Pemimpin bukan bumiputera sepatutnya sedar akan tujuan matrikulasi diwujudkan adalah untuk mengurangkan jurang antara kaum. Malah sudah diberi ruang pun untuk kaum lain, justeru mengapa perlu ‘bising-bising’.

Desakan pertambahan kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera sebenarnya telah selesai apabila Kabinet pada 24 April lalu membuat keputusan ‘mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus untuk pelajar bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan bumiputera. Meningkatkan jumlah pengambilan kepada 40,000 berbanding 25,000 orang tahun lalu bagi membolehkan jumlah pelajar bumiputera meningkat.

Pada awalnya matrikulasi hanya untuk pelajar bumiputera yang diperkenalkan pada 1999 tetapi mulai 2004 diberi peluang sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera, walaupun pada awalnya dipohon cuma kira-kira dua peratus. Makanya pelajar tingkatan enam dalam jurusan Sains khasnya, berjumlah 90 peratus pelajar bukan bumiputera dan cuma kira-kira 10 peratus atau kurang pelajar bumiputera.

Kini setelah 15 tahun peluang diberi dan tanpa menjejaskan langsung kuota Sains pelajar bukan bumiputera bagi tingkatan enam, matrikulasi diasak lagi untuk membuat pertambahan pengambilan. Tidakkah ini memberi bayangan akan sifat ‘tamak’ yang tidak pernah habis-habis dan tidak berterima kasih atau menghargai segala yang telah diberikan selama ini oleh kerajaan?

Apatah lagi yang mendesak agar matrikulasi dimansuhkan terus, secara tidak langsung ‘menutup’ rezeki belajar belasan ribu anak-anak bumiputera? Memang mereka yang mendesak itu benar-benar ‘buta perut’ dan ‘buta Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan’ atau sengaja pura-pura ‘buta’?

Persetujuan untuk menghormati segala ‘fasal’ dalam Perlembagaan haruslah dihormati, jangan hanya asyik meminta dengan tamaknya tetapi tidak pernah mahu memberi dan tidak pernah puas-puas dengan apa yang ada. Perlembagaan Malaysia sendiri menggariskan perkara-perkara yang menjadi ‘pasak negara’ dan sewajarnya menjadi pegangan teguh dan difahami semua pihak.

Tidak payahlah mahu mempolitikkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik semata-mata mahu menonjolkan diri masing-masing sebagai pejuang kepada kaum sendiri. Kalaulah mereka boleh berhujah macam-macam bagi mempertahankan kepentingan kaum mereka, kenapakah Dr. Maszlee tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Apabila Dr. Maszlee mengaitkan isu kuota matrikulasi bukan bumiputera dengan isu syarat fasih bahasa Mandarin bagi mendapatkan pekerjaan di mana beliau hanya mengenengahkan persepsi masyarakat terhadap syarat seumpama itu. Tambahan pula menghubungkan dua aspek iaitu ‘kuota’ matrikulasi dengan ‘mandarin requirement’ dalam sektor pekerjaan bukan sesuatu yang ironi.

Ini kerana kedua-duanya menampakkan perbezaan dan ketidakseimbangan yang jelas. Malangnya pihak yang mendedahkan ketidakseimbangan yang berlaku pula dituduh ‘bermain sentimen perkauman’.

Pendapat yang mengatakan kedua-dua isu ini berbeza adalah tidak tepat kerana antara matlamat akhir penguasaan pemain sektor swasta industri berat dan sederhana berteraskan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan sektor ekonomi umumnya dikuasai oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera.

Kajian penyelidik dari Universiti Malaya, Dr. Lee Hwok Aun bahawa 1.8 peratus pemohon Melayu yang diterima untuk ditemuduga oleh syarikat milik Cina berbanding pemohon Cina iaitu sebanyak 44 peratus adalah satu isu yang menyedihkan.

Kajian itu mendapati kelemahan graduan bumiputera untuk menguasai bahasa Mandarin dan bahasa lain juga menjadi satu faktor tingginya pengangguran graduan bumiputera.

Malah Laporan Statistik Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dikeluarkan kerajaan menunjukkan bahawa peratusan graduan universiti swasta mendapat kerja lebih tinggi berbanding universiti awam. Menurut stastik pengangguran berkenaan, seramai 26,776 (52 peratus) graduan universiti awam manakala universiti swasta 23,804 (48 peratus) dan menjadikan jumlah keseluruhan graduan tamat pengajian 2017 yang menganggur adalah 51,580. Jika dianalisis jumlah graduan berdasarkan kaum, kami percaya majoritinya ialah graduan bumiputera.

Tidakkah fenomena ini boleh membuka minda simpati dan tolak ansur pemimpin politik bukan bumiputera yang menyuarakan bantahan kuota ini supaya dilihat sebagai satu isyarat bahawa apalah sangat dengan kuota pelajaran bumiputera ke matrikulasi sedangkan dalam sektor pekerjaan, graduan bumiputera masih tertindas. Kami juga menyeru agar Perdana Menteri memecat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching kerana dilihat ‘tidak bersama-sama’ Menteri Pendidikan dalam menegakkan tunjang negara dan seolah-olah ‘melepaskan diri’ daripada isu ini.

Rakyat Malaysia dituntut tanpa mengira fahaman politik, bangkit atas sebarang hal berkaitan dasar-dasar Perlembagaan Negara, hak warga, menegak dan menuntut kebenaran.

Kami juga berharap pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘tidak berdiam diri’ dan ‘membisu’ untuk menegur dan memberi komen dalam isu membabitkan ‘kuota matrikulasi’ sebagaimana pemimpin politik bukan bumiputera daripada DAP, MCA dan Gerakan yang bersatu hati serta bersatu suara dalam memperjuangkan isu matrikulasi bagi kepentingan kaum Cina dan bukan bumiputera. Sama seperti mana mereka bersatu dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah vernakular dan peruntukan kepada institusi swasta bukan bumiputera.

Dalam senario sebegini, kita bukan sahaja berdepan kesukaran untuk menjadikan pendidikan sebagai ‘wadah penyatuan dan perpaduan’, sebaliknya jauh sama sekali untuk menjadikan pendidikan sebagai ‘pelindung’ kepentingan nasional. Suara berharap DAP, MCA, Gerakan dan semua pihak perlu menghormati Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh ‘pembina negara bangsa’ sejak merdeka.

Presiden Majlis Suara Melayu Johor (Suara), A. Rahman Mahadi