“Saya seronok belajar bahasa Melayu. Sangat mudah untuk belajar dan faham,” kata Sarah J. Talalay yang sangat manis berbaju kebaya merah pada hari itu.

Sarah merupakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan di pejabat Kedutaan AS ini. Tuntutan kerja di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memerlukannya untuk mempelajari bahasa tersebut. Walaupun hanya menghadiri kursus bahasa Melayu selama lapan bulan di Washington, Cekmek Molek fikir ia merupakan satu tempoh yang agak singkat jika dibandingkan dengan kefasihan bahasa yang digunakan.

Kata Sarah, bahasa Melayu lebih mudah berbanding bahasa-bahasa lain yang pernah dipelajarinya. Lagipun, Cikgu Annie yang merupakan guru bahasanya amat tegas dalam memastikan pelajar beliau dapat ‘tangkap’ setiap perkataan dan sebutan intonasi yang diajar.

“Kami gelarkan beliau sebagai Cikgu Harimau kerana beliau sangat garang. Tetapi kami seronok belajar dengannya kerana cikgu tidak putus asa mengajar kami sehingga kami berjaya menyebut setiap perkataan dengan betul,” katanya yang sangat menggemari nasi lemak dan char kuetiau.

Sarah ditemani seorang lagi rakan sekerjanya, Michael Quinlan yang turut sama boleh berbahasa Melayu. Michael yang merupakan Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan di pejabat sama sudah tiga tahun tinggal di Malaysia. Isteri dan dua anaknya bersekolah di sini. Katanya, dia pernah melawat beberapa buah negeri dan tinggal untuk beberapa lama bersama orang Kelantan. Di sana, dia berpeluang untuk cakap bahasa Melayu menggunakan dialek negeri itu yang disifatkan amat unik di samping mempelajari adat, cara hidup dan budaya orang Kelantan.

“Bila kita cakap dengan orang tempatan, ia mampu mengembangkan lagi penggunaan bahasa dan lebih memahami kehidupan mereka. Tetapi bila di Kuala Lumpur, orang Melayu di sini lebih suka menggunakan bahasa Inggeris bila bertemu orang ‘kulit putih’ macam kami. Jadi kami kurang peluang untuk mempraktikkan bahasa Melayu dengan baik,” katanya yang suka berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pemandu Grab.

Situasi itu turut diakui Sarah. Kadang-kadang, menurutnya, penggunaan bahasa kiasan menyukarkan mereka untuk memahami maksud di sebalik perbualan. Pernah suatu hari dia dan suami pergi ke pasar Chow Kit untuk mencari ayam belanda kerana mereka berdua amat gemar makan ayam itu. Namun bila ditanya kepada seorang penjual ayam: “Pakcik, ada ayam belanda di sini?” Dia agak pelik kerana penjual itu tergelak besar dengan pertanyaannya sambil berkata: “Oh, di sini ada banyak ‘ayam’. Nak yang besar atau kecil?”

Kata Sarah, dia agak kecewa dengan reaksi penjual ayam itu dan tertanya-tanya adakah penggunaan bahasa Melayu yang digunakannya salah. Namun selepas diceritakan kepada rakannya, orang tempatan tentang situasi itu, baharulah dia faham istilah ‘ayam’ itu sebenarnya adalah ganti nama kepada pelacur.

Dalam pada itu, Michael memberitahu, dia amat kagum dengan sikap orang Malaysia yang peramah dan sangat baik. Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, mereka boleh bekerja bersama-sama, hidup dengan toleransi dan harmoni. Perkara itu amat memudahkannya untuk menjalankan tugas yang melibatkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan AS seperti program pertukaran pelajar selain penganjuran program budaya.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Michael tidak sabar untuk meraikan sambutan perayaan itu bersama masyarakat Melayu di sini. Setiap tahun dia tidak pernah gagal untuk menghadiri rumah terbuka dan menikmati juadah hari raya seperti rendang dan sate yang digemarinya bersama ketupat.

“Saya suka tradisi balik kampung rakyat Malaysia. Bila kita belajar bahasa Melayu, kita boleh faham lagu-lagu raya seperti lagu Balik Kampung nyanyian Sudirman. Ia sekali gus mampu membangkitkan sama perasaannya untuk turut teruja balik kampung walaupun terletak jauh di Hawaii.

Bagi Sarah dan Michael, mempelajari bahasa asing amat perlu dalam dunia hari ini terutama bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa. Dalam hal itu, mereka amat menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil peluang menghadiri kelas bahasa. Pihak Kedutaan AS juga turut mengadakan program kem bahasa Inggeris melalui kerjasama rakan kongsi kerajaan Malaysia seperti Kementerian Pendidikan untuk sekolah-sekolah.

“Jangan malu atau segan untuk bercakap dalam bahasa asing kerana jika tidak digunakan, bahasa yang dipelajari hanya sia-sia. Pada masa sama, jangan pinggirkan bahasa ibunda kerana ia merupakan lambang identiti setiap masyarakat dan negara,” kata Sarah mengakhiri perbualan dengan Cekmek Molek.