Ini berbanding negara jiran kita, Indonesia, yang dianggap berjaya dalam pembinaan bangsa melalui sistem pendidikan dengan bahasa Indonesia. Sedangkan rakyat negara ini dipisahkan sejak awal lagi melalui sistem pendidikan.

​Shamsul Amri Baharuddin, dalam buku kumpulan eseinya, Budaya Yang Tercabar menegaskan, dalam pembinaan sebuah negara bangsa, peranan pendidikan cukup penting. Di Eropah, tempat kelahiran konsep dan institusi negara bangsa, pendidikan bertanggungjawab mencipta, mendukung dan melanjutkan hayat sesebuah negara bangsa.

​Sistem pendidikan di negara ini seakan-akan menjadi medan pertempuran politik melibatkan pelbagai pihak berkepentingan terutama parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kumpulan pendesak kaum Cina menunjukkan penentangan sejak Laporan Barnes diperkenalkan kerajaan British dan terhadap Penyata Razak pada 1956. Ini kerana penyata itu hanya menerima bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib bagi semua aliran persekolahan.

Sekolah Wawasan diperkenalkan kerajaan sekitar 2000 ditentang sesetengah pihak. Beberapa tahun lalu apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan ketika itu mengumumkan subjek Sejarah wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sesetengah bukan Melayu membantah.

​ Belum pun reda tuntutan terhadap kerajaan supaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kini meledak bangkangan terhadap langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020. Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah pelaksanaan tulisan khat di sekolah vernakular.

​Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan bertegas untuk meneruskan pelaksanaannya, dengan alasan ‘penting mengambil kira sebagai sebahagian warisan Melayu sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan’ di samping ‘tulisan itu juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas ringgit Malaysia’.

Pada suatu ketika iaitu dalam kalangan murid generasi lama, tulisan Jawi dan bacaan Jawi diajarkan sekurang-kurangnya di peringkat sekolah rendah. Kemudian pada pertengahan 1960-an, pengajaran dan pembelajaran itu tidak dilaksanakan. Hasil pendidikan itu, mereka dapat membaca buku dan majalah yang sehingga 1960-an diterbitkan dalam tulisan Jawi. Mereka membaca akhbar Jawi yang terkenal pada suatu ketika iaitu Utusan Melayu dan mingguan, Utusan Zaman, yang pada mulanya diterbitkan di Singapura dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur pada awal 1958. Akibat kepupusan tulisan Jawi dan beberapa faktor lain, kedua-dua akhbar yang pernah dianggap sebagai lidah nasionalisme Melayu, akhirnya ditutup.

Buku-buku sastera Melayu klasik juga ditulis dalam Jawi. Contoh terbaharu, Warkah Persilaan bagi mengundang Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffah Billah Shah pada 30 Julai lalu, ditulis dalam Jawi.

Menyingkap sumber sejarah, surat menyurat antara para pembesar dan pedagang di Kepulauan Melayu dengan Kolonel William Farquhar, yang tersimpan di Oriental and India Office Collections, di British Library, London, ditulis dalam Jawi. Menurut Badriyah Salleh, dalam bukunya, Warkah al-Ikhlas 1818-1821, kebanyakan surat itu berhubung dengan isu perdagangan dan diplomasi.

Tatkala Dong Jiao Zong dan beberapa orang pemimpin DAP menunjukkan penentangan mereka, muncul orang Cina memberitahu bahawa mereka belajar Jawi sejak dahulu lagi. Bagi sebilangan orang Cina, tulisan Jawi bukan asing dalam masyarakat mereka. Tidak kurang pula orang bukan Melayu yang menyatakan sokongan mereka terhadap langkah Kementerian Pendidikan itu.

Sebilangan pelajar bukan Melayu pula tanpa paksaan, mempelajari tulisan khat yang diperkenalkan di universiti awam. Sebagai tanda sokongan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memaklumkan selain tulisan Jawi, murid sekolah telah mengenali tulisan Cina dan Tamil sejak tulisan itu dilaksanakan kepada murid Tahun 1 pada 2011.

Justeru, tindak-tanduk golongan yang menentang langkah Kementerian Pendidikan itu lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding memberikan penyelesaian. Sejak sekian lama, mereka tidak pernah berhenti daripada mempolitikkan sistem pendidikan di negara ini sehingga menyukarkan kerajaan untuk bergerak dan memperkenalkan dasar nasional.

Anehnya, penentangan itu berlaku ketika sebilangan rakyat berminat menerokai ilmu di setiap benua dan kerajaan pula menggalakkan usaha murni mereka dan ketika suara pendukung fahaman pelbagai budaya semakin lantang kedengaran.

Perlu ditegaskan bahawa langkah baharu Kementerian Pendidikan itu dikaji sejak bertahun-tahun iaitu 2014 dan bukannya dilaksanakan secara tergesa-gesa. Dalam keghairahan kaum tertentu untuk membina hegemoni politik mereka, sememangnya tidak wajar mengorbankan segala usaha kerajaan untuk membina negara bangsa dan pembentukan jati diri nasional.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).