UKE: Makruh bagi seorang makmum membaca kuat ketika solat berjemaah kerana ia boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri. Janganlah disebabkan membaca al-Fatihah agak kuat makmum lain menjadi tidak khusyuk.

  • Haram:Jika makmum membaca kuat sehingga mengganggu orang lain dan juga mengganggu bacaan orang yang berada di sebelahnya.
  • Harus: Jika tidak mengganggu orang lain dan terdapat keuzuran yang memerlukan makmum terbabit membaca dengan kuat seperti bunyi bising yang berada di sekelilingnya. Sungguhpun begitu tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising. Memadai membaca al-Fatihah dengan kadar suara semasa suasana tenang iaitu bacaan ketika normal.
  • Sunat: Makmum sunat menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas imam selesai membaca al-Fatihah dalam solat jahriyyah (subuh, maghrib dan isyak) termasuk sewaktu qunut, juga bagi makmum yang menjadi mubaligh.

Baca doa ikut buku panduan haji

Adakah kita perlu membaca doa-doa tertentu seperti yang ditulis dalam buku panduan haji dan umrah ketika bertawaf serta bersaie atau cukup dengan membaca surah atau zikir atau doa yang kita ketahui? Mohon bantuan ustaz. - AIN, Kuala Lumpur

UKE: Doa yang ditulis dalam buku panduan haji dan umrah itu kebanyakannya diambil daripada sumber yang baik. Ada doa yang diambil daripada ayat-ayat suci al-Quran dan ada yang diambil daripada Rasulullah SAW. Oleh itu cukup cantik kalau jemaah dapat membaca doa-doa yang terdapat dalam buku panduan tersebut. Namun itu jika suasana tenang. Sekiranya suasana berbeza dengan adanya kesesakan dan pelbagai masalah yang lain maka yang dikehendaki ialah berdoa dan bukan membaca doa. Tidaklah hanya bertumpu kepada buku tersebut semata-mata.