Mengembalikan UMNO pada persada politik yang bermaruah, gagah bukan bermakna sengaja menegakkan ‘benang yang basah’. Parti keramat Melayu ini asasnya memang begitu. Jasanya besar. Orang Melayu tidak sepatutnya mengetepikan hakikat ini. Jangan cemuh dan jemu.

Dangkallah bagi yang buta sejarah tentang peranan UMNO khususnya dalam memerdekakan negara. Sejarah adalah kenyataan. Bayangkan bendera ‘Union Jack’ diturunkan dan dinaikkan dengan ‘Jalur Gemilang’. Iringan Negaraku yang gemanya terus menyuburi jiwa, merangsang kehidupan hingga ke hari ini.

Dan UMNO bersama rakan-rakan Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional (BN) melonjak kemajuan tanah air ini dengan gemilang, sambil memberi makna lebih besar sesuai dengan kedudukan istimewa orang Melayu, kesucian Islam, duduk perkara bahasa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selepas berlakunya peristiwa hitam penuh iktibar, 13 Mei 1969, lahirlah pelbagai institusi dan agensi bagi menterjemahkan agenda memajukan Melayu dan bumiputera. Turut dilahirkan ‘Rukun Negara’ bagi memandu hala kehidupan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan anutan agama agar bermoral, santun berbudi, mulia adat tingkah susila serta saling menerima dan menghormati. Siapa yang merancang, merintis dan menyemarak semua itu jika tidak UMNO? Jadi, jangan lenyapkan kenangan itu wahai UMNO!

Lebih dangkal lagi adalah bagi kalangan yang bernama Melayu bersikap “tolak tangga, menghayun kaki”. Mereka membina dan meraihkan kemajuan melalui pelbagai sistem dan kemudahan yang dicipta dan dihidupkan UMNO, akhirnya kembali ‘menyalak’ UMNO. Apa lagi mahu dikatakan kepada bekas-bekas pemimpin besar UMNO yang tergamak lari, lalu mengutuk mencaci parti tempat mereka pernah membolot kepentingan diri? Tidak malukah mereka?

Tidak payah mencari alasan. Jika benar-benar sayangkan UMNO sama-samalah berjuang dalam saf dan jemaah asal, bukan mencari padang asing, yang ke saat ini pun belum kelihatan menjanjikan penyelesaian. Malah ada yang masih ‘tercari-cari’ arah haluan . Jadi, elok sajalah kalau kembali ‘ke pangkal jalan’!

Tidak kecewakah UMNO menyaksikan ‘padang’ yang disediakan rata dan kondusif, hanya membiarkan aksi pemain-pemain tidak profesional ‘terkinja-kinja’ tanpa berupaya menjaring gol, malah kelihatannya masih samar memahami permainan?

Tidak sedihkah UMNO menonton ‘pentas’ yang dibina kukuh serta dihias berseri, hanya diisi dengan persembahan nyanyian yang sumbang serta gerak tari yang tempang?

Kembalikan padang dan pentas ke pangkuan UMNO. Masih ramai orang Melayu mahu merasa dan menikmati ‘keindahan’ bersama UMNO. Dan UMNO tetap menjadi sandaran orang Melayu apabila ada pihak semakin galak dan ‘terlajak’ merentasi sempadan struktur kenegaraan, sehingga seolah-olah semangat dari Perlembagaan Persekutuan mahu diketepikan.

Justeru, kekuatan UMNO perlu dipertahan. Cari dan berusahalah! Jangan menumpang kejayaan atas kepincangan dan kecelaruan pihak lawan. Ibarat bersilat di tengah gelanggang, pastikan hulu senjata tidak jatuh ke tangan lawan, takut nanti muncungnya menghala ke badan.

Apa pun UMNO bukan parti ‘rakus’ dengan pemilikan kuasa. Sejarah perkongsiannya dalam BN membuktikan parti dominasi Melayu itu bersikap ikhlas, terbuka dengan rakan-rakan seperjuangan. Paksinya ialah pemuafakatan ikhlas (consensus), bersederhana, inklusif dan adil saksama.

Hasilnya, rakyat pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya serta dari segenap sektor dan segmen penghidupan sama-sama menikmati kemakmuran negara secara “sekata, serasa” sejak sekian lama.

Jadi, apa peliknya jika pun UMNO dan Pas menjalin kerjasama? Walau atas nama perpaduan ummah, yang lebih menjurus kepada menegakkan kesucian Islam dan kedaulatan Melayu, namun asas pendekatan siasah kehidupan tetap sama. Islam tidak pernah menegah umatnya menjaga kepentingan dan hak pihak lain walau tanpa sealiran agama. Bahawa Islam itu indah, bertoleransi dan saling menghargai.

Atas nama kehidupan, sukar mengelak dari berlakunya kesilapan dan kekhilafan. Siapa pun, dan organisasi mana pun mustahil tidak mengalaminya. Apa yang penting, berfikir dan bertindaklah mencari rumusan terbaik untuk kembali gemilang. Menghukum biar berpatutan, mengajar biar berpadan.

UMNO sesungguhnya tetap gagah dan bermaruah. Dukungilah hakikat yang masih terpasak teguh pada parti keramat ini. Terjemahkan roh dan semangat kekuatan ini melalui bicara bernas tutur berisi pada perhimpunan yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Semoga UMNO terus mara, untuk Melayu dan untuk rakyat Malaysia!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.