Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua parti iaitu Timbalan Presiden UMNO yang dianggapnya penting dalam merencanakan semula agenda memperkukuhkan parti Melayu itu.

Dalam pertemuan dengan Wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN dan jurugambar, ASWAD YAHYA, beliau yang merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) berkongsi harapan dan hala tujunya menjelang pemilihan parti itu pada 30 Jun nanti.

UTUSAN: Kenapa Datuk Seri menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO?

MOHAMAD: Sebenarnya selepas PRU-14, saya berada di persimpangan sama ada mahu terus aktif atau bersara daripada politik. Tetapi memandangkan keadaan dan atas sokongan serta cadangan ahli UMNO dan kawan-kawan, saya rasa orang Melayu memerlukan suatu wadah perjuangan yang perlu diteruskan. Itu menguatkan hasrat saya dan saya tak boleh pentingkan diri, kalau ikutkan rasa hati memang saya nak pencen terus.

Kalau selepas PRU-14, Negeri Sembilan kalah dan kerajaan Pusat masih dikuasai BN, boleh jadi saya tawarkan diri bersara. Tetapi kerajaan Pusat turut jatuh dan ekoran itu kita dalam kecelaruan minda terutama orang Melayu di kampung. Saya lahir dalam keluarga UMNO, ayah saya naik basikal ke hulu ke hilir berjuang bersama UMNO. Saya pernah lihat macam mana susahnya orang Melayu. Sebab itu, saya rasa perlu bersama kawan-kawan dan pejuang UMNO untuk meneruskan perjuangan. Walaupun ramai yang lari sama ada di peringkat akar umbi dan bahagian tetapi itu proses biasa. Pejuang sebenar tidak akan putus asa.

Difahamkan ramai yang mahu Datuk Seri bertanding jawatan nombor satu?

Banyak pihak suruh saya ber­tanding jawatan presiden, saya tak tahu apa sebabnya. Mereka hairan kenapa saya hanya bertanding timbalan presiden. Saya tertib, kita mahu naik biar bertangga, kalau terus meloncat takut terjerumus. Saya orang Negeri Sembilan, orang ­beradat. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah menjalankan tugas sebagai pemangku presiden, biarlah beliau bertanding jawatan itu.

Saya tawarkan diri bertanding timbalan presiden sebab mendapat maklumat daripada rakan-rakan dan orang yang rapat de­ngan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dia tak bertan­ding. Kita nak elak perpecahan. Dalam UMNO, timbalan presiden penting kerana dia yang akan jadi pengerusi jawatankuasa pengurusan manakala dalam PRU atau pilihan raya kecil akan pegang tugas pengarah pilihan raya. Saya harap dapat jalankan tugas de­ngan pengalaman yang ada.

Apakah bentuk barisan ke­pimpinan yang diharapkan selepas pemilihan 30 Jun nanti?

Kita kena buat pemilihan elok-elok, pastikan pemimpin yang dipilih benar-benar berwibawa. Ahli perlu lihat tiga perkara utama iaitu pertama sekali integriti pe­mimpin. Ini penting, kalau tidak ada integriti susah nak cakap. Yang kedua, pilih pemim­pin yang kompeten, mempunyai kewibawaan, jati diri dan wawasan, bukan kaki lawak dan tukang karut. Dalam keadaan sekarang kita perlukan ramai pemimpin sebab kita perlu gene­rasi pemimpin UMNO baharu yang boleh berfikir dan merancang. Ketiga, pilih pe­mimpin yang merendah diri, bukan sombong dan duduk di awang-awa­ngan. Supaya nanti tidak timbul orang kata pemimpin UMNO sombong. Saya kata ini bukan di peringkat MT sahaja tetapi juga bahagian dan cawangan.

Tiga perkara ini penting supaya UMNO dilihat sebagai parti rak­yat, massa dan bukan eksklusif kepada golongan tertentu. Barulah dapat menambat hati orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Apakah Datuk Seri akan bergabung dengan pemimpin lain dalam pemilihan UMNO?

Saya pemain single (perseorangan), saya tak buat pasukan dengan sesiapa. Saya fokus dan terpulang kepada ahli parti mereka hendak pilih siapa. Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja yang dipilih sebagai presiden atau naib presiden.

Dalam keadaan hari ini ahli UMNO jangan berfikir seperti dulu lagi. Pilihlah yang boleh memimpin bukan disebabkan imbuhan yang mereka dapat. Ini budaya yang perlu dihentikan. Kalau dari segi imbuhan, saya tak ada apa-apa untuk ditawarkan.

Adakah Datuk Seri melihat mereka yang menawarkan diri bertanding ini mampu mengembalikan semula kekuatan parti?

Ada beberapa nama yang mempunyai kewibawaan dan ciri-ciri baik. Kalau boleh kita mahu jemput ramai lagi untuk menawarkan diri terutama di peringkat bahagian kerana ia penting. UMNO bukan sahaja perlu kuat di atas tetapi juga di bawah. Kalau bahagian diurus dengan baik, kita tidak akan ada masalah se­perti dalam PRU-14.

