Timbul persepsi pada ketika itu dan kekal sehingga hari ini bahawa saluran Tingkatan 6 lebih sukar untuk dilalui berbanding matrikulasi. Sebab itu pada awal penubuhannya, program matrikulasi dianggap program tidak setanding dengan Tingkatan 6 dan mungkin itulah sebabnya juga tidak timbul polemik mengenai isu ini.

Tetapi beberapa bulan kebelakangan ini timbul kekeliruan yang menjurus kepada tuduhan program matrikulasi sebagai tidak adil kerana hanya membantu pelajar bumiputera sedangkan kumpulan yang membantah ini tahu bahawa itulah tujuan sebenar program tersebut. Polemik mengenai matrikulasi yang dahulunya dianggap program kelas kedua selari dengan matlamat penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) yang telah naik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jika satu ketika UiTM dianggap institusi kelas kedua kerana menerima pelajar kurang berkelayakan tetapi kini serupa seperti matrikulasi wujud kumpulan yang mendesak supaya institusi tersebut menerima pelajar bukan bumiputera. UiTM menjadi rebutan ketika ini kerana telah terbukti sistem pembelajaran yang disediakan adalah sama taraf dengan institusi yang lain.

Sama juga matrikulasi KPM menjadi rebutan bukan kerana ia digunakan sebagai ‘pintu belakang’ untuk memasuki universiti tetapi sistem pembelajaran yang digunakan dalam program ini adalah antara yang terbaik dan efektif jika hendak dibandingkan dengan sistem matrikulasi lain yang wujud di Malaysia. Begitu jua prasarana pembelajaran yang disediakan menepati ciri-ciri sistem pembelajaran pra-universiti.

Sebab itu tidak keterlaluan jika dihujahkan pelajar matrikulasi KPM tidak akan berasa kekok meneruskan pengajian mereka di universiti kerana sudah sebati dengan sistem yang mereka lalui ketika berada di matrikulasi. Itu antara sebab mengapa matrikulasi menjadi rebutan pelajar buat masa ini.

Mungkin timbul ungkapan ‘pintu belakang’ kerana perbandingan dengan program Tingkatan 6 yang persepsinya lebih sukar dilalui oleh pelajar walaupun kedua-dua program ini kendalian KPM. Tidak adil membandingkan dua sistem pembelajaran kerana strategi pembelajaran kedua-dua sistem tersebut adalah berlainan dan sasaran pelajar adalah juga berbeza. Timbul persepsi bahawa pelajar bumiputera tidak berminat memasuki Tingkatan 6 kerana ia lebih sukar berbanding matrikulasi. Pandangan sebegini dianggap berat sebelah kerana kedua-dua sistem pembelajaran ini adalah spesifik sasaran pelajar yang mengikutinya.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) ada dua sistem peperiksaan yang digunakan untuk menilai kelayakan pelajar memasuki universiti iaitu SAT dan ACT. Ada yang mengatakan SAT lebih sukar berbanding ACT seperti mana ada yang berpendapat Tingkatan 6 lebih sukar dari matrikulasi KPM. Tetapi SAT dan ACT mempunyai merit masing-masing. Sebab itu universiti di AS tiada masalah menggunakan keputusan kedua-dua sistem ini sebagai asas penilaian kelayakan kemasukan pelajar ke universiti.

Sukar atau mudahnya sama ada SAT atau ACT bergantung kepada ciri-ciri pembelajaran pelajar tersebut. Maksudnya ada pelajar yang memperoleh markah rendah SAT tetapi sebaliknya mampu mendapatkan markah tinggi dalam ACT dan begitu sebaliknya. Ini adalah kerana sistem peperiksaan (soalan) yang digubal dalam SAT dan ACT adalah berlainan konsep dan kesesuaiannya bergantung kepada ciri pelajar yang mengambil peperiksaan tersebut.

Memang tidak dinafikan sistem matrikulasi KPM wujud dari konsep afirmatif dalam pendidikan yang juga diamalkan di AS. Cuma bezanya di AS tindakan afirmatif dilakukan di peringkat akhir iaitu ketika proses kemasukan universiti. Rakyat Amerika dari golongan Hispanik dan Afrika-Amerika adalah golongan tersisih dalam sistem pendidikan universiti. Sebab itu bekas Presiden Barack Obama menggunakan konsep afirmatif untuk memudahkan kumpulan tersisih ini memasuki universiti. Tetapi kaedah ini dimansuhkan oleh Donald Trump.

Di Malaysia pula tindakan afirmatif bermula dari peringkat awal iaitu matrikulasi KPM umpamanya tetapi penilaian kelayakan kemasukan ke universiti dinilai sama rata dalam kalangan pemohon dari matrikulasi, Tingkatan 6 atau keputusan sistem setara lain.

Minatnya ketika ini terhadap matrikulasi KPM bukan kerana konsep ‘pintu belakang’ tapi kesesuaian sistem pembelajaran yang diamalkan seperti mana di AS, ada kumpulan pelajar lebih sesuai dengan SAT dan ada kumpulan pelajar yang memilih ACT.