‘Reset Minda’ memandu arah bagaimana seseorang itu `berfikir’ (melalui minda sedar/akal) dan bagaimana kita `beremosi’ (melalui minda bawah sedar/hati) apabila berhadapan dengan sesuatu situasi sama ada negatif atau positif. Orang yang berjiwa besar, masalah yang besar akan menjadi kecil kerana tahu tujuan dan mengapa mereka dihidupkan. Tetapi orang yang berjiwa kecil, masalah kecil akan menjadi besar. Hidup dibatasi dengan pelbagai alasan dan akhirnya menjadi golongan beralasan yang menjadi ‘virus minda’ sehingga menghalang seseorang itu berjaya.

Tiga ‘virus minda’ yang selalu menjadi alasan dalam kita membuat pilihan, keputusan dan tindakan yang positif. Alasan pertama, apabila suka mengatakan ‘susah’ sebelum membuat sesuatu perkara. Perkataan susah memang mudah disebut. Sebab daripada kajian saintifik, perkataan `susah’ mula didengari sejak kecil lagi. Kanak-kanak sebelum berumur sembilan tahun mendengar perkataan ‘susah’, ‘tidak boleh’, ‘payah’, ‘jangan’ sembilan kali ganda lebih berbanding perkataan yang baik. Kesannya jadilah seseorang itu orang yang beralasan apabila dewasa. Bagi melawan ‘virus perkataan negatif’ ini perlu bercakap pada diri sendiri yakni pada fikiran dan hati perkataan positif setiap hari. Gunakan dialog ini setiap kali menerima tugasan atau hendak membuat keputusan:“Saya mempunyai keupayaan untuk mencapai apa-apa sahaja tugas yang telah saya tentukan dalam minda dan dalam hati saya dengan senang dan sangat selesa,” dan “Saya boleh lakukan apa-apa sahaja, jika saya niat kerana Allah untuk kebaikan ummah dengan penuh keyakinan dan kesyukuran. Saya boleh mencapai apa-apa sahaja dengan mudah dan selesa.” Contohnya apabila membuat keputusan hendak sambung belajar, peringkat doktor falsafah (PhD). Jika tempoh masa yang lama (empat tahun) menjadi alasan untuk tidak sambung belajar, maka kita tidak akan mendapat apa yang patut diperoleh untuk empat tahun akan datang. Sedangkan masa terus berlalu. Cuba fikir dan buat keputusan sama ada kita mahukan masa itu berlalu dengan sia-sia atau berlalu dengan pengisian yang berharga, biarpun terpaksa berkorban masa santai yang ada. Ingatlah, setiap hari manusia akan menjadi orang baharu dari segi fizikal. Oleh itu, jadilah kita orang baharu setiap hari dan yang apa yang perlu diperbetulkan ialah emosi. Setiap hari fokuskan emosi kepada kebaikan dan untuk menjadi lebih baik katakan: “Selamat tinggal kepada alasan.”

Alasan kedua, takut risiko, iaitu risiko kalau tidak jadi, nanti apa orang kata. Hakikatnya, kalau hidup tidak dikawal kita akan dihantui risiko di sana-sini. Hingga akhirnya, seseorang itu tidak berani memulakan sesuatu. Kata bijak pandai: “Risiko paling tinggi apabila kita tidak mengambil risiko”. Cara mengatasi ‘virus minda’ ini gunakan perkataan untuk mengubah minda. Gunakan dialog ini:“Saya yakin, jika saya menjadi diri saya sendiri, memang tidak ada risiko. Adalah menjadi tujuan hidup saya untuk hidup tanpa rasa takut pada segala sesuatu melainkan Allah.” Sememangnya siapa yang takut kepada Allah tidak akan takut kepada sesiapa. Sebaliknya siapa yang tidak takut kepada Allah akan takut kepada manusia dan banyak perkara.

Alasan ketiga, selalu fikir yang besar-besar dan tidak sabar. Buatlah keputusan hari ini bermula dengan perkara yang kecil. Lazimnya orang hebat akan membuat perkara kecil di saat ini untuk menuju perkara lebih besar dalam hidupnya pada masa hadapan. Hakikatnya, seseorang itu berada pada kedudukan tertinggi ketika ini berasaskan kepada keputusan yang dibuat lima atau 10 atau 20 tahun lalu. Bagi mengubati ‘virus minda’ ini katakan kepada diri, hati dan minda: “Saya mempunyai kesabaran yang tidak terbatas, jika apa yang saya lakukan itu memenuhi tujuan hidup saya.”

Setiap manusia mempunyai keunikan, kelebihan dan kebolehan tersendiri. Jangan cuba menjadi seperti sesiapa sebaliknya jadilah diri sendiri. Biarlah tidak dihargai tetapi jangan sama sekali tiada harga diri. Allah telah cipta segala yang ada pada diri seseorang itu adalah yang terbaik. Apabila yakin dengan tujuan hidup iaitu menjadi hamba Allah dan khalifah di atas dunia ini, kita akan berusaha melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada sekalian makhluk Allah.

Kesimpulannya, terdapat tiga perkara yang perlu dikawal supaya tidak merosakkan hidup. Pertama, kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang. Kedua, kata-kata yang berkisar dalam minda. Ketiga, kata yang berbolak-balik dalam hati. Pastikan semuanya kata-kata itu yang positif dan jangan ada sama sekali kata-kata negatif. Hal ini adalah sangat penting kerana dalam Islam kata-kata itu adalah satu doa. Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran atau sangkaan seseorang hamba. Sekiranya baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah sebaliknya. Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah. `Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak’.