Sama seperti pemandu teksi, kenderaan ada tetapi penumpang tidak ada kerana ‘disambar’ orang lain. Ada pemandu yang berkata, hanya menunggu masa mencabut meter dan dijadikan Grab atau ‘gantung’ streng. Teksi dan Grab menjadi isu sejak sehari dua ini apabila timbul laporan kononnya Grab akan mengambil alih perkhidmatan bas perantara di stesen MRT. Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua didakwa mengeluarkan kenyataan itu. Bagaimanapun Ahli Parlimen Damansara itu menafikan sebaliknya menjelaskan tambahan perkhidmatan kepada pengguna yang membabitkan koperasi antara bas dan Grab. Matlamatnya supaya pengguna mempunyai pilihan pengangkutan yang sampai ke pintu rumah. Persoalannya kenapa Grab sahaja sedangkan banyak teksi dan syarikat lain mempunyai perkhidmatan e-hailing?

Isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu-pemandu teksi di Lembah Klang yang mahu bersemuka dengan Tony Pua. Inilah akibatnya kenyataan yang tidak berhati-hati lebih-lebih lagi melibatkan kementerian lain. Isu ini sepatutnya ditangani oleh Kementerian Pengangkutan yang diketuai oleh Anthony Loke Siew Fook. Adakah ini yang dikatakan lebih sudu dari kuah? Semalam, isu teksi dan grab bertambah panas di Langkawi. Menyelak kembali isu di pulau bebas cukai itu, pada penghujung bulan April 2018, dalam satu kempen menjelang pilihan raya umum (PRU), Dr. Mahathir yang menjadi calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Langkawi, berjanji untuk mengkaji aplikasi e-hailing Grab bagi membela nasib pemandu teksi dan kereta sewa. Beliau tidak berjanji menghapuskan Grab tetapi mahu mencari mekanisme yang lebih adil bagi membantu pemandu-pemandu teksi di seluruh negara. Dr. Mahathir dilaporkan berkata, “Masalah Grab ini bukan hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia. Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti,”. Begitulah janji PRU.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri menjawab persoalan mengenai teksi dan Grab. Semasa dialog itu, pemandu-pemandu teksi mahu Grab diharamkan di Langkawi. Malangnya Dr. Mahathir tidak dapat menunaikan permintaan itu. Perjumpaan itu kecoh apabila segelintir pemandu teksi bertindak keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau. Lebih malang ada yang mengeluarkan kata-kata kesat sedangkan Dr. Mahathir berjanji mahu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak. Beliau menunjukkan kesungguhan mahu membantu golongan pemandu teksi. Katanya, isu ini sudah dibincangkan berkali-kali semasa mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya tidak ada perkembangan.

Perdana Menteri mungkin kecewa kerana selepas lima bulan, isu ini berlarutan sedangkan beliau sudah berjanji. Katanya: “Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan kepada saya, saya tak boleh tolonglah. Saya bukan nak jadi perdana menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,”. Mungkin Anthony Loke boleh menjawab. Adakah Dr. Mahathir merajuk atau terguris dengan apa yang berlaku di Langkawi? Isu ini tidak seharusnya memberi tekanan kepada Dr. Mahathir. Lumrah alam, kadang-kadang orang yang tertekan tidak dapat menahan kesabaran.

Hakikatnya, orang yang lebih layak untuk merajuk adalah pemandu teksi. Apa lagi yang ada kepada mereka selepas kehilangan penumpang, hilang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Bantuan Tayar 1Malaysia dan kad bantuan Teksi 1Malaysia RM800. Hanya mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini tahu masalah yang dihadapi. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Memang benar kata Dr, Mahathir, bukan senang untuk menghapuskan Grab termasuk di Langkawi. Grab kini menjadi punca pendapatan sama ada secara tetap atau sambilan. Masing-masing mahu mencari pendapatan. Bagi yang bekerja tetap mahu menambah pendapatan dan yang tidak bekerja, Grab elakkan mereka menganggur. Perkhidmatan Grab tidak dicemburui oleh pemandu teksi sekiranya syarat-syarat yang dikenakan sama seperti teksi. Dalam hal ini, mungkin mantan Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar boleh bersama-sama menyelesaikan masalah ini. Sebagai orang berpengalaman selama tujuh tahun di SPAD, Syed Hamid mungkin dapat memberi idea bagi merungkai kekusutan bersama Dr. Mahathir dan Anthony Loke.

Selak pernah berkali-kali menulis isu ini. Grab menjadi satu keperluan yang tidak mungkin dihapuskan terutama di Lembah Klang dan di bandar-bandar utama lain. Jumlahnya mungkin boleh dikurangkan atau dikenakan beberapa syarat tertentu supaya lebih adil dan seimbang. Contohnya di Langkawi, jika jumlah teksi sudah melebihi 1,600 serta kereta sewa pandu sendiri jauh mencukupi, maka kurangkan Grab. Faktor tambang dan keselesaan yang menyebabkan penumpang memilih Grab juga harus diambil kira supaya lebih adil kepada pengguna. Wujudkan sistem yang adil supaya pengambilan penumpang di lapangan terbang lebih saksama.

Apa yang penting, kerajaan perlu melihat secara keseluruhan isu ini supaya nasib pemandu teksi lebih terbela. Bajet 2019 perlu melihat nasib golongan ini yang bergantung sepenuhnya kepada memandu teksi atau kereta sewa supaya mereka tidak ‘kecundang’ kepada Grab. Carilah kaedah terbaik untuk memastikan teksi dan Grab bersaing secara sihat. Masing-masing ada masalah. Ugut mengugut bukan cara penyelesaian. Berilah keutamaan kepada kesaksamaan.