“Sebelum ini, hanya laporan interim dikeluarkan dan laporan penuh tidak pernah diterbitkan sejak MH370 hilang pada 8 Mac 2014,” tambah Anthony Loke yang sudah pasti memberi persepsi bahawa kandungan laporan penuh akan lebih terperinci dan mampu menjawab persoalan yang tidak dapat ditangani melalui laporan interim.

Perlu ditegaskan juga mengikut peruntukan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mengawal selia hal ehwal penerbangan awam, laporan penuh mengenai kemalangan pesawat tidak perlu dikeluarkan selagi bangkai pesawat belum ditemui atau misi pencarian masih berjalan. Sebab itu sebelum laporan penuh dibentangkan kepada umum pada 30 Julai lepas, sebanyak empat laporan interim telah dikeluarkan dan yang terakhir pada 8 Mac 2018.

Sebab itu tidak memeranjatkan ketika pembentangan laporan penuh dilakukan untuk keluarga terdekat mangsa penumpang MH370 pada 30 Julai lepas, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang hadir kerana banyak persoalan tidak dapat dijawab oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 yang diketuai oleh Datuk Kok Soo Choon.

Walaupun terdapat beberapa keputusan baharu dalam bentuk kesahihan seperti tindakan berpatah balik berkemungkinan dilakukan ketika pesawat itu berada di bawah kawalan manual dan bukannya dilaksanakan secara mod autopilot, pengesahan se­perti ini walaupun tidak terkan­dung dalam laporan interim masih tidak mampu merungkai peristiwa kehilangan pesawat MH370.

Laporan penuh tersebut juga membuat keputusan bahawa kemungkinan wujud campur tangan oleh pihak ketiga juga tidak boleh ditolak telah menambahkan lagi kekusutan bagi mereka yang menagih berita sebenar tanpa disulami dengan teori konspirasi seperti mana yang telah berleluasa sejak empat tahun lepas.

Tidak adil dipersalahkan kepada pasukan penyiasatan yang merencanakan laporan penuh tersebut kerana hakikatnya tiada maklumat baharu yang mampu diperoleh selepas laporan interim keempat dikeluarkan enam bulan lalu. Memang benar dalam jangka masa di antara laporan interim keempat dan laporan penuh, pencarian telah dilakukan oleh pasukan Ocean Infinity tetapi hasil pencarian yang negatif sebenarnya menambahkan lagi kebuntuan misteri ini.

Memang tidak dinafikan empat minggu pertama ketika peristiwa ini terjadi, tahap kecekapan pengurusan bencana terutama sekali yang melibatkan urusan dengan pihak keluarga mangsa dan media ditakrifkan agak kelam kabut kerana pihak yang bertanggungjawab tidak mempunyai pengalaman mengurus hal sedemikian sebelum ini. Tidak mengejutkan kerana jangka masa empat minggu pertama tersebut dipenuhi dengan berbagai teori mengenai kejadian kerana mak­lumat sahih mengenai kejadian berkenaan masih tidak diketahui.

Jika ditinjau per­jalanan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula di Laut China Selatan, kemudian berpindah ke Laut Andaman dan juga Selat Melaka dan terakhir sekali di selatan Lautan Hindi, adalah manifestasi kesukaran yang dihadapi dalam me­ngurus kehila­ngan pesawat MH370 yang banyak ber­kisar kepada pengurusan persepsi.

Tetapi setelah empat tahun lima bulan misteri kehilangan pesawat MH370 berlalu, harapannya adalah banyak pengajaran dan pengalaman yang boleh diambil iktibarnya kerana jangka masa tersebut dianggap satu masa yang mencukupi untuk memperbetulkan setiap kesilapan langkah yang diambil sebelum ini.

Umpamanya pembentangan laporan penuh yang dimulai dengan penerangan kepada keluarga terdekat mangsa adalah salah satu strategi pengurusan asas bencana yang mengutamakan kepentingan kumpulan yang terkait secara langsung dalam tragedi tersebut. Ini kerana sebelum ini terlalu banyak aduan daripada keluarga mangsa yang sukar mendapat berita dan sering bergantung kepada berita dari media.

Tetapi kedengaran juga aduan dari keluarga mangsa yang mereka lewat dimaklumkan mengenai tarikh taklimat laporan penuh dan sebenarnya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak yang bertanggungjawab sudah mengetahui dari awal lagi tarikh akhir pembentangan laporan penuh adalah 8 Ogos 2018 iaitu enam bulan selepas laporan interim terakhir pada 8 Mac 2018.

Tidak dapat dinafikan laporan penuh setebal 1,500 muka surat tersebut walaupun sarat dengan maklumat teknikal tidak boleh dianggap sebagai laporan muktamad dan sebab itu juga harapan untuk menjawab segala persoalan misteri kehilangan sukar ditunaikan. Sebab itu juga keputusan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang berkait dengan dapatan laporan yang menyentuh operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, keputusan tersebut harus dihormati sebagai tanggungjawab seorang ketua.

Jika terdapat rasa tidak puas hati ketika pembentangan kepada keluarga mangsa di Kuala Lumpur 30 Julai lalu, maka sudah pasti ahli pasukan penyiasat akan sekali lagi berhadapan de­ngan situasi serupa esok (3 Ogos) apabila pembentangan dilakukan di Beijing kerana 153 dari keseluruhan 239 mangsa MH370 adalah rakyat China. Kemungkinan besar suasana pembentangan akan menjadi lebih panas kerana persepsi bahawa kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat sebenar kejadian masih menebal di Beijing berbanding suasana di Kuala Lumpur.