Dari era Rasul yang berkhutbah tanpa pembesar suara, tanpa kemahligaian masjid, tanpa keempukan permaidani dan tanpa ukiran dan coretan corak berwarna warni, khutbah menjadi pembimbing umat Islam setiap minggu. Khutbah adalah elemen pendidikan tidak formal bagi umat Islam. Apa yang disebut dan apa yang tidak disebut, kedua-duanya mempunyai impak besar kepada umat Islam. Khutbah boleh menjadi elemen kesedaran, motivasi dan kefahaman dalam tangan penulis kritis, berjiwa besar dan bersifat tawaduk, namun khutbah juga boleh menjadi alat propaganda sesuatu kerajaan dalam tangan penulis yang makan gaji buta, berjiwa sempit dan berpengalaman cetek tetapi berego besar.

Dalam coretan saya minggu ini, saya ingin memberi buah fikiran terhadap bagaimana khutbah boleh menjadi elemen motivasi positif, kesedaran universalistik dan kebesaran jiwa dengan ia mengubah tiga perkara; sikap penulis, metode tulisan dan mesej dalam isi kandungan.

PEJABAT HAWA DINGIN?

Pertama sekali saya ingin mencadangkan penulis khutbah mengubah sikap diri sendiri. Apabila saya mendengar dan membaca sendiri beratus-ratus khutbah, saya berpendapat bahawa si penulis menulis seolah-olah dia seorang yang betul dan baik manakala orang lain kesemuanya tidak sedemikian. Penulis khutbah harus sedar, dia menulis dari pejabat berhawa dingin dengan gaji bulanan serta elaun ceramah masjid yang lumayan dan mereka sendiri tidak ada pengalaman langsung dalam kesusahan dan kekusutan masyarakat Islam lain yang bergelut dengan isu sosial dan ekonomi harian. Apa yang penulis tahu tentang penagihan dadah? Apa yang penulis tahu tentang kerisauan anak gadis Melayu yang terlanjur menjadi bunting dan menghadapi tekanan ibu bapa yang mengaku ia bukan lagi anak mereka?

Apa yang penulis tahu tentang kerisauan orang bukan Islam dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) apabila diri mereka dikecam hari-hari dari mimbar? Kalaulah tulisan khutbah boleh dibuat oleh bekas penagih dadah, bekas orang agama lain, bekas orang yang terlanjur atau bekas LGBT, rasa saya nada dan isi akan berubah. Sikap penulis perlu berubah dan mereka perlu menyelidiki dan menyelami isu-isu sosial yang mereka tulis, bukan menghukum kiri dan kanan dari kerusi empuk pejabat aircond saja.

Kedua, khutbah perlu mengubah metode penyampaian. Tulisan khutbah tidak ubah daripada tulisan ‘garis panduan majlis perbandaran’ atau surat pekeliling arahan am. Tidak ada aspek motivasi langsung. Sudahlah tu, bagi kepada ustaz yang khutbah menjerit-jerit dari mimbar bagaikan kita pendengar ini budak-budak kecil.

KHUTBAH JOEL OSTEEN

Cuba dengar khutbah Joel Osteen sesekali. Beliau dari mazhab Charismatic Christian dan mempunyai pendengar khutbah berpuluh ribu orang dan penonton stream lintas langsung berjuta-juta orang Amerika. Beliau bukan golongan ‘ustaz’ tetapi hanya orang biasa yang mengambil alih gereja daripada ayahandanya seorang paderi terlatih. Joel Osteen mempunyai kelulusan broadcasting. Saya telah mendengar lebih 100 khutbah beliau dan membaca tiga daripada banyak buku motivasi yang ditulisnya. Ramai penonton amat suka mendengar khutbahnya yang lembut, kadang-kadang berjenaka, banyak berkongsi pengalaman sendiri dan keluarga serta tidak banyak ‘menayang’ aspek akademik dengan terlalu banyak berhujah perihal ugama.

Beliau menyentuh isu-isu hubungan kasih sayang dan self development dalam banyak khutbahnya. Khutbah kita pula tidak ubah seperti arahan daripada seorang pegawai penguat kuasa. Patutlah ramai yang tidur. Saya pun. Kadang-kadang saya rasa meluat mendengar khatib terjerit-jerit menghukum orang ini dan orang itu. Rasa macam nak keluar masjid dan balik tidur sembahyang zuhur sahaja.

