Ini mendorong Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) dijadikan pendekatan baharu walaupun masih terdapat suara-suara supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa utama pengajaran matematik dan sains di sekolah untuk menghadapi alaf ke-21 ini.

Perkara 152 dalam Perlembagaan jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terutama bidang keilmuan dan pendidikan. Tapi masih terdapat kelompok yang mempertikainya seolah-olah kita bakal ketinggalan zaman sekiranya terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyebut, mempelajari sesuatu ilmu menggunakan bahasa ibunda adalah kaedah berkesan dalam pendidikan. Orang Amerika, Jerman, China dan Jepun umpamanya menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mendapat ilmu pengetahuan dan ternyata mereka maju. Di Malaysia di samping bahasa Melayu, pengajaran dalam bahasa Inggeris diperkasakan manakala bahasa Cina dan Tamil dibenarkan.

Oleh kerana memartabat bahasa Melayu dalam pendidikan, pentadbiran dan kepentingan awam terkandung maksud menterjemahkan roh Perlembagaan dalam penghayatan adalah tanggungjawab setiap warga Malaysia.

Terdapat kecenderungan sesetengah pihak meremehkan penggunaan bahasa rasmi dalam sistem pendidikan. Pengurusan pejabat, papan tanda perniagaan, bangunan tinggi dan kediaman dengan nama-nama asing yang tidak bersifat kemalaysiaan menyebabkan kadang-kadang pelancong bertanya, apakah ini Malaysia?

Bila terdapat kelompok yang memperlekeh penggunaan bahasa Melayu hatta dalam kalangan orang Melayu sendiri, ia membayangkan sikap tidak patuh kepada roh Perlembagaan. Bila penolakan ini terjadi membayangkan sikap dan mentaliti memandang rendah bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh melahirkan persefahaman sesama warga Malaysia.

Penggunaan bahasa Melayu dalam keilmuan dan pendidikan terutama bidang sains dan teknologi berlaku dalam sistem pendidikan kita. Memartabat bahasa Melayu tidak menolak pentingnya memperkasa bahasa Inggeris. Universiti Kebangsaan Malaysia sejak ditubuhkan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ternyata graduan yang melanjutkan pelajaran ke luar negara mampu mengikuti kuliah dalam bahasa Inggeris dan berjaya memperoleh ijazah.

Isunya ialah mahu atau tidak warga Malaysia yang majmuk melihat kepentingan bahasa Melayu sebagai sesuatu yang utama dan mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa ibunda lain sebagai agenda yang bergerak seiring? Pemerkasaan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa adalah perlu. Sekiranya kurikulum pengajaran bahasa Inggeris disusun semula dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran lebih dinamik dan semasa, corak buku teks lebih sesuai dengan kualiti guru yang baik, penulis tidak fikir warga Malaysia tidak boleh menguasai bahasa itu.

Ia banyak bergantung kepada sikap dan mentaliti. Mengapa pelajar-pelajar Malaysia yang dihantar ke Jepun, Perancis dan Jerman boleh menguasai bahasa negara tersebut untuk tujuan keilmuan dan kepakaran tetapi wujud keengganan dalam kalangan sesetengah warga Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik supaya bahasa Melayu akhirnya mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa sains dan teknologi.

Harus wujud tekad keilmuan dan keazaman politik dalam kalangan semua pihak supaya pemartabatan bahasa Melayu dan pemerkasaan bahasa Inggeris dijadikan agenda utama bermula dalam sistem pendidikan negara, bukan menghasilkan pendekatan pendidikan yang meminggirkan penggunaan bahasa Melayu kerana kesan jangka panjangnya meruntuhkan jambatan persefahaman sesama warga Malaysia.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).