Pertama, orang negatif yang suka memperkecilkan dan meremehkan kebolehan orang lain, kerana dia berasa dia terlalu hebat. Sedangkan sebelum dia menjadi hebat dia juga sebenarnya berada pada tahap biasa; kurang ilmu dan kurang pengalaman. Kedua, orang negatif yang enggan mendengar pandangan orang lain dan tidak menerima teguran, kerana berasa dia sentiasa betul. Ketiga, orang negatif yang suka menyulitkan urusan dan cerewet. Dia senang melihat orang susah kerananya, dan berbangga orang gerun kepadanya, atas sikap dan kuasa yang dimilikinya. Prinsip hidupnya, “senang hatinya melihat orang susah, dan susah hatinya melihat orang senang”.

Jom audit diri kita adakah kita memiliki sikap negatif begitu? Kalau ada, tinggalkan sikap buruk itu, berubahlah kepada sikap positif. Ingatlah tidak ada satu pun perbuatan kita yang tidak dibalas oleh Allah SWT, kalau bukan kita yang menerimanya, mungkin anak cucu kita yang menerima balasan-Nya. Kita tidak akan dapat sesuatu yang buruk jika kita tidak buat perkara yang sama kepada orang. Ingat formula ADA – BERI – DAPAT. Jika dapat perkara yang tidak baik jangan tanya mengapa kita dapat perkara yang tidak baik itu? Tetapi, tanya kepada diri kita apa yang kita telah lakukan kepada orang sebelum ini hingga orang melakukan perkara yang tidak baik kepada kita. Sebab kita hanya dapat apa yang kita pernah beri kepada orang, dan kita boleh lakukan perkara buruk kepada orang jika hati kita tidak bersih, penuh dengan kesombongan.

Oleh sebab itu, peliharalah seberapa baik hati kita, kerana dalam tubuh manusia itu ada “seketul daging” (hati). Jika baik daging itu maka baiklah seluruh kehidupan jasadnya. Kalau kita seorang ketua, majikan, guru, pensyarah, atau pakar dalam sesuatu bidang, jadilah kita seseorang yang bersih hati. Segala yang kita lakukan, baik untuk Allah mahupun untuk manusia, mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kebersihan hati. Seperti kata pepatah Melayu, “Hati yang ringan, meringankan beban yang berat” (semua pekerjaan yang dilakukan dengan kerelaan nescaya menjadi mudah).

Jangan kita hentikan perjua­ngan kita atau apa-apa yang ki­ta usahakan itu hanya kerana ti­­­dak sang­gup berhadapan de­­­­­ngan persekitaran negatif dan orang yang negatif. Un­tuk meng­hilangkan rasa ke­cewa dan patah semangat ki­ta memerlukan orang yang po­sitif daripada segi fikiran, ha­ti dan tindakannya untuk mem­berikan inspirasi kepada kita, selain meningkatkan ke­bergantungan kita kepada Allah SWT.

Ujian

Dialah yang berikan ujian ke­pada hamba-Nya dalam pelbagai bentuk. Ada orang yang Allah ujinya dengan sakit kesihatan ter­jejas, kurang kemampuan ke­wangan, hilang orang yang di­sayangi, dicemuh dan dikutuk orang, diuji dengan sikap malas, sikap sombong dan bongkak.

Yang penting bukan bentuk ujian itu yang salah tetapi jawapan kita kepada ujian itu yang salah. Pemberi ujian itu yakni Allah SWT itu betul dan Allah tahu kita mampu menerimanya dan boleh menjawabnya, tetapi kita berikan jawapan yang salah. Maka sebab itu kita gagal dengan ujian itu. Tanda kita gagal dengan ujian itu, pertama, kita murung, kecewa, putus asa, kurang beriman dan jauh hubungan kita dengan Allah. Ujian hidup kita ini terletak pada hati kita sejauh mana hati kita boleh menerima ujian hidup dengan hati yang bersih lagi suci.

Kalau hendak tahu, sama ada hati kita bersih ataupun tidak, jom audit diri kita dengan empat perkara? Pertama, lihat dan nilai diri, ada atau tidak pada diri kita perasaan dengki, iri hati dan tidak puas hati apabila melihat orang lain mendapat dan bertambah rezekinya atau lebih berjaya daripada kita? Seterusnya ada atau tidak perasaan hati kita hendak menjatuhkan orang lain yang lebih berjaya daripada kita?

Kedua, lihat dan nilai diri kita, adakah kita takut kepada kuasa manusia atau kuasa Allah SWT yang menentu kejayaan dan kegagalan hidup kita. Yakin dan berikhlas hatilah kepada Allah bahawa kuasa di tangan-Nya bukan di tangan manusia. Jika kita masih bertuhankan duniawi, dan lebih mementingkan kerja atau kerjaya kita, hingga leka dan menangguhkan ibadah fardu, ertinya hati kita belum cukup bersih. Orang yang mengejar duniawi, penat sebenarnya, kerana kebahagiaan duniawi tidak pernah kenal erti “puas” dan “cukup”. Selepas kita mendapat satu impian kita, kita ingin menambahkan lagi beberapa impian kita lagi, yang semuanya didorong oleh nafsu.

Ketiga, nilai dan lihat adakah kita memiliki hati yang suka berburuk sangka dengan sesama kita? Adakah kita suka membuat orang benci dan marah kepada kita, sama ada melalui percakapan kita atau perbuatan kita? Dan akhirnya nilai dan lihatlah diri kita, adakah kita berburuk sangka kepada Allah? Bagi hubungan sesama manusia pula, orang yang baik dan bersih hatinya ialah orang yang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Jadilah kita seorang insan, yang kehadiran kita dirasakan amat penting; kita ada orang suka. Tetapi, kalau kita tiada orang tidak suka, kerana hilang keceriaan dan kemeriahan. Janganlah kita menjadi insan yang tidak dihargai orang; kita ada, orang tidak suka kerana menyusahkan. Tetapi, kalau kita tiada orang suka dan lega. Dengan sebab sikap sombong kita, orang tidak berasa selesa, tertekan hingga tidak sanggup meneruskan perjuangan dan apa-apa yang diusahakan mereka.

Keempat, nilai dan lihat diri adakah hati kita seorang yang bebas daripada penghargaan manusia atau mengharapkan sanjungan manusia, hingga menjadikan kita seorang yang sombong? Orang yang melayani orang lain berdasarkan pangkat dan harta ialah orang yang sombong. Cara kita membuat teguran juga menunjukkan kesombongan kita yang boleh membuatkan orang menerima teguran itu berasa terhina, hilang semangat dan kecewa. Buatlah teguran yang betul dengan cara yang betul, iaitu cara yang dituntut oleh Islam. Tetapi, teguran yang betul dengan cara yang salah itulah ciri-ciri kesombongan yang memberikan kesan negatif kepada penerimanya.

Sesungguhnya didiklah hati kita menghargai orang, dan jangan membeza-bezakan tahap kehidupan kita dalam bersilaturahim. Murahkan hati kita dengan pujian. Jauhkan hati kita daripada sikap suka mengeji, hingga dengan sebab kita orang berasa kecewa, rendah diri dan mematikan semangat untuk mencuba berusaha melakukan sesuatu yang positif untuk masa hadapannya. Sebaliknya bagi kita yang menerima tekanan daripada sikap negatif orang yang mematahkan semangat kita, jadikan semua perkara positif atau negatif yang berlaku adalah pengalaman dan pembelajaran kepada kita untuk menjadikan kita orang yang berjaya, lebih matang dan bertambah ketakwaan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.