Menurut buku Yang terbaik Dari Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992 (1994) oleh Zainuddin Maidin (Zam), Melan mencipta pojok Awang Selamat bagi menggantikan Awang Bongsu yang disiar Utusan Malaysia sejak 1 September 1967.

Pojok berbentuk satira itu menjadi semakin popular apabila ruangan itu diteruskan oleh Tan Sri Mazlan Nordin yang mengambil alih jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dari Melan pada 1973.

Selepas dilantik sebagai Pengarah Urusan Utusan Melayu, Mazlan masih meneruskan po­jok itu untuk Mingguan Malaysia kecuali Utusan Malaysia.

Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Ketua Pe­ngarang Kumpulan pada 1983 mengendalikan sepenuhnya pojok itu di Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia berikutan pengunduran Mazlan pada 1987.

SALAM TERAKHIR

Zainuddin mengekalkan na­ma pojok Awang Selamat sehinggalah beliau memberikan ‘salam terakhir’ kepada seluruh peminatnya di Mingguan Malaysia pada 1 November 1992 apabila dilantik sebagai Penasihat Jabatan Pengarang Utusan Mela­yu.

Mazlan Noordin dalam tulisannya Dari Pemberita Ke Pe­ngarah Urusan yang termuat dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Melayu (1989) menyatakan, Utusan akan kekal abadi selagi akhbar itu sentiasa sensitif kepada perubahan.

“Dan sela­gi men­cer­minkan suara rak­-
yat, bukan menyiar­kan berita atau rencana untuk menye­nangkan hati apa juga golongan saja.

Utusan tetap mendokong hati nurani rakyat. Semoga ia terus menjadi lidah rakyat dan terus peka terhadap cita-cita, keresahan, dan masalah masyarakat majmuk Malaysia, mem­bela yang lemah serta menentang kezaliman” (Mazlan Noordin 1989: 78).

Zainuddin Maidin, menyatakan, tulisan Awang Selamat dari 1987 hingga 1992 terutama sekali di Mingguan Malaysia banyak menimbulkan kontroversi terutama sekali daripada aspek agama dan sosial yang menampakkan sikapnya yang pragmatik, li­beral dan tidak ada toleransi terhadap dogmatik agama, komunis, kekolotan dan kekarutan.

“Sekalipun Awang Selamat hanya merupakan catatan, pandangan dan kritikan sepintas lalu yang ringan tetapi tidaklah dapat dinafikan ruangan ini telah memainkan peranan yang sangat penting dan menarik perhatian pembaca terhadap isu-isu politik, sosial dan agama yang timbul dari semasa ke semasa sama ada di dalam atau di luar negara.

“Ruangan ini telah memberikan sumbangan yang besar ke arah mempengaruhi pendapat umum dan juga membentuk pemikiran rakyat menerusi perbincangan yang menggunakan logik yang mudah dan penonjolan realiti sebenar yang meyakinkan” (Zainuddin Maidin 1994).

KONTROVERSI

Pojok terakhir Awang Selamat pada 1 November 1992 mengimbau sejarah yang paling menyayat hati yang pernah terjadi kepada pengasas Utusan Melayu sendiri Tun Yusof Ishak, Said Zahari, A. Samad Ismail dan Me­lan Abdullah yang meninggalkan Utusan dalam keadaan kontroversi.

“Tujuan Awang membangkitkan semula sejarah ini bukanlah untuk me­negakkan kebenaran setiap Ketua Pengarang Utusan Melayu tetapi sekadar ingin membuktikan kebenaran sejarah bahawa hampir setiap Ketua Pengarang Utusan Mela­yu meninggalkan jawatan me­reka dalam keadaan kontrover­si” (Zainuddin Maidin 1994: 523).

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Di depan Api, Di Belakang Duri (2013), perubahan jawatan penting Ketua Pengarang Kumpulan Utusan berlaku secara dramatik de­ngan keputusan mengenainya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO kerana isu bahasa yang menampakkan kontroversi antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan Utusan Melayu.

“Laporan mengenai­nya me­nyatakan bahawa Johan Jaaffar, Ketua Bahagian Penerbitan Am Dewan Bahasa dan Pustaka dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan mulai 1 November 1992 menggantikan Zainuddin Maidin yang dilantik menjadi Penasihat Jabatan Pengarang” (Zainuddin Maidin 2013: 247).

Seminggu kemudian dalam Mingguan Malaysia keluaran 8 November 1992, Johan te­lah menukarkan nama pojok Awang Selamat kepada ‘Lanang Sejagat’ yang dipadankan daripada nama timang-timangan seorang pujangga istana yang terkenal pada zaman kesultanan Melayu Johor, Tun Sri Lanang.

Utusan Melayu selepas era Johan melalui kepimpinan Khalid Mohd. yang dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, ruangan pojok Awang Selamat menghilangkan diri tanpa sebarang pengumuman.

Pembaca-pembaca mulai terasa kehilangan suara tetapi apabila Aziz Ishak mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu daripada Khalid Mohd, beliau secara perlahan-lahan tetapi konsisten mengembalikan imej Utusan sebagai akhbar yang prihatin terhadap keadaan semasa, menghidupkan semula ‘Awang Selamat’ dalam Mingguan Malaysia. Utusan kembali bersuara lantang dan berani sehingga membawa perubahan besar dalam UMNO.