Mungkin disebabkan cuti hari raya kedua, jumlah penumpang agak ramai. Sesak lebih-lebih lagi tempoh menunggu pula lebih 20 minit. Tidak pasti kekerapan perkhidmatan feri ini. Kehadiran pendatang asing yang ‘keluar’ beramai-ramai sempena hari cuti menyebabkan berlaku kesesakan dan tolak-menolak. Penumpang tempatan yang terdiri daripada wani­ta dan warga emas kesal dengan keadaan itu. Lebih mendukacitakan keadaan itu berlaku disebabkan penumpang bimbang terlepas feri dan terpaksa menunggu lagi. Nasib tak baik mungkin 20 hingga 30 minit berikutnya.

Apabila terminal dikatakan mampu menampung 300 orang penumpang, bagaimana ukuran itu dilakukan? Adakah sekadar anggaran? Sepatutnya pihak keselamat­an (polis Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) atau polis pelabuhan) yang ditugaskan dapat memantau kehadiran penumpang di pintu masuk ruang menunggu terminal. Jika jumlah melebihi kemampuan muatan feri, bukalah satu lagi kawasan menunggu di bahagian terminal yang berpagar untuk penumpang menunggu giliran berikutnya. Itulah fungsinya bagi mengelakkan jumlah penumpang melebihi had yang ditetapkan.

Malangnya pihak yang mengawal pintu masuk ke feri menutup pintu pagar secara ‘paksa’ apabila menganggarkan jumlah penum­pang terlalu ramai. Tindakan itu menyebabkan berlaku tolak-menolak untuk merempuh pintu yang cuba ditutup bagi menghalang penumpang masuk.

Pihak berkuasa yang menguruskan perkhidmatan feri ini perlu melihat keadaan ini sebelum perkara yang buruk berlaku. Mungkin selama ini kesesakan hanya berlaku sewaktu orang ramai pulang kerja pada hari-hari bekerja tetapi terkawal tanpa tolak-menolak yang menimbulkan kemarahan penga­wal pintu masuk feri. Dalam kes yang dialami saya, ada penum­pang yang diarah masuk ke kawasan menunggu kerana didapati menolak penumpang lain.

Seperkara lagi berapakah muat­an sebenar feri? Jika dulu ada feri penumpang dan feri kenderaan tetapi kini feri penumpang/kende­raan. Dulu di dek atas hanya khusus untuk penumpang dan di bawah khas untuk kenderaan tetapi kini ruang tengah di dek atas khusus untuk penumpang sementara di kiri kanan untuk kenderaan. Dalam waktu tertentu jika penumpang pejalan kaki ramai, mereka terpaksa berdiri.

Jumlah feri pula khabarnya sudah berkurangan. Difahamkan ada lapan buah yang beroperasi iaitu Pulau Pinang, Pulau Payar, Pulau Angsa, Pulau Kapas, Pulau Undan, Pulau Rawa, Pulau Talang-Talang dan Pulau Rimau. Waktu operasinya juga sudah lama berubah. Pernah sebelum ini perkhidmatan 24 jam tetapi kini bermula 5.30 pagi hingga 12.30 malam (pulau) dan 6 pagi hingga 1 pagi (tanah besar). Kekerapan pula bergantung pada waktu tertentu. Perubahan ini disebabkan perkhidmatan feri mengalami kerugian.

Tidak pasti selama mana per­khid­matan feri ini mampu bertahan. Adakah perkhidmatan feri tertua di Pulau Pinang ini akan berakhir? Mungkinkah bakal menjadi perkhidmatan untuk pelancong sahaja? Lebih-lebih lagi ketika ini pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan feri perlu berjalan jauh, naik turun tangga di tanah besar iaitu kawasan terminal bas Penang Sentral yang sedang dalam pembinaan. Memang meletihkan terutama bagi warga emas, wanita mengandung dan mereka yang membawa bersama anak-anak kecil.

