Tambahan dalam perlembagaan yang diberi nama ‘Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme yang Bercirikan Cina untuk Era Baharu’ banyak berkisar kepada strategi ekonomi Xi bukan sahaja untuk membawa China sebagai negara yang disegani tetapi juga demi memastikan kekayaan negara dinikmati oleh semua lapis­an rakyat.

Jika China dengan ungkapan Pe­­mikiran Xi yang bakal menjadi pedoman kepimpinan tertinggi Chi­­na dalam merangka setiap dasar pada masa hadapan, negara lain juga mempunyai pedoman yang ber­paksikan pemimpin tertentu.

Kemenangan besar parti gabungan pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe dalam pilihan raya Jepun minggu lalu sedikit sebanyak disebabkan oleh dasar ekonomi Abe yang lebih dikenali sebagai Abenomik.

Jika Pemikiran Xi dikaitkan de­ngan dasar ekonomi yang me­numpukan usaha untuk membuka ekonomi China kepada dunia luar, maka Abenomik pula memberi tumpuan kepada strategi ba­gaimana untuk meningkatkan nilai eksport Jepun.

Setelah mendapat mandat pe­nggal kedua menerajui Jepun se­lepas memenangi pilihan raya Di­­sember 2012, Abe telah memulakan strategi ekonomi yang agak drastik tetapi telah membuahkan hasil walaupun dikritik dengan hebat pada mula perlaksanaannya.

Begitu juga dengan kepe­mim­pinan tertinggi Amerika Syarikat (AS) ketika era Ronald Reagan terkenal dengan ungkapan Reaganomik dan selepas itu timbul pula ungkapan Clintonomik pada e­ra Bill Clinton.

Tidak kira sama ada ungkapan Pemikiran Xi, Abenomik, Reaganomik atau Clintonomik, kesemuanya mempunyai dasar dan strategi ekonomi yang agak berbeza kerana era kepimpinan yang berbeza memerlukan dasar ekonomi yang berbeza juga.

Hakikatnya adalah kekuatan politik diperlukan dalam me­laksanakan dasar ekonomi yang tidak lazim. Umpamanya pada penggal pertama sebagai pre­siden, Clinton dengan berani telah menaikkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan tinggi dan paling menakjubkan sekali dalam masa yang sama telah mengurangkan perbelanjaan sektor pertahanan.

Walaupun dikritik dengan hebat, Clinton tetap meneruskan dasar tersebut dan hasilnya adalah buat pertama kali dalam sejarah fiskal AS semenjak 1969, bajet 1998-2001 ketika era Clinton menyaksikan lebihan.

Sebab itu juga menarik dipetik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang pembentangan Bajet 2018 yang antara lain memberi jaminan strategi fiskal kali ini akan me­ngandungi inisiatif yang mampu memberi perlindungan kepada mereka yang lemah, bersifat adil kepada semua tanpa ada sesiapa akan ketinggalan.

Menarik adalah kerana bukan mudah untuk mengurus fiskal negara demi memastikan semua pihak terutama sekali yang ke­tinggalan, mendapat manfaat. Secara mudahnya Bajet 2018 bakal menyaksikan ketiga-tiga golo­ngan yang lebih dikenali sebagai B40, M40 dan T20 kesemuanya bakal mendapat sesuatu.

Menurut Najib lagi, Bajet 2018 kali ini dipacu oleh matlamat beliau sendiri untuk memperbetulkan masalah lalu dan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara.

“Kita juga terlalu bergantung kepada minyak, gas dan komoditi manakala pembangunan negara tidak sama rata, dengan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung ketinggalan. Situasi ini memerlukan tindakan tegas dan hala tuju yang jelas”, tegas Najib lagi dengan masalah getir yang dihadapi ketika mula mengambil alih kepimpinan ter­tinggi negara pada 2009.

Salah satu dasar fiskal yang dianggap drastik pernah dilaksanakan Najib pada awal era beliau ialah dua pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM67 bilion. Walaupun berhadapan de­­ngan kritikan negatif ketika pe­­ngenalan pakej pertama seba­nyak RM6.07 bilion, keputusan diambil untuk meneruskan dengan pakej kedua yang bernilai lebih tinggi iaitu RM60.93 bilion.

Seperti sedia maklum, salah satu kesan positif ketara pakej rangsangan tersebut adalah eko­nomi negara terlindung dari kemelesetan yang dihadapi ketika itu tidak seperti yang dihadapi pada era kemelesetan 1997 di mana ramai rakyat menderita akibat kehilangan pekerjaan dan banyak perniagaan menjadi muflis.

Walaupun berhadapan dengan senario tekanan hutang negara akan meningkat dan kerisauan ini bertempat kerana pada ketika itu kadar hutang negara berban­ding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melonjak sebanyak 10 peratus, kerajaan tetap meneruskan dasar rangsangan. Ha­silnya adalah pada penghujung 2009 pertumbuhan ekonomi berkembang seperti biasa walaupun berhadapan dengan keme­lesetan ekonomi global.

Najib memang akur dasar yang agak ekstrem sebegini selalunya tidak popular dan lebih mudah melaksanakan dasar fiskal lazim jika kepentingan politik jangka pendek yang menjadi keutamaan. Tetapi hakikatnya adalah dasar ekonomi yang tidak popular dan ekstrim inilah yang telah melin­dungi negara dan rakyat dari pergolakan ekonomi global yang tidak memilih mangsa.