Cara bertindak setiap individu pula berbeza, bergantung pada kekuatan minda dan hati. Pertama, ada orang yang mengambil prinsip, “kita boleh suka apa yang kita lakukan’. Kedua, ada orang yang berpegang kepada prinsip, “kita lakukan apa yang kita suka”.

Kedua-dua tindakan ini akan memberikan kesan atau hasil kehidupan yang berbeza, tetapi jika kita tangani secara positif, hasil kehidupan kita jadi positif.

Ada kalanya kita telah cuba melakukan beberapa kali perkara yang kita patut lakukan, tetapi kita tetap juga tidak suka dengan apa yang kita lakukan. Untuk kita suka apa yang kita lakukan, kita perlu bayangkan masa hadapan kita.

Yakni apakah yang akan terjadi kepada kita 10 tahun akan datang dan di manakah kedudukan kita kalau tidak terus melakukannya. Maksudnya untuk kedudukan dan kejayaan pada masa hadapan, suka atau tidak kita mesti lakukan, tanpa gagal dan bertangguh.

Sebab itu orang yang berjaya, mereka akan disiplinkan dirinya. Disiplin bermaksud, kita membuat atau melakukan sesuatu tepat pada waktunya, iaitu suka atau tidak kita akan lakukan juga untuk mencapai matlamat. Percayalah, dengan disiplin melakukannya berulang kali, kita akhirnya akan boleh suka dengan apa yang kita lakukan, walaupun terpaksa.

Disiplinkan diri supaya kita sentiasa menjadi seorang yang terbuka minda, sentiasa berfikir, bersifat objektif dan terbuka dalam setiap hal. Contohnya dalam proses pembelajaran, berapa ramai antara kita yang terpaksa belajar dalam bidang yang tidak mereka minati.

Kita mungkin tidak berminat dalam bidang perubatan, tetapi kerana memenuhi kehendak ibu bapa, maka kita terpaksa mengambil juga bidang itu.

Memandangkan itu sahaja peluang yang ada atau demi memikirkan masa hadapan, kita terpaksa terima dan tempohi jua. Bagi menanamkan minat terhadap apa-apa yang kita tidak minat melakukannya, cuba ubah niat. Jika kita berniat betul untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan segala urusan, walaupun tidak berminat.

Disiplin

Maksudnya, kalau niat kita belajar perubatan itu untuk mengetahui dunia dan selok-belok perubatan semata-mata, kerana memenuhi kehendak ibu bapa, maka mungkin kita melakukan sesuatu yang membebankan dengan jayanya.

Kita berasa tidak bermakna dan tidak berminat terhadap apa-apa yang dilakukan, kerana kita hanya mengejar “cita-cita”, bukan mengejar “makna dalam cita-cita”. Niatkan belajar kerana Allah, dan niatkan belajar untuk tunaikan hajat kedua-dua ibu bapa.

Maka, kalau susah bagaimanapun pengajian itu atau tidak berminat sekali pun, tetapi kerana memikirkan untuk mencapai hajat ibu bapa, maka kita akan berusaha juga mencapai cita-cita itu. Niatkan hendak menuntut ilmu perubatan itu, untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan belajar “untuk tahu”, bukan belajar “untuk lulus”. Belajar untuk “memberi dan bermanfaat” kepada manusia, bukan untuk “pencapaian atau penghargaan” manusia – jadilah kita Muslim/Muslimah profesional pada satu hari nanti.

Menangguhkan apa yang patut kita lakukan selalunya menjadi amalan orang yang negatif sikapnya – perkataan yang selalu berlegar di minda mereka dan meniti bibir mereka, ialah “nantilah/tunggu dulu/tengoklah/kalau/agaknya/takut/dan seumpamanya yang membunuh semangat dan mematikan minda kita untuk bertindak positif.

Kata-kata negatif itu menjadi alasan mereka untuk bertindak dalam dua prinsip tersebut, yakni sama ada “kita boleh suka apa yang kita lakukan’ atau “kita lakukan apa yang kita suka”. Tidak ada orang yang tidak bertangguh untuk membuat sesuatu, kecuali orang itu suka dengan apa yang dilakukan.

Sebenarnya kita bertangguh melakukan sesuatu yang patut kita lakukan, sama ada secara terpaksa atau secara sukarela adalah bergantung kepada kesan, impak dan faedah yang kita dan orang sekeliling kita akan peroleh.

Sebab itu dari segi neuro logistik programming, kita sanggup melakukan sesuatu yang kita tidak suka untuk mendapat sesuatu yang kita suka. Contohnya, mengapakah kita bersenam? Kita bersenam sebab takut kita sakit.

Kita sanggup mendisiplinkan diri bersenam, kerana hendak mengelakkan diri daripada sakit, untuk tujuan mendapat kehidupan yang menyeronokkan. Demikianlah orang yang berjaya yakin untuk membuat pilihan, orang yang gagal sentiasa mencari alasan.

Jom audit diri, adakah kita orang yang pandai membuat pilihan atau orang yang suka beralasan. Untuk hidup kekal positif, katakan, “Selamat tinggal kepada alasan”.

Untuk tidak mahu menangguhkan sesuatu perkara yang perlu dilakukan, kita patut berimaginasi, “Siapa kita pada masa akan datang?” Contoh, jika kita tidak mahu bersenam, cuba bayangkan atau berimaginasi, bahawa kita sedang terlantar sakit di hospital. Pasti kita tidak mahu merana sakit sedemikian rupa, dan kita akan terus bersenam, walaupun bukan rajin bersenam.

Bayangkanlah, imaginasi penggunaan minda itu sangat penting, mendorong kita mengubah sikap kita, daripada negatif kepada positif, daripada tidak bersemangat kepada berkobar-kobar semangat.

Dalam prinsip pemikiran “Reset Minda” disarankan supaya kita membuat dua perkara penting dalam hidup pada setiap hari. Pertama, membuat keputusan hidup. Jadi orang baik, berfikir baik, dan bertindak baik. Kedua disiplin, ertinya suka atau tidak, kita buat untuk mencapai matlamat. Buat keputusan dan jaga disiplin.

Seterusnya setiap hari jaga dua perkara. Pertama, apa yang kita kata terhadap diri. Katakan yang baik-baik sahaja. “Saya sihat”, “saya hendak solat tepat pada waktu”, “saya sayang orang dan orang sayang saya” dan sebagainya yang positif. Yang kedua, fikirkan apa manfaat yang hendak beri kepada orang. Setiap kali kita hendak memberi manfaat, Allah akan beri jalan untuk membuat sesuatu kebaikan kerana Allah.

Semua orang ada potensi dirinya. Hari-hari fikir baik, percaya baik, buat baik. Bagi tahu tujuan dan makna mengapa kita bekerja. Sesebuah institusi mesti ada tiga perkara. Pertama, integriti iaitu sebagai ketua atau majikan, apa yang dia cakap dia buat. Kedua, layan lebih seperti yang sepatutnya kita mahu orang melayan kita.

Ketiga, buat kerja lebih daripada yang sepatut. Orang yang berjaya sentiasa memberikan lebih daripada apa yang sepatutnya tetapi, orang yang tidak berjaya mentalitinya sentiasa memikirkan, “buat sedikit dan dapat sebanyak mungkin”. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya

Fanpage:

Facebook Prof. Dr. Muhaya 
• [email protected] www.assohwah.com?
• www.resetminda.com