Ketiga, ini yang terpenting, khutbah perlu mengubah isi kandungan dan mesej umum. Pertama, isi kandungan khutbah perlu membuat updating tentang dosa-dosa moden. Yang selalu dihambur saban minggu adalah dosa arak, LGBT dan syiah. Tambah sikit lagi, dosa pemikiran progresif, moderat dan berkait hak asasi manusia. Itu modalnya. Yang rasuah berbilion-bilion tidak pernah sebut sangat. Pada hemat saya, kesemua yang tidak disebut ini dosa lebih besar daripada yang selalu disebut. Kata Ismail Kamus, betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul.

Isi kandungan kedua yang saya ingin lihat perubahan adalah kongsilah nilai-nilai antara agama yang dilihat sebagai aspek keharmonian masyarakat. Janganlah asyik takut isu ‘menerima kebenaran’ agama lain sebagai penghalang. Semua manusia ada baik dan buruknya. Yang baik kita akui dan berikan kerjasama tetapi yang buruk kita tinggalkan. Tetapi janganlah kita asingkan diri daripada semua orang. Ini yang terjadi dalam khutbah. Apabila khutbah tidak langsung menyebut tentang nilai-nilai kebaikan agama lain, maka sipendengar pun akan menganggap agama lain sebagai penyesat dan tidak berguna. Adakah ini yang kita mahu pada umat Islam?

Sekarang Zakir Naik tidak diterima untuk melawat banyak negara kerana pandangannya yang keras dan ekstrem. Kita pun nak jadi macam itukah? Nanti anak-anak kita tidak akan dibenarkan belajar dan bekerja di serata pelosok dunia. Adakah ini yang kita mahu? Membincangkan nilai bersama tidak salah tetapi ia merapatkan kita sebagai keluarga manusia sejagat. Kita nak berkawan atau bermusuh sentiasa dengan bukan Islam?

TEGURLAH PEMIMPIN

Isi kandungan ketiga adalah menegur pemimpin politik dan agama. Teguran perlu dibuat dengan beradab dan beralas kepada sesiapa yang memegang tanggungjawab sebagai pemimpin manusia tidak kira golongan istimewa atau biasa. Kita nak jawab tanggungjawab ini di dunia atau di akhirat? Kalau di akhirat, Allah menyoal kenapa kita tidak menegur pemimpin, itu sudah terlewat. Kalau disoal di akhirat, maknanya kita berhutang di dunia. Jangan kita tidak menegur sebab gaji dan pangkat atau nak dapat Datuk atau Tan Sri. Kadang-kadang saya terasa kagum dengan penulis khutbah yang diam tentang kesalahan pemimpin sebab fikirkan jawatan dan periuk nasi.

Yang keempat, isi kandungan jangan asyik banyak menghukum tetapi selang selilah dengan cadangan penyelesaian. Contohnya, jangan asyik mengingatkan tentang dosa seks luar nikah tetapi tidak sepatah haram pun nak cakap tentang bagaimana menangani masalah keterlanjuran dari aspek ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan. Anak-anak kita semuanya kurang matang, jadi janganlah mereka dibuat seperti pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. Ramai ibu bapa menolak anak-anak gadis yang terlanjur kerana malu Melayu atau malu Islam. Saya tidak faham bagaimana tergamaknya ibu bapa bersifat demikian.

Saya berulang kali berpesan kepada anak-anak perempuan saya supaya datang kembali kepada saya dan ibunya walau apapun kesilapan mereka kerana tanggungjawab ibu bapa adalah kebaikan anak-anak sendiri. Konsep malu komuniti tidak wujud dalam keluarga saya. Khutbah patut memberi cara penyelesaian dan bukannya asyik kata elak itu dan elak ini serta haram itu dan haram ini.

Semoga cadangan saya ini diambil baik dan diambil kira dalam sama-sama kita memajukan suatu ritual penting yang boleh membangunkan umat Islam dalam konteks negara berdemokrasi, masyarakat bersosial dan kehormatan kepada kepelbagaian kaum dan kepercayaan dalam negara ini.

PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.