Dua perkara penting yang perlu diperiksa ialah pertama, “agen” (benda asing yang masuk dalam badan – kuman/bakteria). Kedua, “hos” (tuan punya tubuh – manusia). Penyakit manusia ini bergantung pada keadaan “agen” dan “hos” yang menjadi gejala penyakit. Pada suasana “hos” (manusia) sangat kuat – “agen” lemah = “hos” (manusia) akan menjadi sangat sihat. Tetapi bayangkan jika “hos” (manusia) sangat kuat – “agen” pun kuat = “hos” (manusia) masih sihat. Tetapi jika “hos” (manusia) lemah – “agen” lemah = “hos” (manusia) tetap sakit. Sebaliknya jika “hos” (manusia) sangat lemah – “agen” sangat kuat = “hos” (manusia) akan mendapat sakit yang sangat teruk.

Demikianlah analogi berlakunya sesuatu gejala dalam ma­syarakat kita adalah bergantung pada daya tahan kita – “hos” (manusia) dalam melawan “agen” (badan asing/kuman/bakteria) yang masuk dalam diri kita. Pengaruh dari luar dalam pelbagai bentuk dan dari pelbagai sumber atau laluan. Contohnya bagaimana hendak membentuk persefahaman antara suami dengan isteri dalam keadaan hidup dan nilai yang berbeza yang menjadikan situasi perkara yang dianggap kecil oleh suami tetapi dianggap besar bagi isteri.

Hal ini berlaku kerana blueprint kehidupan kita berbeza. Setiap orang daripada kita pasti mempunyai cara dibesarkan yang berbeza dengan paradigma yang juga sangat berbeza. Bayangkan dan fikirkan mengapakah kita boleh hidup ramai-ramai dengan adik-beradik kita dalam persekitaran yang sama tanpa bergaduh? Tetapi, kita jumpa dengan suami kita setelah 25 tahun hidup dalam keluarga sendiri, tiba-tiba kita hendak bersatu hidup dengan orang yang 25 tahun juga hidup dibesarkan dalam keluarganya sendiri, yang mempunyai nilai dan imej diri yang berbeza. Sebab itu pada dua tahun perkahwinan memang susah hendak mendapat persefahaman kerana ibarat keluarga itik duduk dengan keluarga ayam dalam satu reban, lain yang dicakap lain yang difahami, lain yang diminta lain yang diberi dan banyak lagi akan berlaku percanggahan.

Oleh sebab itu bagi mengelak berlaku gejala buruk dalam rumah tangga, yang menyebabkan berlaku keganasan rumah tangga, dan akhirnya mungkin berlaku penceraian sehingga anak-anak menjadi mangsa, isteri dan suami mesti kuat daripada segi mental dan emosi. Berfikir secara positif dan memberikan respons positif untuk berhadapan dengan apa-apa sahaja ancaman dan cabaran yang datang daripada luar atau dalam, yang akan mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga dan menjejas pembesaran dan didikan kasih sayang terhadap anak-anak dalam sesebuah keluarga.

Pertama, fahami orang lain dahulu baru orang boleh me­ma­hami kita. Bayangkan kita naik kereta kita tidak melihat antara satu sama lain, tetapi kita melihat ke hadapan untuk sam­pai ke destinasi yang di tuju dengan se­lamat. Kedua, orang yang baik kita sayang orang yang jahat kita kasihan. Ketiga, kita layan dengan kasih sa­yang se­mua ahli keluarga baha­ru kita yang dengan sebab ikatan per­kah­winan terjalin pertalian keluarga. Hakikatnya memang senang hendak buat baik dengan orang yang buat baik dengan kita tetapi, bukan senang untuk kita berbuat baik dengan orang yang tidak berbuat baik dengan kita. Teruskan ber­buat baik sampai orang yang tidak berbuat baik itu berasa bo­doh­nya diri berbuat jahat de­ngan orang yang berbuat baik dengan dia.

