Entah yang kali ke berapa peringatan seumpama itu dilontarkan namun ia bagaikan `menjirus air ke daun keladi’. Orang Melayu masih belum sedar kepentingan bersatu, orang Melayu terus khayal dengan matlamat dan agenda kelompok masing-masing serta orang Melayu terus `mabuk’ untuk jatuh menjatuhkan sesama sendiri.

Jumlah orang Melayu bukanlah sedikit, jumlah mereka begitu ramai sekali dan merupakan kaum majoriti di negara ini, tetapi lihatlah apa yang berlaku kepada orang Melayu, kajilah kedudukan kaum itu di manakah mereka berada sekarang, menang pilihan raya dilihat berkuasa tetapi hakikatnya tidak berkuasa.

Melihat apa yang berlaku kepada orang Melayu ketika ini, kita harus bertanya apakah mereka sudah `mencapai’ peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud. Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW bersabda, ``Hampir tiba masanya di mana kalian diperebutkan sebagaimana sekumpulan pemangsa yang merebutkan makanannya. Ditanya oleh para sahabat, ``Apakah saat itu jumlah kami sedikit, Ya Rasulullah.’’ Baginda menjawab, `Tidak, bahkan pada saat itu jumlah kalian sangat banyak, tetapi seperti buih di lautan kerana kalian tertimpa penyakit wahn.’’ Sahabat bertanya,; Apakah penyakit wahn itu, Ya Rasulullah. Baginda menjawab; ``Penyakit wahn itu adalah cinta dunia dan takut mati.’’

Apa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW tersebut ada dalam titah Sultan Selangor, kalau kita berlapang dada menghayatinya. Sultan Sharafuddin antara lain bertitah: ``Beta melihat orang Melayu kelihatan semakin lemah dan longlai daripada pelbagai aspek kehidupan arus perkembangan negara masa kini.’’

Dan baginda juga mengingatkan, ``Kita perlu ingat bahawa apabila orang Melayu berpecah dan hidup di dalam keadaan porak peranda, akan ada pihak lain mendapat keuntungannya.’’ Cuba fikirkan tidakkah ketika ini orang Melayu berada di kedudukan itu? Siapa yang untung ketika ini apabila kita terus berpecah belah hanya disebabkan perbezaan politik?

Ketika kaum lain bersedia bersatu biarpun berbeza ideologi politik demi mempertahankan kepentingan kaum mereka, orang Melayu pula seperti mana titah baginda, ``gejala fitnah memfitnah yang dilemparkan antara satu pihak dengan pihak yang lain serta perasaan dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan seolah-olah dijadikan semacam satu budaya dalam kalangan orang Melayu.’’

Sememangnya itu berlaku kerana dalam kalangan pemimpin Melayu seolah-olah jahil dalam menguruskan soal perbezaan ideologi politik. Masing-masing mempertahankan pendirian sendiri sehingga akhirnya orang Melayu berpecah belah. Orang Melayu tidak mungkin akan bersatu jika ada pemimpin-pemimpin Melayu terus hipokrit dan retorik dalam usaha menyatukan ummah. Politik kebencian yang disebarkan telah memungkinkan orang Melayu kini berada di ambang untuk `bertukar bentuk’ menjadi buih-buih di lautan – banyak tetapi tidak bermanfaat. Malah orang Melayu juga tidak mungkin dapat bersatu jika dalam kalangan pemimpin Melayu seperti mana ditegaskan oleh Sultan Sharafuddin ``…melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya sendiri secara terbuka tanpa sekatan dan segan silu.’’

Turut membimbangkan apabila ada pemimpin Melayu menzahirkan pelbagai hujah bagi mempertahankan tindakan mereka yang dilihat boleh memecah belahkan orang Melayu.

Benar orang Melayu sudah berpecah, betul orang Melayu sedang bertelingkah sesama sendiri tetapi tidakkah dalam kalangan mereka menyedari atau memahami peringatan Allah dalam Al Anfal ayat 46 bermaksud;

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.’’

Peringatan Allah SWT inilah yang menjadi panduan kepada Sultan Selangor untuk menzahirkan perasaan dukacita baginda kerana, ``..nilai-nilai murni yang diunjurkan oleh agama Islam yang sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu termasuk pemimpin Melayu tidak diamalkan, dan seolah-olah kita telah lupa bahawa batas-batas agama menghalang kita untuk berpecah belah dan bertelingkah sesama kita.’’

Sekali lagi, entah untuk ke berapa kali, segala-galanya berada di tangan orang Melayu khususnya mereka yang bertaraf pemimpin untuk menghayati dan melaksanakan titah Sultan Selangor demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam. Cukup-cukuplah bertelingkah, berhentilah memburuk-burukkan sesama sendiri dan tamatkanlah sengketa yang bertujuan menjatuhkan antara satu sama lain. Masa masih ada untuk pemimpin-pemimpin Melayu untuk berjiwa besar berusaha menyatukan ummah.

Kalaupun tidak mahu bersama tetapi sekurang-kurangnya jangan memperlekehkan usaha kelompok Melayu lain untuk bersatu. Jangan awal-awal lagi memandang serong usaha ke arah perpaduan ummah sedangkan kita sendiri sanggup bersekongkol dengan pihak lain demi meraih secebis kuasa yang belum pasti dan sudah kelihatan tidak menguntungkan orang Melayu dan umat Islam.

Jangan sampai tindakan kita menyebabkan orang Melayu kesudahannya menjadi buih di lautan. Tanda-tandanya sudah ada!