MOHD. REDZUAN: Ramai yang respon terhadap cadangan ini, ada yang menyatakan bahawa adalah lebih baik tumpukan usaha meningkatkan taraf hidup, tapi apa yang ingin saya nyatakan adalah, industri ini melibatkan pelaburan daripada sektor swasta, tiada satu sen pun duit kerajaan digunakan.

Dengan mewujudkan projek-projek sebegini kita akan menjemput lebih banyak pelaburan daripada pihak swasta, menarik minat lebih ramai pemain-pemain utama industri tersebut dan secara tidak langsung akan mewujudkan rantaian perniagaan yang akhirnya akan meningkatkan pendapatan orang ramai.

Projek kereta nasional ketiga contohnya, kita sudah ada prototaip kereta tersebut dan kini berada pada fasa akhir memilih rakan kongsi untuk mendapatkan teknologi terbaik bagi menghasilkan enjin dan ‘chasis’nya.

Kita juga akan menggunakan teknologi kejuruteraan tempatan untuk menambah baik teknologi dibawa rakan kongsi kelak agar ia dapat diterjemahkan kepada sebuah kenderaan terbaik buat rakyat.

Majlis Tetap Pembangunan Negara telah menentukan kereta nasional baharu kita akan dibuka sama ada dalam segmen kenderaan elektrik (EEV) atau kenderaan berasaskan hidrogen serta minyak yang akan mengembangkan segmen sedia ada.

Ada usahawan yang merungut kini pinjaman perniagaan semakin sukar untuk diperoleh, pelbagai kerenah birokrasi perlu dilalui, tidak seperti dahulu?

Pembiayaan kepada usahawan amat mudah sebenarnya, namun saya hairan kenapa kita rasa sukar. Saya sendiri akan membantu mereka (usahawan) yang memerlukan bantuan kewangan namun mereka sendiri terlebih dahulu perlu tahu dan jelas apa yang mereka ingin lakukan.

Ramai usahawan yang datang bertemu saya menyatakan keinginan mereka untuk melaksanakan projek tertentu. Namun apa yang kita perhatikan skop perniagaan mereka sangat rendah, kita masih merangkak-rangkak, sepatutnya kita perlu melihat kepada projek berskala besar.

Hal ini kerana menerusi perniagaan berskala besar, ia menunjukkan keyakinan dan pengetahuan mereka dalam melaksanakannya adalah lebih baik dan pasti kami akan bantu.

Ada juga yang datang ingin memohon bantuan lebih daripada yang sepatutnya, bila diselidik mereka hanya memerlukan jumlah ebih kecil namun beralasan mahu menjadikannya sebagai back up plan.

Mengapa perlu meminjam lebih dan menanggung hutang lebih besar bagi menjalankan perniagaan berskala kecil, akhirnya ramai dalam kalangan merekaketinggalan kerana tidak memahami kos sebenar perniagaan mereka.

Usahawan bumiputera juga perlu mengambil bahagian dalam e-commerce, jika tidak kita akan jauh ketinggalan dan kita di kementerian perlu memastikan orang Melayu ‘berlari’ dengan lebih pantas tidak boleh ketinggalan di belakang.

Ada persepsi yang menyatakan bahawa orang Melayu semakin dipinggirkan dan tidak dibantu, ulasan Datuk Seri.

Masalahnya orang Melayu bila menyebut tentang bantuan mereka hanya membayangkan dana dan geran dan saya tidak mempromosi ‘Geranpreneur’.

Saya mempromosi Interprenuership, sila datang ke kementerian ini dan kena faham apa yang anda perlukan sebenarnya.

Kita ada pelbagai agensi yang boleh membantu, hampir lengkap segala segi, siap bersama dua buah bank dan satu institusi pinjaman mudah iaitu TEKUN Nasional. Kita ada duit namun pemberiannya perlulah ada sasaran.

Jika kata kerajaan tidak bantu, itu sama sekali tidak tepat kerana sudah 60 tahun kerajaan sebelum ini membantu namun caranya kurang berkesan kerana akhirnya tiada hasil, jadi kita bawa perubahan sedikit agar kita dapat mengukur hasilnya kelak.

Rata-rata usahawan Melayu sering melupakan rangkaian yang mereka ada, apabila kita cuba tingkatkan permintaan produk, mereka tidak mampu untuk memenuhinya.