Sebab itu senario perbezaan pendapat ini sepatutnya dihargai kerana setiap dasar yang dibentuk oleh kerajaan bukan sahaja dibuat secara konsensus tetapi dibuat setelah proses perbincangan yang mengambil kira semua pendapat telah dilalui.

Tetapi percanggahan pendapat atau kenyataan antara menteri adalah senario yang harus dielak kerana ia bukan sahaja memberi persepsi yang tidak baik kepada rakyat tetapi percanggahan sebegini mencerminkan percanggahan dasar yang dibentuk.

Beberapa minggu lepas apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercanggah kenyataan mengenai status kontrak China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ia memberi tafsiran yang tidak sihat kerana bukan sahaja dasar ECRL melibatkan syarikat luar negara tetapi juga terkait dengan negara kuasa besar China.

Percanggahan kenyataan antara dua menteri kanan ini memaksa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencelah bagi meredakan keadaan dengan menegaskan kenyataan kedua-dua menteri itu benar cuma bercanggah jika dinilai pada garis masa yang sama.

Apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking memberi nasihat kepada menteri supaya memberi tumpuan kepada bidang tugas kementerian masing-masing, nasihat tersebut sebenarnya ditujukan kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Beliau yang membuat cadangan untuk memperluaskan skop kementeriannya supaya meliputi aspek perdagangan dan pelaburan. Senario sebegini dianggap lazim kerana isu yang timbul antara dua menteri ini hanya menjerumus kepada perbezaan pendapat yang tidak mengganggu dasar kedua-dua kementerian itu.

Tetapi beberapa hari lepas apabila Mohd. Redzuan menegaskan keputusan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin yang mengenakan dua syarat tambahan kepada kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) sebagai tidak menggambarkan keputusan Kabinet, percanggahan dasar sedemikian amat membimbangkan.

Salah satu syarat yang menjadi pertikaian dua menteri itu ialah mengenai keperluan sisa Water Leached Purification (WLP) dari kilang Lynas perlu dihantar keluar dari Malaysia dipatuhi untuk memastikan pembaharuan lesen operasi diberikan kepada syarikat tersebut.

“Keputusan Kabinet jelas, iaitu membenarkan Lynas terus beroperasi. Soal sisa adalah perkara lain yang perlu ditangani. Tiada keputusan bersama yang dibuat kerajaan untuk menghantar sisa itu ke Australia,” tegas Mohd. Redzuan yang jelas bertentangan dengan syarat telah dikenakan MESTECC.

Masalahnya, dua syarat tersebut telah dikemukakan kepada Lynas pada Disember lepas lagi dan ia menjadi perdebatan umum apabila Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze mendakwa keputusan MESTECC itu tidak mengikut norma amalan antarabangsa.

Lebih berat lagi dakwaan Amanda bahawa dua syarat tersebut adalah berdasarkan politik dan bukannya sains.

Sepatutnya isu Lynas ini ditangani pada ketika Amanda membuat tuduhan pada Disember lepas yang sedikit sebanyak telah mencalar kewibawaan kerajaan bukan sahaja dalam hal mematuhi perjanjian antarabangsa tetapi juga dituduh MESTECC menggubal dasar tidak berlandaskan fakta sains.

Menyedihkan, isu Lynas hanya menjadi bahan percanggahan pendapat antara beberapa menteri dan Ahli Parlimen setelah Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis dalam sesi soal jawab Parlimen Isnin lepas menyatakan Kuala Lumpur sedang berunding dengan Canberra dalam hal mekanisme penghantaran balik sisa WLP.

Ini selepas empat bulan selepas isu ini mula timbul. Sekali lagi Dr. Mahathir terpaksa mencelah bagi meredakan keadaan dengan menegaskan kerajaan akan memutuskan perkembangan terbaharu mengenai isu sisa buangan Lynas dalam mesyuarat Kabinet kelak.

“Mungkin akan berlaku perbezaan pendapat mengenai isu berkenaan dan ia adalah biasa. Namun, apa yang diputuskan oleh Kabinet kelak akan dianggap keputusan rasmi kerajaan,” tegas Dr. Mahathir.