Maka jadikan setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan sejam, dan sejam bagaikan terbakarnya pelepah kurma.” Hadis riwayat Imam Ahmad. 

Demikianlah kehidupan kita ini semakin singkat. Tetapi, jika kita menjaga saat, akan terjagalah minit. Jika kita menjaga minit, akan terjagalah jam. Jika kita menjaga hari,  akan terjagalah bulan. Akhirnya, jika kita menjaga bulan, akan terjagalah tahun.

Orang yang berjaya dalam hidupnya akan bijak memanfaatkan masa, biarpun kita tahu masa tidak mencukupi untuk kita laksanakan semua perkara yang kita mahukan. Jika kita tidak bijak membahagi-bahagikan waktu, untuk kehidupan dunia dan akhirat, alangkah ruginya kehidupan kita. Yang penting, kita kena bijak menggunakan masa, serta pandai mengatur “keutamaan” dalam tindak-tanduk kehidupan kita. 

Gunakan otak untuk berfikir dan hati untuk berasa sebelum membuat keputusan dan tindakan berasaskan pilihan kita. Dengan 10 minit mendengar ilmu yang mengubah diri dan sikap, akan mengubah cara menjalani kehidupan sepanjang hari ini, dibandingkan dengan 10 minit berbual kosong dan membaca berita negatif, yang mana satukah menjadi pilihan kita? Jom audit diri dan lakukan refleksi diri. 

Jangan biarkan masa lampau menentukan masa hadapan kita. Hidup kita tidak akan berubah selagi sikap tidak berubah. 

Kemarahan, kebencian, dendam, tamak, marah dan dengki adalah racun jiwa. Jika bersarang perasaan negatif itu di hati kita bersedialah untuk hidup dengan penuh tekanan, pendek rezeki, banyak penyakit dan mendapat kebencian makhluk Allah. 

Jom kita berubah menjadi positif terutama dalam mendidik anak-anak kita, generasi Malaysia Baharu ini. Ibu bapa juga perlu refleksi diri, dan mengubah pendekatan cara mendidik anak-anak ini. Lihat kembali bagaimana kita mendidik anak-anak kita, sama ada ke arah membina keyakinan atau menghilangkan keyakinan diri mereka. 

Berlaku ketidakyakinan diri disebabkan oleh dua perkara. Pertama, anak dia/anak berasa tidak baik dan kedua, dia/anak berasa tidak cukup disayangi. Ibu bapa kita dahulu banyak mendidik anak kita dengan hukuman, yang baik mendapat balasan/layanan baik/positif, dan yang tidak baik mendapat balasan dan layanan buruk/negatif. 

Usah kita ulangi kesilapan ibu bapa kita,  mungkin sebab  pada zaman itu demikianlah budaya mendidik anak, dan setakat itu sahajalah ilmu yang mereka ada pada waktu itu. Ibu bapa jom, banyakkan pujian dan kasih sayang kepada anak-anak, bukan memarahi, menghina dan membandingkan anak-anak dengan sesama adik-beradik mereka. 

Tanggungjawab terhadap hasil kehidupan, merupakan konsep penting yang perlu diajar kepada ibu bapa, dan ibu bapa pula mesti mengajarkannya kepada anak-anak, bermula dengan sifat ketuhanan dan kehambaan kepada-Nya. 

Berusaha 

Refleksi diri! Semoga kita menganggap semua yang berlaku kepada kita, sebagai cerminan diri. Insya-Allah akan hilang segala perasaan saling menyalahkan, sebaliknya akan mengambil tanggungjawab. Anggap semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. “Reset Minda” dan refleksi diri. 

Jom kita audit diri, melihat keaiban diri dan mengambil tanggungjawab mengubah sikap diri dengan berdoa kepada Allah agar dianugerahkan kepada kita, rahmat, taufik dan hidayah-Nya. Elakkan diri daripada sibuk mencari dan membuka aib orang dan sibuk mengubah diri dan sikap orang, sebelum kita sendiri bersungguh berusaha memperbetul dan mengubah sikap diri. 

Jangan sesekali kita perasan lebih baik daripada orang lain, walaupun telah ternyata mereka melakukan perkara yang berdosa di sisi Allah SWT. Kerana kita boleh berusaha menjadi baik, tetapi yang menentukan seseorang itu menjadi baik dan mengakhiri hidupnya dengan kebaikan hanya Allah SWT. Oleh sebab itu jika kita berasa sudah jadi baik kena beringat, kerana hati dan jantung manusia berada dalam kuasa Allah SWT sepanjang masa. 

Allah SWT jua yang berkuasa membolak-balikkan hati kita, sekejap menjadi baik dan sekejap kita menjadi teruk, berperangai buruk melanggar perintah Allah. Maka usah dipandang orang “kurang baik” pada mata kita sebagai insan paling jijik, kerana Allah SWT berkuasa memutar atau mengubah situasi mereka sekelip mata;  daripada berada dalam situasi buruk kepada situasi yang mulia. Sentiasa bersyukur berkasih sayang sesama
keluarga. 

Orang benar-benar berjaya bukan orang yang memiliki kelulusan ilmu tinggi hingga Ph.D. Harta yang tidak ternilai, wang  tidak terkira, pangkat dan kuasa yang tinggi, dan pengaruh yang banyak, tetapi mereka yang berkongsi apa yang dia dapat daripada Allah SWT dengan orang lain dan memanfaatkan segala kurniaan Tuhan untuk ummah.

Tidak  akan tertekan dan hilang semangat hidup bagi yang murah hati,  suka menolong,  lemah lembut,  berbuat baik kepada ibu bapa, menghormati orang lain, sabar, sentiasa memberi manfaat kepada orang lain, dan sentiasa menjaga tatacara berkomunikasi.

Tiga tahap jika kita berkomunikasi – pertama, aku aman bagimu, maknanya kita tidak kacau orang. Kedua, aku menggembirakanmu. Ketiga, aku bermanfaat bagimu. Setiap kali dan ke mana kita pergi pastikan kita ini mendamaikan orang, orang berasa senang, selesa dan selamat bersama-sama kita dengan sikap rendah hati kita.

Seterusnya kita tidak akan mengganggu atau menyakiti  orang baik dari emosi mahupun fizikal, kita membahagiakan orang (walaupun hanya sekadar melihat orang dengan wajah ceria apatah lagi jika kita mampu memberikan senyuman ikhlas kepada orang menemui kita). Jangan tanya soalan bersifat terlalu peribadi yang boleh menyinggung perasaan orang yang bertemu kita. 

Jika hilang semangat untuk meneruskan kehidupan yang ceria lagi positif, lihat niat kita apabila membuat sesuatu perkara. Jika kita membuat sesuatu bukan dengan niat kerana Allah, tentu kita akan lemah dan terpengaruh dengan apa yang orang kata atau dengan apa yang orang buat. 

Jika hanya Allah yang dituju, manusia akan nampak kecil dan tipuan dunia akan nampak jelas. Semoga Allah merahmati kita dan jom kita saling menyayangi, mendoakan dan memberi manfaat dan menghargai setiap orang yang kita jumpa, sebut kebaikan mereka dan elakkan mengkritik sepanjang kita bersilaturahim. 

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.