Majlis/Dewan Bandar Raya adalah Majlis Perbandaran yang dinaik-taraf kepada bandar raya setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan, iaitu jumlah penduduk tidak kurang dari 500,000 orang dan hasil tahunan hendaklah melebihi RM100 juta.

Bagi Majlis Perbandaran, kriteria yang ditentukan adalah jumlah penduduknya mesti melebihi 150,000 orang dan hasil tahunan mesti melebihi RM20 juta. Bagi Majlis Daerah pula, jumlah penduduknya adalah kurang daripada 150,000 orang dan hasil tahunan kurang daripada RM20 juta.

Kesemua PBT terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri masing-masing. Untuk memperkasa PBT di seluruh negara, KPKT telah membangunkan Pelan Transformasi PBT, bertema “PBT di Hati Rakyat”, yang mengandungi enam teras utama, 23 strategi dan 208 program. Teras ke 4 adalah kesejahteraan rakyat.

Teras ke 4 ini mengandungi tiga strategi iaitu meningkatkan mutu alam sekitar, mewujudkan persekitaran yang selamat dan sejahtera, dan pemeliharaan dan pemuliharaan nilai budaya dan warisan.

Menjelaskan matlamat utama pelancaran Pelan Transformasi PBT ini, portal KPKT menyatakan rakyat negara ini akan “mendapat perkhidmatan terbaik, menikmati kehidupan yang berkualiti dengan persekitaran kondusif serta peningkatan kemakmuran ekonomi.”

PBT Pasir Gudang

Soalnya kini “Apakah PBT Pasir Gudang sudah mampu menunaikan kewajipannya kepada rakyat setempat selaras dengan kehendak pelan transformasi PBT ini?”

Portal rasmi Majlis Perbandaran Pasing Gudang (MPPG) menceritakan sejarah silamnya sejak ia ditubuhkan pada 1 Julai 2008 di bawah Akta Kerajaaan Tempatan, 1976 (Akta 171). (http://www.mppg.gov.my).

MPPG sebenarnya mula wujud pada 1 Julai 1977 apabila Majlis Bandaran Pasir Gudang ditubuhkan melalui satu Pengisytiharan Warta Kerajaan Negeri Johor bertarikh 17 Februari 1977.

Pada tarikh yang sama, Johor Corporation (JCorp) yang pada asalnya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) telah dilantik sebagai PBT bagi mentadbir dan memajukan kawasan MPPG.

Jcorp diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk mentadbir PBT Pasir Gudang dari 1 Julai 1977 hingga 30 Jun 2009. Mulai 1 September 2009 pengurusan MPPG diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri – dalam bahasa mudah, ditadbir oleh pegawai JCS (Johor Civil Service).

Portal rasmi PBT Pasir Gudang itu juga menyatakan bahawa sebagai PBT ia beriltizam memberikan perkhidmatan berkualiti dan profesional untuk mencapai enam objektif, antaranya mengurus alam sekitar dengan berkesan dan dinamik.

Mengenai Visi dan Misinya, portal PBT tersebut menyatakan bahawa MPPG akan memastikan segala penyampaian perkhidmatannya adalah cekap, berkesan dan berkualiti menerusi “pengawalan alam sekitar yang berkesan”.

Pada hujung minggu lalu saya sempat berbual dengan Jamil Khan (pesara kerajaan berusia 65 tahun), penduduk Johor Bahru selama lebih 40 tahun. Beliau mengesahkan berlakunya peralihan pentadbiran PBT Pasir Gudang dari JCorp kepada pegawai JCS kira-kira sepuluh tahun yang lalu itu.

Malangnya, tambah beliau, kualiti pentadbiran PBT itu kini “tidak setara” dengan prestasi cemerlang dalam zaman pentadbiran JCorp dulu.

Apabila saya tanya kenapakah dia berkata demikian, sahabat saya itu memberikan contoh-contoh secara terperinci.

Pendedahannya membuat saya faham kenapa pencemaran Sungai Kim-Kim boleh berlaku tiga bulan lalu dan kenapa kali ini pencemaran udara oleh gas toksik terjadi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, mengakui bahawa punca pencemaran udara oleh gas beracun yang berlaku minggu lalu itu belum lagi diketahui, walaupun tiga jenis gas telah dikenal pasti, iaitu acrylonitrile, akrolein dan methyl mercaptan. Mengikut ahli akademik Dr. Zulkifli Abdul Rashid gas acrylonitrile boleh menyebabkan kanser.

Penguatkuasaan yang lemah

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kecewa dengan kegagalan kerajaan negeri Johor mengambil pengajaran dari insiden pencemaran Sungai Kim-Kim tiga bulan lalu.

Pada pendapatnya faktor penguatkuasaan yang lemah serta ketiadaan satu pelan tindakan kukuh menyebabkan pencemaran udara berlaku baru-baru ini.

Mantan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan insiden pencemaran minggu lalu menunjukkan kerajaan negeri gagal mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku pada Mac lalu.

Beliau minta kerajaan negeri segera maklumkan rakyat “pelan serta strategi” untuk menangani krisis pencemaran gas beracun ini.

Jumaat lalu saya sempat tanya Nik Ramly (seorang pengamal perancangan bandar) tentang perlunya ada buffer zones memisahkan kawasan industri berat (seperti kilang kimia yang mengeluarkan gas beracun) dengan kawasan perumahan.

Jawabnya kerajaan telah pun keluarkan satu garis panduan mengenai isu itu, bertajuk “guidelines for siting and zoning of industry and residential areas” (setebal 134 halaman).

Mengenai pencemaran gas beracun yang berlaku di Pasir Gudang ini, Ramly berkata, masalahnya bukan ketiadaan undang-undang dan garis panduan, tetapi penguatkuasaan dan pelaksanaan yang masih lemah oleh PBT dan agensi awam lain.

Bee Yin, baru-baru ini ada berkata bahawa pembangunan yang tidak lestari boleh membawa kepada mudarat alam sekitar di masa depan.

Selain itu, ketiadaan buffer zones yang memisahkan industri berat berasaskan kimia dengan kawasan sekolah, taman perumahan dan pusat kegiatan sosial, akan mendedahkan penduduk setempat kepada bahaya keracunan kimia.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dan kecewa dengan apa yang berlaku minggu lalu, mensifatkannya sebagai sesuatu yang ‘hina dan sangat memalukan’ kerana ia mendedahkan betapa lemah dan tidak cekap sistem pengurusan bencana di peringkat negeri.

Sehubungan itu, baginda mahu industri yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat itu “dihapuskan atau dipindah”.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.