Sebagai peminat sukan negara, sudah pastinya saya kecewa dengan pelantikan ini yang secara jelas berunsurkan politik. Tindakan ADUN tersebut menerima jawatan itu seolah-olah tidak menghormati usaha kerajaan mereformasikan institusi sukan negara dalam memastikan bebas daripada campur tangan ahli politik.

Jika benar Young Syefura ingin membantu meningkatkan mutu sukan negara, beliau harus memulakan dengan menggalakkan pelbagai kejohanan sukan di peringkat akar umbi. Beliau boleh menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat membantu atlet-atlet kebangsaan yang memerlukan bantuan tanpa perlu masuk campur dalam persatuan bola sepak. Apakah agenda pembaharuan yang sebenarnya ingin dibawanya jika benar beliau inginkan perubahan dalam landskap bola sepak wanita negara?

Beliau seharusnya mengambil maklum dan membela nasib pemain futsal wanita negara yang pernah tersenarai dalam kedudukan lima terbaik Asia sekitar 2015, namun prestasi mereka akhirnya merudum. Ia ekoran pertukaran jurulatih dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sering mengabaikan nasib atlet wanita dalam sukan ini.

Jika Young Syefura mempunyai minat mendalam dalam bidang sukan, harus menggunakan platform dimiliki untuk membuat desakan kepada pemegang taruh supaya memberi peluang dan ruang yang sama adil terhadap atlet lelaki dan wanita terutamanya dalam sukan bola sepak.

Saya menyambut baik hasrat beliau yang ingin menepis stigma masyarakat bahawa sukan bola sepak hanya dikuasai oleh lelaki. Namun malangnya, beliau seolah-olah hilang punca kerana Malaysia sebenarnya sudah mempunyai pasukan bola sepak wanita sejak dahulu lagi, namun FAM sering memfokuskan kepada pasukan lelaki sahaja.

Saya berpendapat, Young Syefura perlu mendalami masalah akar umbi pengurusan bola sepak serta polisi sukan negara jika benar-benar serius mahu mengangkat martabat kaum wanita dalam sukan. Sebagai contoh, beliau boleh mendukung aspirasi Kementerian Belia dan Sukan mengangkat atlet wanita dalam Program Jelajah Le Tour de Femina. Program ini bakal berlangsung pada September ini untuk memperkasakan kaum wanita dalam sukan negara.

LENY AZMI

Alumni Sekolah Demokrasi