Buah manggis juga dikenali permaisuri segala buah kerana di atas kulit luarnya mempunyai bentuk seperti mahkota. Disebabkan rupa manggis yang unik, ada peribahasa Melayu yang berbunyi hitam-hitam si tampuk manggis, kulitnya hitam isinya putih, sungguhpun hitam dipandang manis.

kebanyakan orang tidak mengetahui manfaat kulit manggis yang sering
KEBANYAKAN orang tidak mengetahui manfaat kulit manggis yang sering dibuang selepas dimakan isinya. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Kulit manggis banyak manfaat. Kajian saintifik menunjukkan kulit manggis mengandungi pelbagai bahan bioaktif seperti asid fenolik dan flavonoids yang mempunyai aktiviti antipengoksida yang lebih tinggi daripada buah naga dan pisang. Komponen ini penting untuk merendahkan risiko penyakit kanser, kardiovaskular, dan saraf.

Selain itu, kulit manggis juga mempunyai sifat antibakteria untuk merencatkan pertumbuhan bakteria. Satu kajian saintifik yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Diagnostic Research pada 2017 menunjukkan bahawa kulit manggis boleh merencatkan pertumbuhan bakteria kerosakan gigi. Namun, kajian seterusnya perlu dilakukan untuk melihat komponen utama yang berpotensi untuk merencatkan pertumbuhan bakteria tersebut.

Kulit manggis juga mempunyai komponen fitokimia-mangostin dan mangostin yang mempunyai aktiviti antikerada­ngan. Aktiviti antikeradangan sesuatu komponen adalah sangat penting untuk merendahkan risiko penyakit radang usus, Alzheimer serta pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada universiti tempatan juga membuktikan kulit manggis boleh dijadikan satu bahan utama bagi penghasilan ubat terapeutik dan ubat antikerengsaan gigitan nyamuk.

Komponen fitokimia yang memberi warna merah ungu kepada kulit manggis adalah antosianin. Antosianin merupakan pigmen semula jadi yang stabil terhadap haba dan telah lama digunakan dalam industri tekstil sebagai pewarna dalam pembuatan fabrik. Pigmen ini juga lebih stabil pada keadaan berasid berbanding beralkali.

Namun, warna merah ungu antosianin akan berubah kepada biru pudar apabila berada dalam persekitaran beralkali. Justeru, antosianin pada kulit manggis akan memberikan warna yang berbeza jika digunakan sebagai pewarna dalam makanan yang berbeza sifat keasidan atau kealkalian

Dalam industri kosmetik, ekstrak kulit manggis juga ba­nyak digunakan sebagai ramuan asas bertujuan membantu menghaluskan kulit wajah, menghilangkan parut muka serta mencerahkan kulit wajah yang kusam.

Secara tradisional, kulit manggis dijadikan masker wajah dengan mengisar kulit manggis bersama air secukupnya. Ramuan ini boleh disapu pada wajah selama 20 hingga 30 minit atau sehingga kering. Ia boleh dilakukan dua selalu. Kini, terdapat beberapa produk kosmetik di pasaran yang sudah dibuat kajian saintifik dan dipatenkan untuk pengguna.

Walaupun isi buah manggis sangat digemari ramai, namun ramai yang tidak mengetahui manfaat kulit manggis. Sewajarnya, kulit manggis boleh dimanfaatkan dalam industri farmaseutikal, makanan, tekstil, serta kosmetik.

DR. NAZARIYAH YAHAYA ialah Pensyarah Kanan Program Bioteknologi Makanan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).