Sedangkan pencapaian bangsa Melayu hari ini hasil daripada iltizam generasi bangsa Melayu terdahulu yang sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Dengan Melayu kini pe­cah enam politik berpartinya, Tumpang hayati dalam-dalam ungkapan Hang Tuah yang kononnya berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Hari ini benarlah Melayu tidak hilang. Tetapi apakah jenis Me­layu yang tidak hilang ini - dengan berpecah belah sesama sendiri?

Mari lupakan sebentar kisah perit perpecahan Melayu era moden tiga, empat tahun menjelang pilihan raya umum ke-14 tempoh hari dan pasca setahun ini. Ia lebih-lebih lagi selepas UMNO yang mendominasi Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia selama 73 tahun, akhirnya tumbang.

Bersembang dengan Penge­rusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad petang Jumaat lalu, Tum­pang ajukan isu Melayu yang berlegar dalam kepala tadi.

Kata Hasni, soal Melayu berpecah tidak akan timbul jika orang Melayu hari ini, waima dari peringkat mana pun, baik akar umbi hingga kepimpinan atasannya memiliki ciri pemikiran Melayu kebangsaan.

“Itu yang lebih UMNO Johor bagi keutamaan. Walaupun dia (orang Melayu itu) berpegang pada nilai-nilai murni, luhurnya orang Melayu itu macam dinukilkan oleh sasterawan Allahyarham Datuk Usman Awang (1988).

Tumpang petik bait-bait tertentu dari sajak Allahyarham, anak jati Johor dari Kuala Sedili, Kota Tinggi ini - yang me­nukilkan sifat-sifat orang Johor. Antara gambarannya:

Berkelahilah cara Melayu

menikam dengan pantun

menyanggah dalam senyum

marahnya dalam tertawa

merendah bukan menyembah

meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan

jiwa Melayu mengangkat persahabatan

kasih sayang kekeluargaan

ringan tulang saling bertolongan

jujur memaafkan, ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu

silaturahim yang murni

di mulut sama di hati

maaf senantiasa bersahut

tangan dihulur bersambut

luka pun tidak lagi berparut.

Modennya pemikiran orang Johor, kata Hasni lagi, digambarkan melalui sejarah keluarga diraja dan tokoh-tokoh usahawan Islam profesional antaranya keluarga Al-Sagoff. Sejarah gemilang keluarga itu khusus­nya Syed Mohamed Ahmad Al-Sagoff (Nong Chik) sehinggakan beliau memiliki empayar perdagangan yang berkembang pesat di Johor, Singapura dan Eropah. Bahkan, beliau pernah memiliki dan mengeluarkan matawang sendiri, Constantinople Estate yang hampir 40 tahun digunakan di Johor (sepanjang 1870 sehingga 1917).

“Apatah lagi masyarakat Johor melihat Singapura sebagai persaingan, yakni republik itu sebuah negara maju dan mo­den. Kalau dulu-dulu orang Johor nak beli buah laici, kasut sukan, dia pergi ke Singapura sebab ada design terkini. Ia suatu pengaruh gaya hidup moden.

“Maksud saya UMNO Johor mahu lahirkan lebih ramai Me­layu kebangsaan yang berpenge­tahuan luas, baik per­gaulannya tetapi tetap berpegang pada nilai-nilai budaya, adat resam Melayu, Islamnya.

“Istilah Melayu kebangsaan ini tidak sahaja melahirkan jaguh kampung tetap lebih lagi rakyatnya mencerminkan pencapaian…kalau dalam industri fesyennya, piawaiannya Melayu-Islam tinggi manakala usahawannya bergiat dalam industri berteknologi tinggi,” kata Hasni.

Jelas Hasni: “Jika orang Melayu berjiwa besar menyerap semangat kebangsaan ini, kita pasti tidak akan tergugat de­ngan kata-kata berbaur rasis yang cuba menggugat keharmonian antara kaum. Moga UMNO boleh berbuat demikian, seeloknya kita elakkan ungkapan berbaur rasis.”

BEGINI MAKSUDNYA ISTILAH BANGSA JOHOR

ISTILAH Bangsa Johor mencerminkan keyakinan rakyat Johor pada kemampuan mereka. Tak usah tengok ia seolah-olah ‘orang Johor hendak mengasingkan diri daripada penduduk negeri lain’. Atau hendak gagalkan usaha nasionalisme. Sebaliknya Bangsa Johor menggambarkan keyakinan rakyatnya secara bermasyarakat dan individu.

“Dari aspek Bangsa Johor menyumbang kepada kemajmukan, kita boleh lihat sejarah warisan kebudayaannya. Kemajmukan terpapar di Dewan Cina Istana Besar.

“Mudah untuk diterjemahkan istilah ini. Maknanya - tinggi ilmu pengetahuan, tinggi adat budayanya, luas pergaulan dan cukup berpendidikan,” ujar Hasni lagi.

PENYATUAN UMMAH UMNO-PAS KINI ACARA KEMASYARAKATAN

Perkembangan kerjasama UMNO-Pas menyaksikan soko­ngan masyarakat di bawah begitu meluas dari hari ke hari. Bahkan, rakyat menjadikan penyatuan ummah yang dijana itu sebagai satu acara kemasyarakatan.

Dan apabila piagam UMNO-Pas ditandatangani 14 September ini, Hasni akan menyusun jawatankuasa pelaksanaan piagam penyatuan ummah di peringkat bahagian di Johor. Ia tidak hanya tertumpu pada soal Melayu-Islam semata-mata, tetapi penyatuan yang akan membicarakan soal-soal kepentingan nasional.

“Maknanya, semua kaum wajar turut serta. Ia bukan semata-mata untuk Melayu dan Islam sahaja.

Di Johor, hubungan UMNO-Pas penting oleh kerana kedua-duanya memiliki banyak penyokong, ahli dan kerusi Dewan Undangan Negeri Melayu.

“UMNO yakin akan menguasai sokongan majoriti Melayu kerana selama ini pun wakil-wa­kil Pas lebih tertumpu di utara Johor. Penyatuan ini akan perkuatkan dua parti ini,” kata Hasni.