Isu rumah mampu milik sentiasa menjadi cabaran utama di negara-negara membangun termasuk di Malaysia. Setiap rakyat memang ingin dan sentiasa berhasrat untuk memiliki rumah sendiri sebagai kediaman yang kekal sejahtera dan bahagia untuk kehidupan keluarga.

Lantaran itu, kerajaan sentiasa prihatin tentang perkara ini dan sentiasa mengharapkan pihak swasta dan juga koperasi membantu usaha membangunkan rumah mampu milik kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Salah satu langkah yang akan dilaksanakan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam usaha pembangunan sektor perumahan dan pemilikan rumah mampu milik khususnya kepada warga koperasi melalui amalan dan semangat kerjasama.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Haji Abdullah telah mengadakan kunjungan hormat dan menyuarakan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk meneliti dan mengkaji perkara ini.

Dalam pertemuan tersebut, Abdul Fattah telah menyerahkan rangka kerja pembangunan dan pembinaan rumah mampu milik yang sedang diusahakan oleh ANGKASA melalui anak syarikatnya, MyANGKASA Bina Sd. Bhd

Penglibatan ANGKASA dalam industri perumahan negara mampu memberikan sumbangan terhadap kemampuan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah kediaman sendiri dengan tumpuan diberikan kepada koperasi dan anggotanya.

Pada masa ini hampir 20 peratus atau lebih 6,060,732 penduduk di Malaysia merupakan ahli atau anggota badan dan pertubuhan koperasi.

Melalui usaha ini akan merancakkan lagi penglibatan koperasi sebagai pemain swasta yang telah diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk memacu industri perumahan negara.

Sehingga 31 Disember 2018, dua peratus dari 14,247 koperasi di Malaysia merupakan koperasi yang berfungsi menjurus kepada pembangunan perumahan. Isu rumah mampu milik untuk warga koperasi pada masa akan datang akan dijadikan fokus utama dalam pembangunan tersebut.

Hal ini bertepatan dengan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) yang bermula pada 2012 sehingga kini memfokuskan pembangunan “Perumahan Mampu Milik”. Ia bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.

Berdasarkan Buletin Suku Tahunan yang telah diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada suku keempat 2017 melaporkan kemampuan untuk rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri pada 2016 berada pada tahap Median Multiple 5.0.

Lantaran itu, berdasarkan kepada standard antarabangsa, Median Multiple 5.0 bermakna perumahan negara sebagai “sangat tidak mampu untuk dimiliki” terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Oleh itu, pihak swasta, badan koperasi di negara ini sewajarnya memainkan peranan ke arah membangunkan rumah mampu milik kepada golongan ini pada masa akan datang.

Langkah ANGKASA sungguh bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membantu golongan ini mampu memiliki rumah sendiri pada masa akan datang.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media.