Difahamkan keadaan ini akan berlarutan sehingga tiga tahun berikutan kerja-kerja pembinaan Penang Sentral. Mujurlah ada khidmat van perantara bagi membantu penumpang yang tidak berupaya berjalan dalam jarak jauh.

Berkaitan kerugian, mungkin pihak berkenaan perlu mencari jalan keluar mengatasi masalah ini. Keadaan lebih terasa apabila sudah ada dua jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau. Ketika ini hanya kenderaan yang masuk ke pulau sahaja dikenakan bayaran sama ada menggunakan jambatan atau feri. Maknanya pengguna yang keluar masuk boleh buat pilihan bayar tol jambatan kemudian keluar menggunakan feri secara percuma dan begitu juga sebaliknya.

Mungkin satu kaedah baharu boleh diperkenalkan supaya pihak jambatan dan feri tidak mengalami kerugian. Pengecualian boleh diberi kepada penumpang pejalan kaki atau pun sebarang kenaikan boleh dicadangkan melibatkan perjalanan dua hala. Bukannya ini bermakna menyokong kenaikan tambang feri secara mendadak tetapi mencari satu formula ‘menang-menang’. Jika tidak pihak kerajaan perlu memberi sedikit subsidi untuk menyokong pengangkutan awam supaya terus memberi perkhidmat­annya kepada pengguna.

Tidak ada maknanya jika kerajaan sama ada pusat atau negeri menggesa rakyat menggunakan pe­ngangkutan awam tetapi tahap perkhidmatannya amat mengecewakan. Perlukah kita melabur lebih besar untuk memperkenalkan perkhidmatan baharu? Mungkin kos itu boleh digunakan untuk menaik taraf perkhidmatan sedia ada. Ketika ini tambang yang dikenakan hanya sehala iaitu untuk pejalan kaki RM1.20 (dewasa) dan kanak-kanak RM0.60 . Bagi kenderaan pula mengikut jenis sama ada basikal, motosikal, kereta/van dan lori. Kadar bagi sebuah kereta ialah RM7.70.

Terdapat cadangan kadar tambang pejalan kaki dinaikkan kepada RM2 dan kereta kepada RM9. Banyak pihak yang membantah kenaik­an yang dianggap mendadak itu. Apakah pilihan lain yang ada untuk menampung kerugian perkhidmat­an feri itu? Penyusunan semula perlu dilakukan. Penggunaan feri juga perlu dipelbagaikan. Seingat penulis, pernah satu ketika bagi menambah hasil feri, satu pakej disediakan untuk pihak-pihak luar mengadakan makan malam di atas feri sambil belayar di kawasan perairan berkenaan. Hakikatnya perkhidmatan feri masih diperlukan. Bukan sahaja keperluan pengguna tempatan tetapi juga tarikan industri pelancongan.

Sabtu lalu ketika saya menggunakan perkhidmatan feri itu, kelihatan para pekerja memasang papan iklan yang mungkin satu promosi bagi menunjukkan keperluan perkhidmatan feri. Mengikut catatan, ada yang menggunakan 60 kali perkhidmatan itu setiap bulan yang mungkin melibatkan golong­an pekerja. Tinjauan melibatkan seorang warga emas pula menunjukkan beliau hanya menggunakan empat kali perkhidmatan feri sebulan. Tidak pasti apakah tujuan ‘iklan’ itu tetapi sekali pandang jelas menunjukkan majoriti pengguna yang ditinjau kerap menggunakan perkhidmatan itu.

Diharapkan apabila siap Penang Sentral nanti, perkhidmatan pengangkutan awam termasuk feri lebih cekap. Penang Sentral turut menggabungkan kemudahan perkhidmatan kereta api, teksi, bas henti-henti, bas ekspres, teksi dan tempat letak kereta. Walaupun feri mengalami saat-saat sukar, perkhid­matan itu perlu diselamatkan!