Bangsa Melayu terus bersemangat dan berjuang meskipun diuji oleh penjajahan. Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan dipersetujui, bangsa Melayu banyak kehilangan haknya. Maksud Melayu mengikut Perkara 160, Perlembagaan ialah ‘bangsa yang mengamalkan budaya Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu dan beragama Islam.’ Dasar kewarganegaraan seperti termaktub dalam Perlembagaan membolehkan orang Melayu hidup bersama-sama bukan Melayu atas semangat muafakat.

Penggabungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak menjadikan sebuah negara bercitra baharu iaitu Malaysia pada 1963. Begitupun, masih ada sebahagian hak bangsa Melayu dalam Perlembagaan yang perlu dihormati dan dihayati oleh semua warganegara. Antaranya kedaulatan raja-raja Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu.

Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 menggambarkan bagaimana bangsa Melayu berjaya mengembalikan maruah, memimpin negara atas semangat permuafakatan. Bermulalah mimpi baharu, usaha untuk mengembalikan hak bangsa Melayu di tanah air sendiri. Pemimpin demi pemimpin bersilih ganti, rancangan demi rancangan diatur untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu yang semakin terhakis.

Banyak kejayaan tercapai dan amat kami banggakan. Begitupun, masih banyak lagi hak dan kedudukan yang sewajarnya masih belum dicapai. Antara paling jelas ialah penguasaan ekonomi, pembangunan masyarakat luar bandar, pemerkasaan tamadun Melayu khususnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Mengapa sehingga ke hari ini, selepas lebih 60 tahun kepimpinan tertinggi negara dipegang oleh bangsa Melayu, semua urusan penting masih belum boleh dicapai? Pada pandangan saya, beberapa halangan asas ialah pemimpin yang pemikirannya masih terjajah oleh Inggeris. Bangsa lain yang menguasai ekonomi tidak sanggup membiarkan bangsa Melayu berkembang dan berkuasa, pemimpin berjiwa kecil dan mudah dirasuah dan perpaduan Melayu. Malah dalam 10 tahun terakhir ini, isu paling kritikal untuk mengembalikan wibawa bangsa ialah perpaduan Melayu.

Perkara asas yang perlu diamalkan dan dipertahan bagi mengekalkan perpaduan Melayu ialah mendukung maksud Melayu dalam Perlembagaan.

Dalam konteks ini, memang sewajarnya bahasa Melayu dan agama Islam diisytihar sebagai bahasa dan agama rasmi, sementara budaya Melayu perlu dikukuhkan sebagai asas budaya kebangsaan. Begitupun, semua kaum dan bangsa lain bebas mengamalkan bahasa, agama dan budaya masing-masing.

Kelompok Melayu mengikut daerah atau negeri perlu dibangunkan berasaskan koperasi atau pegangan saham bagi membolehkan mereka mendapat nikmat ekonomi secara berterusan. Memang banyak telah dilaksanakan sebelum ini, masanya untuk meneliti isu adil, telus dan saksama, dan memperluaskan peluang kepada kelompok yang selama ini tercicir atau terpinggir.

Isu pendidikan dan keikhtisasan banyak diperjuangkan oleh parti politik Melayu, kebanyakannya berkisar kepada menyediakan peluang dan menambah bilangan anak Melayu memasuki universiti atau menjadi jurutera. Isu asas ialah pengisian dalam pendidikan kebangsaan, kualiti keikhtisasan, ruang pekerjaan dan peluang mereka yang kurang berkemampuan tanpa dibebani hutang. Perpaduan Melayu memerlukan sokongan ikhlas dan bimbingan untuk terus menyerlah.

Perpaduan Melayu perlu berada pada landasan benar, mengembalikan maruah bangsa yang satu ketika dahulu menjadi pemimpin dihormati di rantau ini.

Gerakan perpaduan bangsa sebaiknya berasaskan iltizam menyemarak ketamadunan Melayu secara syumul. Semua komponen ketamadunan Melayu, iaitu kepimpinan, ekonomi, jati diri, pendidikan, ikhtisas dan sarjana perlu diperkasa secara bersepadu.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo ialah felo utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).