Situasi kedua, anak kecil berusia tiga tahun itu ter­kinja-kinja menangis langsung tidak menghiraukan orang ­sekeliling hanya kerana mahukan mainan, bapa­nya ­mengalah dan terpaksa membelinya kerana ingin menjaga air muka, sambil membayar dia mengetap bibir dan berkata, siap kau kejap lagi!

Penulis kali ini ingin memfokuskan kepada dimensi lain bagi siap iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (SIAP) yang bakal genap usia enam tahun penubuhannya pada 1 April ini. Masih ramai rakyat negara ini yang kurang mengenali SIAP atau EAIC ini, jika dibuat tinjauan pendapat pasti jawapan amat mengecewakan.

Antara petanda yang boleh dijadikan kayu pengukur adalah kurangnya rakyat memanfaatkan SIAP. Ini ­kerana masih kedapatan para netizen memilih pendekatan memaki-hamun dalam media sosial jika berlaku ­perlanggaran integriti segelintir anggota agensi penguatkuasaan.

Jika mengenali siapa itu SIAP, pasti keterlanjuran akan dilaporkan kepada mereka bukannya mengambil pendekatan melampiaskan segala jenis ‘perbendaharaan kata’ carut-marut dan maki hamun.

Adakah masalah bakal selesai dengan sekadar melepaskan nafsu amarah itu secara semberono tanpa melorongkan kepada platform khusus, seperti SIAP yang bersusah payah disediakan oleh kerajaan.

Fungsi utama SIAP adalah menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan dan menyiasat serta mengadakan pende­ngaran berhubung aduan yang diterima.

SIAP menyelia sebanyak 21 agensi penguatkuasaan yang hampir setiap hari penduduk negara ini berurusan de­ngan mereka. Tidak perlu diperincikan siapa mereka, layarilah laman web, www.eaic.gov.my. Ini bukannya iklan tetapi nasihat!

Untuk berlaku adil, akses orang ramai terhadap laman web SIAP semakin meningkat, jumlah pe­ngunjung semalam (1 Mac) ialah 256,598 orang, ­berbanding 31,936 pengunjung pada 19 November 2014 kepada 82,008 pe­ngunjung pada 19 Mac 2015.

Ini bermakna, laman web SIAP memang menjadi pilihan, namun pada masa sama masih ada yang tidak menjadikan laman web itu sebagai teman setia. Sesuatu perlu dilakukan untuk menarik kesemua para netizen terke­cuali itu. Diharapkan jangan pula ada pihak-pihak ter­tentu mendesak supaya diwujudkan sebuah ‘suruhanjaya’ lain bagi mengkaji perangai kumpulan istimewa ini.

Menurut statistik SIAP, Polis Diraja Malaysia me­ngungguli carta aduan yang diterima, tujuh tahun berturut-turut bermula 2011 hingga 2017 iaitu sebanyak 1,284 aduan; diikuti Jabatan Imigresen (98 aduan) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (59 aduan) - sekadar menyebut sebahagian. Jumlah keseluruhan aduan diterima bagi tempoh tujuh tahun itu ialah sebanyak 1,868 aduan.

Jumlah itu diperoleh daripada pelbagai sumber, surat rasmi (30 peratus), e-mel (29 peratus), pengadu hadir sendiri (26 peratus), surat layang (8 peratus), rujukan agensi kerajaan (5 peratus) dan media (2 peratus).

Bagaimanapun SIAP bukan hanya menerima aduan, mereka turut menyiasat. Sebanyak 411 kertas siasatan didaftarkan bagi tempoh 2012 - 2017 dan 280 kes itu telah selesai, baki masih dalam siasatan.

Apa sahaja benda positif yang dibuat itu baik untuk manusia, namun ia akan jadi tidak bermakna jika hanya baik semasa diperhatikan oleh manusia lain sahaja.

Sedikit peringatan untuk sesiapa sahaja termasuk anggota pe­nguat kuasa, ahli politik, pegawai kerajaan dan penulis sendiri. Pernahkah kita semua terfikir, seperti selepas beberapa saat menerima atau meminta rasuah secara tiba-tiba nyawa dicabut oleh malaikat maut! Tahukah cara terbaik menjawab asakan soalan malaikat semasa berada dalam alam barzakh nanti. Sanggupkah menahan segala azab seksaan? Jika mampu, silakanlah.