Pembunuhan beramai-ramai tersebut dianggap sebagai kejadian berdarah terburuk yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di dalam sejarah kemanusiaan. Magnitud kejadian tersebut agak serupa dengan tragedi 9/11, yang mengakibatkan kematian kira-kira 3,000 mangsa.

Menurut sumber Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak rakyat Palestin serta sebilangan penduduk Lebanon telah dibunuh secara kejam oleh gerakan berhaluan kanan Kristian Phalangist tatkala bandar Beirut dikuasai tentera Zionis. Agak sukar untuk menentu sahkan jumlah sebenar yang terbunuh kerana mayat yang bergelimpangan sama ada telah ditanam di dalam kubur-kubur besar atau langsung tidak ditemukan, malah ramai pelarian lelaki yang dikerah keluar kem tersebut tidak dapat dikesan sehingga kini. Pelbagai pihak menyifatkan perbuatan jenayah tentera Israel ini sebagai tindakan jenayah perang paling kejam dalam sejarah moden.

Ramai rakyat Palestin menetap di Lebanon selepas pembentukan negara haram Israel. Semasa musim panas 1948, kira-kira 110,000 rakyat Palestin diusir keluar dari Galilee dan melintasi sempadan ke Lebanon. Sejumlah besar mereka menjadi pelarian.

Semasa tahun 70-an, Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) menubuhkan ibu pejabatnya di Lebanon selepas para pemimpin dan aktivisnya diusir dari Jordan. PLO yang pada ketika itu bertanggungjawab ke atas nasib lebih 340,000 rakyat Palestin menyediakan khidmat sosial dan prasarana asas melalui pembinaan institusi-institusi dalam pelbagai bidang ekonomi, kebudayaan, sosial dan politik.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah menakluki Lebanon pada Jun 1982, dengan matlamat menyingkirkan PLO. Selepas presiden Bashir Gemayel yang baharu dilantik pada ketika itu dibunuh pada 14 September, IDF telah menakluki Barat Beirut, termasuk kejiranan Sabra dan kem pelarian Shatila yang diduduki majoriti pelarian Muslim. IDF telah mengarahkan sekutu mereka di Lebanon, Parti Kataeb, yang juga dikenali Phalange, sebuah parti Kristian Maronite berhaluan kanan, supaya membersihkan kawasan-kawasan tersebut dari saki-baki pejuang PLO untuk memudahkan askar IDF mara bagi tujuan penaklukan.

Pada 18 September, selepas lebih 40 jam pembunuhan beramai-ramai berlaku, imej-imej awal yang menunjukkan mangsa daripada kalangan masyarakat awam mula muncul di kaca televisyen.

Tercetusnya berita tersebut telah mengundang provokasi sejagat yang melahirkan rasa marah terhadap Israel dan simpati yang tidak berkesudahan terhadap rakyat Palestin. Wartawan dan diplomat asing mula menyerbu kem pelarian itu selepas IDF berundur dari pintu laluan masuk kem. Laporan mereka dan gambar-gambar yang diperoleh kesemuanya melahirkan kesedihan dan rasa jelik terhadap kekejaman yang berlaku.

Buat beberapa ketika Israel telah menafikan penglibatan berkonspirasi di sebalik kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut, namun susulan kutukan antarabangsa sebuah suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Kahan telah memulakan penyiasatan pada 1983 yang kemudiannya mendapati tentera Israel sememangnya menyedari pembunuhan tersebut dilakukan, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikannya.

Suruhanjaya tersebut seterusnya telah merumuskan bahawa Israel merupakan pihak yang turut bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai tersebut, dan Ariel Sharon, ketua pemerintah tertinggi angkatan bersenjata Israel pada ketika itu, bertanggungjawab secara peribadi ke atas tragedi berkenaan kerana beliau dengan sengaja membiarkan militan Kristian Phalangist menceroboh serta membunuh pelarian di kem tersebut.

Salah satu alasan mengapa ramai yang masih berbicara tentang Sabra dan Shatila, adalah bahawa tidak ada sesiapa sehingga hari ini yang benar-benar pernah meminta maaf atas jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Malah, tidak pernah seorang pun yang pernah didakwa dan dibicarakan bagi tujuan mengadili serta menghukum pihak yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai tersebut. Hakikatnya, peristiwa ini adalah sebahagian daripada kita semua, sebuah sejarah dan warisan yang pahit dan mengerikan.

Kejadian ini bukanlah insiden yang terasing kerana sebagaimana yang kita semua maklum, sehingga ke hari ini tindakan penindasan Israel terhadap Palestin masih terus berlaku. Kita masih melihat sekatan berterusan terhadap Gaza, yang menjadikan wilayah tersebut salah satu penjara terbesar di dunia. Kebiadaban Israel perlu dihentikan segera. Di samping kita memperingati peristiwa Sabra dan Shatila tersebut,

Malaysia perlu memimpin masyarakat dunia untuk melakukan sesuatu yang juga bermakna bagi mengurangkan penderitaan masyarakat Palestin. Mutakhir ini, pencabulan berterusan terhadap resolusi 2334 yang diperjuangkan Malaysia pada Disember 2016 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai contoh, perlu ditangani segera kesemua pihak yang masih ada sifat belas ihsan dan kemanusiaan.

Kepimpinan negara perlu mengambil perhatian tindakan pencerobohan Israel ini, dan mengusulkan tindakan segera menurut saluran perundangan antarabangsa, bagi menghentikan kebiadaban Israel terhadap kedaulatan semua negara anggota PBB yang mahukan keamanan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dizahirkan dalam erti kata sebenarnya.

PENULIS ialah Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).