aceh.

“Contohnya, bentuk bunga dengan motif boengong awan si tangke, rossette, hiasan geometri dan sebagainya.

“Batu nisan dengan ukiran sedemikian dikatakan sangat popular di Aceh pada kurun ke-16,” katanya kepada S2.

Bagaimanapun, fakta itu berbeza dengan apa yang disampaikan seorang pengkaji sejarah persendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Srikandi.

Beliau yang memiliki blog sendiri, memberitahu kerajaan lama Beruas terlebih dahulu menerima pengaruh Kerajaan Pasai berbanding dengan Kesultanan Aceh.

“Kerajaan purba Beruas sudah ada sebelum Kesultanan Aceh diasaskan sekumpulan kerabat diraja di utara Sumatera.

“Berbalik pada batu nisan di Beruas, ia dipercayai menyimpan mesej rahsia berdasarkan persamaannya dengan prasasti (batu nisan berukir tulisan) Minye Tujoh di Aceh,” katanya ketika dihubungi menerusi e-mel.

Beliau menjelaskan batu nisan yang berukir sedemikian digunakan khas untuk makam golongan kerabat atau disebut sebagai aristokrat Beruas dan sering digunakan golongan terhormat di Pasai.

“Kaitannya dengan Beruas adalah batu nisan pada makam lama di situ mempunyai ukiran yang sama seperti prasasti Minye Tujoh di Aceh.

“Berdasarkan kajian yang pernah dibuat, prasasti Minye Tujoh ada menyebut tentang keluarga Barubhasa (seorang pemerintah Langkasuka).

“Justeru, ia juga menjadi faktor kepada hubungan antara Pasai dengan Beruas. Menariknya, batu nisan yang dimaksudkan sebagai prasasti Minye Tujoh di Aceh dimiliki seorang perempuan,” jelasnya.

Penulis juga menemui pandangan yang sama daripada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, Dr. Mohamad Hanif Md. Noor berkaitan batu nisan di Beruas.

“Memang banyak makam lama di Beruas. Kebanyakannya wujud sejak kurun ke-16. Keunikan batu nisan tersebut adalah pada ukirannya.

“Makam yang ada batu nisan yang diukir sedemikian lazimnya kepunyaan pemimpin atau raja. Ia mempunyai ukiran yang sama dengan makam kerabat diraja Aceh.

“Selain ukiran, batu nisan ini dipercayai mempunyai identiti yang boleh menentukan jantina pemilik makam. Kalau yang lurus tegak, adalah lelaki manakala yang diukir melentik pula adalah perempuan,” ujarnya.