Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataan medianya, mengakui meletakkan 1,000 kakitangannya di KLIA bagi membantu para penumpang, yang telah diminta tiba empat jam lebih awal dari waktu berlepas, selain digalak periksa masuk secara dalam talian.

Komitmen petugas berkenaan, malah ada yang tidak tidur seharian demi membantu para penumpang adalah sangat dihargai. Semangat sebegini adalah manifestasi kesungguhan rakyat Malaysia yang sayangkan negara.

 

Tetapi persoalan perlu ditanya juga, adakah ia akibat serangan siber atau lebih mendukacitakan suatu bentuk sabotaj? Tidak diketahui apakah MAHB sudah menghubungi polis mengenai kemungkinan ini.

Faktor ini lebih mendatangkan kemusykilan kerana KLIA baru sahaja meraikan sambutan ke-21 bersama Perdana Menteri pada 13 Ogos lalu. Seolah ada mesej mahu disampaikan, jika benar ia adalah serangan siber.

Berdasarkan kenyataan media, MAHB lebih tertumpu menyelesaikan masalah itu pada masa ini dan sedang bertungkus-lumus memperbaiki sistem tersebut. Kemudian baru akan lihat dari sudut jenayah. Dan ini membawa kepada persoalan lebih lanjut:

1 Berapa usia Total Airport Management System (TAMS)?

2 Benarkah TAMS telah diguna pakai sejak pembukaan KLIA pada 1998, bermakna sudah 21 tahun. Ini diterjemahkan sebagai `teknologi lapuk’, bukan? Jika anda pengguna harian komputer pun tahu, jangka hayat komputer maksimum tiga tahun sebelum ia jadi obsolete. Bagaimana TAMS boleh bertahan sebegitu lama sehingga ke usia boleh mengundi hari ini?

Mungkin pakar teknologi TAMS sudah pun mengemas kini teknologi TAMS dari semasa ke semasa, menjadikannya lancar selama ini, dan tanpa menyangka ia terburai Khamis lepas? Ini senario kemalangan. Tak sengaja.

Cuma kita rakyat marhaen mahu berfikir lebih analitikal. Lapangan terbang adalah entiti strategik negara. Mesti ada Plan B, Plan C dan seterusnya, bila berlaku kejadian tidak diingini. Kerana bila gagal pulihkan TAMS dalam kadar segera, lihat berapa kerosakan terhadap prestij dan nama baik Malaysia dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

3 Benarkah Rangkaian ITD hanya memiliki satu lapisan rangkaian sahaja? Kalau banyak lapisan, tidak mungkin selepas tiga hari pun ia tidak dapat dihidupkan balik. Logik?

4 Benarkah pasukan jurutera lapangan terbang sudah membentangkan lebih lima kali kepada Lembaga Pengarah untuk menukar peralatan berusia 21 tahun di KLIA, terutama peralatan yang memang jangka hayat pengilangnya sebut 20 tahun sahaja.

5 Benarkah disebabkan penukaran peralatan itu menelan kos antara RM50 juta hingga RM70 juta, menyebabkan Lembaga Pengarah MAHB keberatan meluluskan cadangan tersebut? Ini disebalik fakta bahawa MAHB sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mencatat perolehan RM2 bilion setahun daripada hasil perniagaan lapangan terbang.

6 Benarkah MAHB pun ada isu dengan sistem telekomunikasi yang mana mereka perlu membayar berjuta-juta kepada sebuah syarikat, baru-baru ini. Entah betul atau tidak, hanya MAHB boleh mengesahkannya.