Ia bertujuan menangani isu sosial perumahan di peringkat komuniti setempat, khususnya di kawasan perumahan berstrata kos rendah di seluruh negara.

Strategi di bawah dasar ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Dasar Perumahan Negara 2.0, Dasar Sosial Negara, Rancangan Fizikal Negara Ke-3, Deklarasi Kuala Lumpur 2018 di bawah Agenda Perbandaran Baharu serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Dasar Komuniti Negara wujud tepat pada masanya dalam membantu pendekatan kerajaan mencorak komuniti di kawasan perumahan berstrata kos rendah di seluruh negara. Ia diharap akan membantu penduduk memupuk sikap bertanggungjawab dan prihatin di tempat tinggal mereka serta dapat menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan bersih.

Namun, menjadi persoalan adalah bagaimana dasar ini diberi nama atau diangkat sebagai Dasar Komuniti Negara, jika dasar ini hanya tertumpu kepada di kawasan perumahan berstrata kos rendah di bandar. Bagaimana pula komuniti bandar yang duduk di kawasan gated community, komuniti pelarian dan migran seperti tuntutan dalam New Urban Agenda?

Adakah ia memerlukan satu dasar lain sebagai course of action oleh kerajaan untuk menangani masalah di negara ini? Justeru, berapa banyak dasar yang mahu dan perlu di buat lagi?

Dasar Komuniti Negara yang diterajui oleh KPKT perlu bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menjayakan Dasar Komuniti Negara yang lebih bersifat inklusif.

Kita perlu sedar bahawa komuniti bukan sahaja mereka yang tinggal di bandar tetapi di kampung. Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga ada melaksana Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang saya kira seharusnya menjadi sebahagian Dasar Komuniti Negara.

Oleh itu, Dasar Komuniti Negara seharusnya mencakupi dan merentasi semua jenis komuniti bukan sahaja dari aspek lokaliti tetapi umur, lokasi, ras/etnik, kepentingan, agama dan kepercayaan serta pekerjaan.

Jika kita berfokus kepada komuniti bandar sahaja, maka dasar ini boleh dinama Dasar Komuniti Bandar Negara.

Kita perlu memehami apa yang dimaksudkan komuniti. Komuniti perlu dilihat dari sudut pelbagai perspektif, iaitu komuniti sebagai association, komuniti sebagai territorial unit, komuniti sebagai community-of-interest, emotional community, legal community, komuniti sebagai satu sistem sosial dan online community.

Justeru, kita perlu mewujudkan Dasar Komuniti Negara yang bersifat komprehensif dan merentasi kesemua perspektif ini. Sifat setiap komuniti adalah berbeza antara satu dengan yang lain.

Perbezaan sifat inilah yang mencorakkan bentuk komuniti yang perlu difahami oleh pemaju atau pekerja komuniti bagi memudahkannya bertindak apabila mahu bekerja dengan anggota komuniti. Misalnya, seorang pemaju masyarakat perlu tahu membezakan sifat komuniti bandar dan komuniti desa.

Komuniti yang sejahtera dan kohesif akan mewujudkan jalinan kerjasama yang erat serta menggalakkan kehidupan yang harmoni dan selamat. Turut dinyatakan dalam Dasar Komuniti Negara ini adalah matlamat akhir untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan.

Dalam merealisasikan hasrat ini, komuniti luar bandar juga perlu ditingkatkan dan diperluas struktur ekonominya. Perkara ini perlu bagi memastikan kelestarian kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar juga dipelihara.

Pada masa yang sama, kita perlu memelihara kawasan kampung agar ia kekal menjadi kampung tetapi memiliki perubahan dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan, struktur sosial melalui kebolehcapaian dan juga keperluan asas yang dilengkapi pelbagai kemudahan. Oleh yang demikian, dasar ini perlu diperluaskan skopnya di kawasan luar bandar dan mencakupi pelbagai jenis komuniti bersesuaian dengan namanya sebagai Dasar Komuniti Negara.

Penulis berharap agar pihak kerajaan memanggil pakar-pakar Pembangunan Komuniti di Malaysia termasuk ahli akademik dan penyelidik untuk duduk semeja bagi membincangkan perkara ini. Penilaian sesuatu dasar lama perlu dilakukan sebelum kita membuat dasar baharu.

Penambahbaikan dasar juga perlu dilakukan untuk memastikan dasar tersebut mencapai objektifnya. Janganlah kita asyik memperkenal dasar-dasar baharu demi membina legasi tertentu tanpa ada penilaian dan penambahbaikan daripada dasar sebelum ini.

DR. MOHD ROSLAN ROSNON ialah Ahli World Universities Association for Community Development (WUACD) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).