Lazimnya tulisan yang dibaca, ucapan yang didengar, kenyataan yang dibuat terkandung dua maksud. Pertama, maksud tersurat dan satu lagi, maksud yang tersirat. Kadang-kadang maksud tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Maksud tersirat memerlukan kedalaman maklumat , ketepatan data dan kebenaran fakta supaya analisis apayang terjadi ditemukan.

Sesetengah orang menyebarkan maklumat dengan tujuan mempengaruhi. Kalau benar, elok diikuti tetapi kalau tidak benar, ia boleh menimbulkan masalah kepada pemikiran dan sikap. Orang mungkin boleh terpengaruh seterusnya sikap buruk sangka mengambil tempat.

Netizen dalam media sosial umpamanya selalu terperangkap dengan maklumat yang disebarkan. Bayangkan kalau berupa fitnah, palsu dan buruk sangka kemudian ditularkan kepada pihak lain, ia menyebabkan kerosakan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi kalau penyebar itu melontarkan hal-hal buruk orang lain menyebabkan permusuhan terjadi.

Pepatah Melayu menyebut, terkilat ikan di air sudah diketahui jantan betinanya. Ia membawa maksud mengenai hal yang tersirat. Ia berlaku kerana ketajaman pemikiran dimiliki dan mengetahui natijah akhir dan hal sebenar di sebalik kenyataan yang dibuat dan ucapan diberi. Tidak banyak berlaku dalam kalangan masyarakat umum. Orang yang berfikir secara mendalam, mempunyai banyak pengalaman dan sentiasa sukakan kebenaran serta manfaat memiliki upaya memahami maksud tersirat.

Memahami tersurat dibantu oleh pemahaman tentang resam perangai manusia, sejarah dulu yang sifatnya mengulangi, hikmah di sebalik sesuatu ungkapan, rujukan kepada sumber-sumber murni dalam beragama menyebabkan tersirat diketahui. Mengetahui yang tersirat memberi erti lebih bermakna dalam kehidupan kerana manusia sentiasa waspada membaca sesuatu tulisan, mendengar sesuatu ucapan dan meneliti sesuatu kenyataan supaya kebenaran dapat dijadikan pedoman.

Islam umpamanya mendidik umatnya supaya faham maksud dosa dan pahala, makruf dan mungkar, adil dan zalim, benar dan salah sebagai panduan manusia melakukan tadabbur (kajian) dan dijadikan pedoman dalam kehidupan. Tanpa pedoman yang berasaskan syarak, umat Islam boleh kehilangan arah dan menyebabkan mudah terpengaruh dengan apa yang tersurat semata-mata.

Ini tidak bermakna apa yang tersurat tidak boleh dipercayai dan dijadikan pegangan. Membaca al Quran umpamanya terkandung mukjizat dan risalah. Membaca dan menghafaz sahaja tidak cukup. Al- Quran perlu ditafsirkan supaya kefahaman terjadi. Seterusnya ia perlu diserapkan supaya hubungan fikrah dan kalbu terjalin. Bila terjadi, ia menjadi pedoman kepada amal dan perbuatan.

Masyarakat yang beragama menjadikan etika dan nilai murni sebagai pedoman. Etika dan nilai yang sifatnya manusiawi terlalu penting dijadikan pedoman supaya nilai-nilai interaktif mendorong kesalingan berlaku dan persefahaman tadi. Tulisan, ucapan dan kenyataan jelik yang dihamburkan membayangkan antara fikir dan kalbu tidak harmoni dan seimbang sifatnya. Ia menyebabkan emosi negatif menguasai, niat di hati berada dalam keadaan jelik serta menyebabkan amalan dan perbuatan tidak sifatnya telus, jujur dan menyantuni.

Oleh itu, amat penting tulisan kita terkandung yang tersurat dengan tersirat mempunyai hikmah baik. Yang diucapkan dan dilafazkan dengan hati jernih memberi kesan positif kepada manusia dan kenyataan dibuat tidak jelik dan menyinggung sifatnya supaya salah faham dapat dielakkan dan kebenaran maklumat sentiasa menjadi panduan terbaik.

Indah pada yang tersurat dan jelik pada yang tersirat bakal menjadikan pemikiran bercelaru. Ia menyebabkan salah faham terjadi. Apalagi orang yang melakukan kejelikan, egonya tetap tinggi dan tidak tunduk kepada sudut pandangan orang lain.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).