Semut-semut yang dulunya datang menghurung menyesakkan PWTC membawa bersama pelbagai ‘sampul’ berisi hajat atau untuk tunjuk muka tanda sokongan kini bertebaran mencari bekas gula baru setelah Putrajaya bertukar tangan.

Malah bukan sedikit yang ‘kalih’ sekelip mata sebaik UMNO tumbang malam 9 Mei lalu dengan gambar-gambar bersama pemimpin parti yang menghiasi media sosial mereka terus dipadam dan dikorek gambar-gambar lama sebagai pengganti.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini bebas semut cari makan dan selepas hampir lima bulan, ahli dan penyokong yang kekal setia bersama parti teruji sekurang-kurangnya buat masa ini bahawa mereka juga bukan daripada spesies tersebut di sebalik tawaran sentiasa terbuka untuk menyertai lawan.

Mereka kini ibarat semut askar yang sedia menawar khidmat bakti bagi melihat kebangkitan UMNO kerana kasih kepada perjuangan walaupun bekas berisi gula sudah beralih tangan.

Benar, apa yang berlaku pada 9 Mei lalu memberi iktibar besar tetapi harga yang perlu dibayar terlalu mahal kerana kehilangan kuasa politik di peringkat nasional dan hampir semua negeri buat kali pertama dalam sejarah.

Namun pada masa sama, Perhimpunan Agung UMNO 2018 membuktikan parti itu masih mempunyai rangkaian akar umbi cukup luas dan ini pastinya dicemburui lawan yang kini bergelar pemerintah.

Justeru, barisan kepemimpinan parti harus insaf seinsafnya, mereka tidak boleh lagi tergelincir daripada landasan perjuangan UMNO yang terkandung dalam perlembagaan parti.

Jangan kecewakan lagi sokongan yang masih ada ini walaupun pada saat UMNO bergelar pembangkang. Bagi ahli-ahli dan penyokong, biarpun khidmat mereka ditagih umpama askar semut yang gigih bekerja untuk membawa makan kepada ratu semut, namun jangan pula membuta-tuli kesetiaan kerana tiada yang sempurna di dunia ini.

Mulai sekarang, beranilah memberikan pandangan berbeza waima teguran sekali pun. Biarpun ungkapan ‘yes Sir’ lebih ingin didengari tetapi teguran adalah ubat paling mujarab hatta jika ditakdirkan berpeluang kembali ke Putrajaya nanti.

Dengan parti lain yang dahulunya pembangkang kini diuji fasa manisnya kenikmatan kuasa, ditambah pula semut-semut cari makan yang menanti masa merosakkan bekas gula baru, percayalah peluang sentiasa terbuka untuk kembali bangkit menawan hati rakyat kerana yang salah bukan parti, tetapi mereka yang menerajui dan kegagalan mereka yang di bawah untuk menegur. - UTUSAN ONLINE