Keempat, betulkan diri kita dan cari punca di mana silap­nya sikap kita hingga perkara yang tidak membahagiakan kita itu boleh berlaku. Macam kita melihat wajah kita dalam cermin, kita nampak tidak cantik apabila melihat tudung kita senget. Kita kena betulkan tudung kita atau kita pecahkan cermin kerana geram apabila melihat wajah kita tidak elok. Punca wajah kita tidak cantik kerana tudung sengit maka kita betulkan tudung, jangan usik cermin yang tidak bersalah apa-apa. Maksudnya jangan cuba ubah sikap orang tetapi ubahlah perangai kita dahulu. Apabila kita berubah dunia dalaman berubah dan dunia luaran kita juga akan berubah.

Demikian juga kita sebagai ibu bapa, usah sibuk membetulkan perangai anak tetapi betulkan sikap atau perangai kita dahulu. Hal ini adalah kerana kanak-kanak berumur 0-7 tahun akan meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya daripada apa-apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dan anak-anak berumur 7 -14 tahun akan disiplinkan melalui contoh dan teladan daripada ibu bapa mereka.

Dahulu cara ibu bapa kita mendidik kita, lain. Agak keras dan dirotan jika bersalah sebagai satu hukuman. Dahulu ibu bapa percaya kena garang dan tegas dengan anak-anak. Kalau tidak garang dan tegas anak-anak akan mua dan naik kepala. Tetapi sebenarnya ibu bapa perlu ditakuti atau dihormati? Ibu bapa perlu dihormati.

Maka kerana itu sekarang pendekatan didikan ibu bapa lebih lembut dan mesra. Kasih sayang ditunjukkan melalui percakapan yang lembut. Kanak-kanak perlukan sentuhan kasih sayang fizikal dan sentuhan kasih sayang kata-kata yang manis. Puji kalau anak-anak berbuat baik dan kalau mereka membuat kesilapan, cuba memahami kesilapan mereka dan bimbing serta beri peluang kepada mereka membetulkan kesilapan.

Jika kita temui gejala anak tidak betah hidup di rumah, kerana anak sudah tidak rapat dengan kita ibu bapanya, sebab kita tidak mesra dan garang. Sebaliknya anak lebih bahagia di luar kerana telah diresapi oleh pengaruh luar iaitu dianalogikan melalui pendekatan kedoktoran adalah “agen” (benda asing yang masuk dalam badan/kuman/bakteria), maka “hos” (tuan punya tubuh/manusia) dalam konteks ini ibu bapa perlu merapatkan semula hubungan anak dengan mereka.

Caranya pertama, jangan dikesali hal yang lepas kerana kesilapan telah ibu bapa lakukan. Minta ampun dan bertaubat kepada Allah, kerana mensia-siakan amanah-Nya dan dengan anak minta maaf. Kedua terangkan kepada anak, sebab untuk kebaikannya kita garang dan, sekarang kita sedar dan tahu, apabila kita garang anak juga belajar menjadi garang. Tetapi, beri tahu anak-anak, kita akan tegas dengan prinsip iaitu, lembut tetapi tegas untuk mendisiplinkan anak-anak. Contoh, kalau anak tidak solat, kejut dengan lembut bukan kutuk anak pemalas.

Apabila kita meminta maaf kepada anak, sebenarnya kita sedang mendidik anak bahawa kita boleh terima kesilapan atau kekurangannya. Sebab mana ada manusia yang sempurna, maka bimbing anak tidak mengulangi kesilapan yang sama dan jalan mana yang patut dia ikuti. Anak adalah pencen kubur kita. Jangan buat perkara yang sama kepada anak, kalau kita tidak suka cara ibu bapa kita melayani kita. Ketiga, peluk kasih sayang kepada anak sekurang-kurangnya, lapan kali sehari. Ingatlah, marah anak untuk melepaskan kemarahan, kejam. Kejam bermakna berbuat baik kepada orang yang baik dan sayang kepada kita.

Ibu bapa audit diri bagaimana kita mendidik anak-anak kita dan bagaimanakah cara kita menangani anak kita yang telah terlibat dengan gejala sosial? “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.