Kalau bahagian tidak diurus dengan baik dan tidak ada pe­mimpin berkaliber, maka bahagian akan bercelaru dan ini diterjemahkan dalam PRU-14. Di Negeri Sembilan, bahagian yang diurus dengan baik tak terjejas sangat, yang lain runtuh habis sehingga tak ada satu kerusi pun menang. Pemimpin yang memimpin bahagian penting, lebih penting daripada MT sebab dia pemimpin di lapangan dan dia tahu keadaan di bawah dan berupaya mengatasi isu dan masalah (di bahagian).

Ada gesaan supaya Ahmad Zahid memberi laluan kepada pe­mimpin baharu menjadi Pre­siden UMNO?

Itu memang pendapat popular sekarang ini bahawa UMNO perlukan pemimpin baharu. Bagaima­napun itu terpulang kepada ahli dan pemimpin untuk menawarkan diri. Kita perlu beri peluang kepada semua orang. Kalau saya terpilih saya akan bekerja de­ngan sesiapa sahaja. Kalau Ahmad Zahid, saya akan sokong beliau. Tetapi saya tidak akan sokong membuta-tuli, mana yang tidak betul saya akan cakap dan tegur.

Ada gesaan supaya UMNO dibuka kepada ahli dari pelbagai kaum, adakah Datuk Seri setuju?

Saya tak setuju, kalau diluluskan cadangan supaya UMNO dibuka kepada bukan Melayu, saya orang pertama yang akan tawarkan diri keluar dari parti. Ini perjuangan kita dan tidak bermakna kita rasis. Semua kaum memperjuangkan kaum masing-masing. UMNO adalah parti Melayu sebab itu kita ada Barisan Nasional (BN) yang mana kita menggaul idea daripada MCA, MIC dan lain-lain parti komponen. Kita bawa gagasan UMNO serta bukan Melayu dalam BN.

Tidak ada salah dan bukan jenayah untuk ada parti bagi orang Melayu. Jangan disebabkan kalah kita buka parti, maknanya kita tidak percaya kepada kemam­puan parti kita sendiri. Dalam PRU-14, UMNO sebenar­nya mendapat sokongan baik daripada pengundi Melayu, kita kalah sebab kekura­ngan sokongan bukan Melayu.

Ada yang beranggapan UMNO memerlukan masa yang panjang untuk bangkit semula?

Fasa pertama adalah untuk timbulkan semula UMNO, sebab kita tenggelam sekarang. Apungkan diri dan lihat tebing mana paling dekat untuk bawa kapal UMNO ini. Perancangan jangka pendek adalah untuk keluar dari air dan apabila sampai di tebing barulah rancang perjalanan sete­rusnya, ke mana hendak pergi.

Kalau orang Melayu sudah buka mata, mereka boleh lihat sedikit demi sedikit kepentingan orang Melayu ketika ini tercalar. Saya yakin kita akan bangkit dan kuat semula. Kebelakangan ini banyak keputusan (kerajaan Pakatan Harapan) dibuat menggusarkan kita, maka orang Me­layu perlu bangkit, bukan UMNO tetapi orang Melayu kena bangkit. Lebih segera kita bangkit, ­lebih baik. Saya tak nampak masalah untuk bersatu, tetapi isunya ialah kita perlu lupakan ego, sebagai pemimpin jangan ego sangat.

Orang Melayu berpolitik terlampau taksub kepada parti. Orang bukan Melayu berpolitik berasaskan bangsa, kita pula berpolitik berasaskan parti. Macam dalam PRU-14, lima hingga enam parti Melayu bertanding, hancurlah. Apabila kita hilang kuasa yang rugi orang Melayu. Jangan kata UMNO yang rugi, UMNO adalah satu perjuangan. Kalau esok semua orang Melayu benci UMNO, tak ada masalah tetapi yang rugi mereka. Jangan silap faham, orang kata padan muka UMNO (tewas PRU-14), sedangkan satu persatu hak orang Melayu hilang.

Apa harapan terhadap pemilihan UMNO kali ini?

Orang UMNO kali ini mesti gunakan kebijaksanaan untuk pilih pemimpin bagi memimpin parti keramat ini, jangan lagi terpalit dengan pemikiran lama. Pilih pemimpin boleh beri kepercayaan dan kita boleh pertanggungjawabkan untuk bangkit semula dan bawa UMNO ke arah tuju lebih baik. Saya yakin orang Melayu tak buang UMNO, selagi UMNO tak buang orang Melayu. Masa depan UMNO di tangan orang Melayu. UMNO kena berhemah dan mesti mempunyai tiga kriteria saya sebutkan tadi.

Kepada seluruh ahli yang akan memilih di peringkat sayap parti pada 23 Jun, pilih pemimpin yang boleh jalankan tugas dan memimpin. Begitu juga bahagian yang bermesyuarat serentak pada 30 Jun, pilihlah pemimpin yang kita boleh letak kepercayaan. Ini supaya nampak jelas mesej dan isyarat kuat kepada orang Melayu bahawa UMNO sudah berubah serta sedia memikul tanggungjawab berjuang demi martabat bangsa Melayu, agama Islam dan raja Melayu.